News!!

Yap Ah Loy Atau Sutan Puasa, Siapa Yang Buka Kuala Lumpur?

Sama ada boleh dikatakan satu penemuan baru ataupun merupakan satu sejarah lama yang telah diubahsuai oleh penjajah ?.  Semoga kebenaran dapat dibongkar untuk pencerahan bersama.

Betulkah Sutan Puasa, seorang saudagar Mandailing, pengasas sebenar Kuala Lumpur?

Kenyataan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pada beberapa wacana intelektual tahun lepas bahawa “pengasas Kuala Lumpur ialah Sutan Puasa, dari Mandailing”, menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai kerana sejarah Malaysia menyebut bahawa Yap Ah Loy, seorang Kapitan China, adalah pengasas bandar raya ini.

Bagaimanapun, sebuah buku yang diterbitkan baru-baru ini berjudul Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur karangan Abdur-Razzaq Lubis, mendedahkan maklumat baharu tentang sejarah Kuala Lumpur.

Terry McGee, Profesor Emeritus Penyelidikan dan Geografi Asia dari University of British Columbia, Vancouver, Kanada, dalam prakatanya menyebut bahawa buku itu “memberi interpretasi baharu tentang sejarah awal ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, dan daerah pedalamannya.

McGee, yang telah banyak membuat penyelidikan tentang proses perbandaran orang Melayu di Kuala Lumpur dan Semenanjung Tanah Melayu pada 1960-an untuk pengajian peringkat Ph.D, berkata buku itu, yang memberi fokus terhadap peranan Sutan Puasa semasa era awal aktiviti melombong bijih timah di Kuala Lumpur pada pertengahan kurun ke-19, mencetuskan minatnya tentang perkara ini.

Tentang Sungai Lumpur

“(Abdur Razzaq) Lubis memberi jawapan meyakinkan terhadap dua persoalan yang kelihatan mudah untuk diselesaikan itu. Pertama, siapakah sebenarnya yang mengasaskan Kuala Lumpur dan kedua, adakah catatan sejarah yang ada sekarang tentang pembukaan Kuala Lumpur, benar-benar tepat?” katanya.

McGee juga berkata pengarang buku itu telah membuat kajian teliti untuk memberi maklumat sebagai asas untuk dibuat pentafsiran semula tentang sejarah, yang diperlukan semua negara, serta mengemukakan untuk perbahasan suatu tempoh peralihan dalam sejarah Asia Tenggara sebelum pemerintahan penjajah mewujudkan sempadan tetap bagi kebanyakan negara.

Katanya, pengarang buku itu juga mengaku bahawa idea berhubung orang Melayu pada kurun ke-19 bukan sahaja meliputi kesultanan berasaskan kedudukan sungai di pantai timur, tetapi juga tentang masyarakat pendatang dari Indonesia yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.

Tulisan Abdur Razzaq dalam buku setebal 615 muka surat itu, yang turut memuatkan peta dan gambar lama Kuala Lumpur, bermula dengan bab bertajuk The Naming of Kuala Lumpur, yang antara lain menyentuh tentang Sungai Lumpur dan Pangkalan Lumpur, dua nama yang sering digunakan dalam dokumen lama.

Dalam bab dua pula, beliau menyentuh tentang beberapa nama yang disebut sebagai pengasas Kuala Lumpur oleh pelbagai tokoh dan penulis, termasuk Yap Ah Loy, Kapitan pertama China Hiu Siew dan Raja Abdullah, yang merupakan Orang Besar Jajahan Klang.

Mulai bab tiga, beliau menyentuh tentang peranan Sutan Puasa dan orang Mandailing pada zaman awal kewujudan Kuala Lumpur.

Abdur Razzaq juga akan mengambil bahagian pada sesi perbincangan panel bersama-sama pengerusi Majlis Antarabangsa Tugu Peringatan dan Tapak (Icomos) Malaysia serta pengerusi Majlis Warisan Negara Datuk Dr Hajeedar Abdul Majid tentang buku itu di Galeri Petronas pada 10 pagi 8 April bersempena Art for All – Art Fair 2018, sebelum menuju ke Books Kinokuniya untuk menghadiri sesi “Bertemu Pengarang dan Menandatangani Buku” pada 3 petang.

Sumber & Foto: Bernama

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: