News!!

Wujudkah Perniagaan Yang Dijamin Tidak Rugi?

Tiada apa lagi yang hendak dipersoalkan mengenai pengorbanan dua insan ini yang menjadi ikon bagi umat Islam. Tahap kecintaan  kepada Allah melebihi tahap kecintaan terhadap harta dunia. Mungkin dengan perkongsian ini dapat mengetuk jiwa dan minda kita untuk melihat sendiri setakat mana kita berkorban demi pembangunan agama.

FAKIRNYA NABI MUHAMMAD S.A.W. DAN SAIDATINA KHADIJAH R.A.H.

Secara lumrahnya, manusia memiliki dari apa yang telah direzekikan kepada mereka oleh Allah (Ali Imran 3:7). Daripada harta yang mereka miliki, mereka tukarkan pula dengan orang yang lain untuk mendapatkan sesuatu yang diperlukan atau dikehendaki. Proses ini dipanggil jual beli atau perniagaan.

Dengan rezeki itu, Allah tawarkan pula satu perniagaan yang dijamin tidak rugi di antara Allah dan hamba-hambanya.

Dalam Surah As-Saff (Surah 61; Ayat 10-11), Allah menawarkan kebebasan daripada azab neraka bagi mereka yang sedia menyerahkan diri dan harta mereka di jalan Allah. Sementara dalam Surah At-Taubah (Surah 9; Ayat 111), Allah menawarkan syurga untuk membeli diri dan harta orang Mukmin.

NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI CONTOH TERBAIK

Nabi Muhammad S.A.W. adalah Uswatun Hasanah (Al-Ahzab 33:21). Bukan sahaja baginda telah menyerahkan diri dan seluruh keluarganya, malah seluruh harta dan kekayaannya diwakafkan untuk perjuangan Islam. Apa yang tinggal hanyalah keperluan asas bagi baginda berupa rumah, pakaian, peralatan perang serta keperluan harian lainnya.

Firman Allah dalam Surah Ad-Dhuha (Surah 93:8 ):

وَوَجَدَكَ عَآئِلًا فَاَغْنٰى

“Dan dia mendapati kekurangan maka dia mencukupkan”.

Walaupun hidup baginda serba kekurangan dibandingkan sahabat lainnya, tetapi baginda sentiasa merasa cukup. Walaupun tidak kaya dengan harta, namun Allah telah mengurniakan setinggi-tinggi ilmu kepadanya. Dengan mukjizat alquran itu, baginda memperoleh ketenangan dan ketenteraman.

Kekayaan, kuasa dan kemewahan sentiasa ditawarkan untuk Nabi meninggalkan tugasnya. Memetik kata-kata Nabi Muhammad S.A.W. sendiri:

“Demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di tangan kanan ku dan bulan di tangan kiri ku untuk meninggalkan urusan dakwah ini, aku tidak akan berbuat demikian sehingga Allah menyuruhku atau aku mati kerana-Nya” (Ibnu Hisham, Sirah An-Nabawiyah).

Tindakan Nabi Muhammad S.A.W. turut diikuti dan dicontohi oleh para sahabat. Malah yang pertama menghabiskan harta adalah Saidatina Khadijah, isteri Nabi sendiri.

Benarlah sebagaimana diterangkan dalam Al-Baqarah (Surah 2; Ayat 273):

لِلْفُقَرَآءِ الَّذِيْنَ اُحْصِرُوْا فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ لَا يَسْتَطِيْعُوْنَ ضَرْبًا فِى الْاَرْضِ ۖ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ اَغْنِيَآءَ مِنَ التَّعَفُّفِ ۚ تَعْرِفُهُمْ بِسِيْمٰهُمْ ۚ لَا يَسْــئَلُوْنَ النَّاسَ اِلْحَــافًا ۗ وَمَا تُنْفِقُوْا مِنْ خَيْرٍ فَاِنَّ اللّٰهَ بِهٖ عَلِيْمٌ

“Bagi golongan fakir, yang telah menentukan dirinya pada jalan Allah, yang tidak berupaya berusaha di muka bumi; mereka itu dianggap oleh orang yang jahil sebagai yang serba cukup dalam hidup yang terbatas. Kamu mengenali mereka dengan tanda-tanda pada mereka. Tidak mereka meminta kepada manusia dengan mendesak. Dan apa yang kamu infakkan dari yang baik, maka sesungguhnya Allah dengannya mengetahui”. (Al-Baqarah 2:273)

KEIMANAN SAIDATINA KHADIJAH R.A.H. MELEBIHI HARTANYA

Saidatina Khadijah R.A.H. merupakan seorang wanita yang kaya-raya dan pedagang berjaya. Beliau merupakan seorang yang teliti dalam pengurusan harta dan perniagaannya. Atas sikapnya itu, beliau telah meminta kepada Abu Talib untuk meminjam khidmat Muhammad yang terkenal sebagai Al-Amin untuk menguruskan perniagaannya.

Setelah Nabi Muhammad S.A.W. mendapat wahyu yang pertama, Saidatina Khadijah R.A.H. tidak sedikit pun meragui suaminya yang terpercaya itu. Beliau terus menyokong baginda dengan diri dan hartanya hingga akhir hayat.

Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa harta Saidatina Khadijah R.A.H. ialah sebanyak dua pertiga dari seluruh harta penduduk kota Mekah. Harta inilah yang dikorbankan menjadi modal awal untuk gerakan dakwah Nabi di Mekah.

Walaupun Islam belum lagi dilihat kejayaannya, pengikut Nabi belum ramai, bahkan miskin, tertindas dan menderita, namun tidak sedikit pun Saidatina Khadijah R.A.H. meragui perjuangan suaminya. Beliau amat yakin dengan janji Allah.

Saidatina Khadijah R.A.H. wafat ketika boikot ke atas Nabi dan pengikutnya masih berjalan pada tahun ke 10 kenabian baginda. Diriwayatkan tiada kain kafan untuk membaluti jenazah Saidatina Khadijah sehingga terpaksa gunakan kain serban Nabi sendiri.

Ketika menghadapi ajal, beliau diriwayatkan membisikkan pada suaminya, “Ya Rasulullah, hartaku sudah habis. Jika jasad dan tulang belulang ku ini boleh dijadikan jambatan untuk urusan dakwah mu, aku rela”. Subhanallah..!!!

Semuga kisah dari Sirah Rasulullah S.A.W. ini boleh dijadikan santapan minda dan mengetuk hati agar kita mampu menjadi insan yang banyak berkorban dan merendah diri.

Semoga bermanfaat.

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1655094114585060

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: