News!!

Walaupun Diperleceh, Kecekalan Snouck Berjaya Tumbangkan Aceh

Melewati siri yang ke 18 ini, ikutilah perkembangan seterusnya  bagaimana usaha Snouck Hurgronje untuk membantu Belanda menakluki Aceh sepenuhnya walaupun pada awalnya dia tidak diendah oleh pengurusan tertinggi di waktu itu. 

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 18: PENGLIBATAN SNOUCK HURGRONJE DALAM GERAKAN KETENTERAAN DI ACEH

Walaupun Snuck Hurgronje telah menjadi Penasihat Hal-Ehwal Agama bagi Penjajah Belanda di Hindia Timur (Indonesia) sejak awal kedatangannya, namun nasihat-nasihatnya sukar diterima oleh Gabenor Belanda, Cornelis Pijnacker Hordijk (1847-1908). Hordijk menjadi Gabenor dari tahun 1888-1893. Dia banyak dipengaruhi oleh ketua ketenteraan, Mejar Jeneral C. Deijkerhoff yang mengatakan Snouck telah melebih-lebihkan golongan Ulama’.

Snouck Hurgronje telah membahagikan penentang Aceh kepada tiga kumpulan iaitu Sultan, Ulama’ dan Hulubalang. Pengaruh Sultan boleh diabaikan kerana lemah sokongannya, pemimpin Ulama’ perlu dijatuhkan kerana seruan Jihad yang kuat dikobarkan sementara kerjasama perlu dilakukan dengan Hulubalang dengan jaminan kepentingan bersama.

Namun nasihat ini dianggap oleh Deijkerhoff sebagai nasihat yang lapuk dan tiada yang baru. Snouck hanya menekankan lebih peranan Ulama dan peranan Islam dalam penentangan orang Aceh. Sememangnya Deijkerhoff di Aceh telah bekerjasama dengan Hulubalang yang menyokong mereka iaitu Teuku Umar.

Snouck juga menasihatkan untuk Hulubalang diserapkan dalam pentadbiran kerajaan dalam membentuk polisi untuk mengenal pasti pihak yang menyokong atau pihak yang menentang. Deijkerhoff pula telah bekerjasama secara ketenteraan dengan Teuku Umar dengan memberikan bantuan senjata dan membentuk kumpulan tentera.

Deijkerhoff percaya bahawa musuh utama Penjajah Belanda di Aceh ialah pengaruh luar seperti orang Arab atau Haji yang pulang dari Mekah dan bukannya orang-orang dari dalam. Pendapat Deijkerhoff ini menyebabkan dia memberi kepercayaan sepenuhnya kepada orang tempatan dan kurang berjaga-jaga sehingga akhirnya membawa keburukan kepada Penjajah Belanda.

KERJASAMA C. DEIJKERHOFF DAN TEUKU UMAR

Image may contain: 1 person, text

Apabila Deijkerhoff menjadi Gabenor Ketenteraan di Aceh pada tahun 1892, Teuku Umar telah menawarkan bantuan kepada Belanda. Teuku Umar dikatakan mempunyai dendam terhadap segelintir ulama yang telah melakukan kejahatan di tempatnya.

Deijkerhoff yang ketika itu sedang menguatkan pelabuhan Aceh dan peraturan pelayaran melihat sokongan Teuku Umar akan memudahkan urusan dengan penduduk pesisiran pantai selain dapat memerangi tentangan Ulama yang tegar.

Setelah mendapat persetujuan dari Gabenor Jeneral Hordijk, Teuku Umar diraikan bersama 15 orang pengikutnya dalam satu majlis besar-besaran. Teuku Umar telah menyatakan janji setia kepada Belanda dan dilantik menjadi Panglima Perang Besar Kerajaan Belanda dengan gelaran Teuku Umar Johan Pahlawan.

Teuku Umar kemudiannya telah membina beberapa kubu pertahanan yang mengabungkan orang tempatan Aceh dan tentera Belanda. Melalui beberapa siri penaklukan kawasan oleh Teuku Umar pada tahun 1893 dan 1894, Deijkerhoff telah membantu Teuku Umar untuk menyiapkan tentera seramai 250 orang lengkap bersenjata. Teuku Umar turut diberikan wang tunai dan senjata-senjata baru.

PENGKHIANATAN TEUKU UMAR

Pada March 1896, perkara yang dirisaukan Snouck akhirnya berlaku apabila Teuku Umar telah menggunakan senjata dan wang yang diberikan kepadanya untuk menyerang pusat-pusat pertahanan Belanda. Wang sebanyak $18,000 dan 880 pucuk senapang telah dilarikan selain peluru, jongkong timah, candu dan alatan lain.

Teuku Umar dikatakan tersepit dengan arahan-arahan Djeikerhoff yang mengarahkan serangan ke atas kawasannya. Kumpulan Aceh yang diketuai oleh Ulama’ juga mengelak untuk berperang dengan Teuku Umar kerana peperangan terhadap sesama Islam dianggap bukan Jihad.

Image may contain: 1 person, text

Gabenor Jeneral Belanda telah pun diambil alih oleh C.H.A. Van der Wijck pada tahun 1893 menggantikan Pijnacker Hordijk. Van der Wijck telah banyak membaca surat-surat dan nasihat Snouck sejak dia menjadi Gabenor. Selepas kejadian pemberontakan tersebut, Snouck Hergronje mula mendapat tempat dalam perancangan ketenteraan Belanda di Aceh.

Djeikerhoff turut dipecat oleh Van der Wijck dan digantikan dengan Mejar Jeneral yang baru iaitu J.A. Vetter. Vetter telah dikenali dengan nama “Penyembelih Lombok”, panglima perang Belanda yang telah berjaya mengalahkan tentangan di Lombok dengan taktik perang gerila dalam kumpulan perang yang kecil.

Bermula pada tahun 1896, 1000 orang tentera telah dikerahkan untuk memulakan serangan besar-besaran ke atas Teuku Umar sehingga tahun 1897. Teuku Umar terpaksa berundur ke kawasan pedalaman yang sangat sukar dimasuki oleh tentera Belanda di kawasan pergunungan Pedir.

KERJASAMA VAN HEUSTZ DAN SNOUCK HURGRONJE MEMBAWA KEMENANGAN BELANDA

Pada tahun 1898, J.B. Van Heustz telah dilantik sebagai Mejar Jeneral di Aceh dan dia telah berkawan dengan Snouck sejak kedatangannya ke Betawi pada 1889. Van Heustz telah membentuk kerjasama yang erat dengan Snouck untuk merancang gerakan ketenteraan terhadap pemberontak Aceh.

Snouck Hurgronje telah mencadangkan untuk Belanda keluar dari pos-pos pertahanan dan keluar menyerang orang-orang Aceh. Ketua-ketua pemberontak dari kalangan Ulama dan Hulubalang harus diburu, ditangkap atau dibunuh untuk melemahkan pengikut-pengikutnya. Tentera Belanda juga harus mampu berperang secara gerila di kawasan pedalaman hutan dan pergunungan.

Van Heustz telah mengerahkan seramai 7500 orang tentera dengan bantuan dari Lombok dan Jawa untuk memburu Teuku umar dan menyerang kumpulannya di pedalaman Pedir. Walaupun Teuku Umar masih belum ditangkap, ramai hulubalang dan ulama yang lain telah berjaya dikalahkan.

Image may contain: 10 people, text

Atas nasihat Snouck, hulubalang-hulubalang yang ditangkap diberikan tawaran untuk menjadi pegawai kerajaan dan menyatakan pengiktirafan Kolonial Belanda sebagai pemerintah mereka. Mereka diwajibkan untuk menandatangani surat perjanjian dan dijamin keselamatan. Mereka juga diberikan kekuasaan kembali di kawasan mereka sebagai wakil Belanda. Hulubalang yang enggan pula dikenakan bayaran denda yang tinggi.

Teuku Umar akhirnya berjaya dibunuh pada tahun 1899. Tentangan dari orang Aceh terus berlanjutan tetapi penentang Aceh berada dalam keadaan bertahan. Serangan Belanda semakin kuat dengan sokongan Hulubalang-Hulubalang yang telah berpihak kepada Belanda.

Sehingga tahun 1903, dua pemimpin utama orang Aceh iaitu Panglima Polem dan Sultan Daud akhirnya menyerah kalah. Ketika ini, Belanda telah mewujudkan pentadbiran yang stabil di Aceh dengan bantuan hulubalang tempatan sementara penentangan orang Aceh telah berkurang dan mampu dikawal.
.

SERANGAN GERILA DIHENTIKAN
.

Pada tahun 1903, Snouck Hurgronje telah meletakkan jawatannya sebagai penasihat Kolonial Belanda. Snouck merasakan nasihat-nasihatnya masih lagi tidak dapat dilakukan sepenuhnya terutamanya hal-hal berkaitan agama. Snouck akhirnya menerima tawaran daripada Universiti Leiden untuk menjadi profesor dalam Bahasa Arab di sana lalu pulang ke Belanda pada tahun 1906.

Van Heutsz akhirnya dilantik menjadi Gabenor Jeneral Kolonial Belanda pada tahun 1904. Kumpulan tentera di bawah Van Heutsz terus meluaskan kekuasaan Belanda di seluruh Indonesia sehingga dapat diperintah oleh Belanda.

Serangan gerila dari orang Aceh masih terus berlaku sehingga tahun 1912 apabila kebanyakan ketua-ketua penentang telah ditewaskan dan ditangkap. Taktik serangan orang Aceh berubah kepada pembunuhan pegawai-pegawai penjajah Belanda. Dari 1910 sehingga 1937, 120 kematian pegawai Belanda telah dilaporkan.

KESIMPULAN

Snouck Hurgronje mengenali sikap orang-orang Aceh yang kuat menentang dan semangat jihad sukar dipadamkan melalui ajaran Islam yang mereka anuti. Snouck mencari jalan damai pada awalnya untuk mendapat sokongan orang-orang Aceh terhadap kerajaan Belanda.

Image may contain: 5 people

Peristiwa pengkhianatan Teuku Umar telah memaksa Snouck dan Van Heutsz untuk menukar strategi kepada serangan besar-besaran melumpuhkan pemberontakan. Dalam keadaan terpaksa dan lemah, hulubalang yang tewas bekerjasama dengan Belanda untuk keselamatan dan keuntungan bersama.

Snouck akhirnya berjaya membina kelompok tempatan yang menyokong Kerajaan Belanda walaupun dalam keadaan paksa. Tetapi generasi baru Indonesia harus di bentuk, melalui sistem liberal dan sekular untuk membantu Belanda mengubah keadaan sosial masyarakat Indonesia.

Snouck Hurgonje pulang ke Leiden dengan misi seterusnya, untuk membawa orang-orang Indonesia ke Eropah dan dibentuk menjadi pegawai Belanda sebelum kembali menjadi pentadbir masyarakat Indonesia.

Snouck juga berperanan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan-kerajaan Eropah dan Timur Tengah untuk menjatuhkan Khalifah Islam Turki Uthmaniyyah. Penulisan-penulisan Snouck turut menjadi rujukan penjajah lainnya terutama British yang menjajah di Tanah Melayu ketika itu.
.

Semoga bermanfaat.

Sumber:

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

********** DIREKTORI **********
.

Bagi anda yang baru bersama siri penggalian sejarah ini, WAJIB BACA hasil penggalian sebelum ini yang menjelaskan misi mengapa perkongsian sejarah ini ditulis melalui pautan berikut;

PENGENALAN : KENAPA HASIL KAJIAN SEJARAH INI PERLU DITULIS SEMULA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1558905024203970

SIRI 1: SIAPAKAH DALANGNYA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1559867924107680

SIRI 2: STRATEGI SNOUCK HURGERONJE MEMASUKI MEKKAH.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1560747314019741

SIRI 3: STRATEGI SNOUCK YANG MEMANFAATKAN FOTOGRAFI

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1561678307259975

SIRI 4 : PEMERHATIAN SNOUCK TENTANG ORANG ISLAM DAN MASYARAKAT MEKAH.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1562845483809924

SIRI KE 5: PENGENALAN BEBERAPA ORIENTALIS DI SEKITAR SNOUCK HURGRONJE

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1563688290392310

SIRI KE 6: HABIB ABDURRAHMAN AZ-ZAHIR – PENASIHAT SNOUCK HURGRONJE

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1564621770298962

SIRI KE 7: PEMIKIRAN DAN IDEA SNOUCK KEPADA KERAJAAN KOLONIAL BELANDA

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1565743330186806

SIRI KE 8: STRATEGI PECAH DAN PERINTAH (DEVIDE ET IMPERA) SNOUCK HURGRONJE.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1566524616775344

SIRI KE 9: PERANAN BAHASA DAN UNIVERSITI LEIDEN SEBAGAI TEMPAT BERMULANYA ORIENTALISM DI BELANDA

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1567293980031741

SIRI KE 10: MISI SNOUCK HURGRONJE DI BETAWI SERTA KERJASAMA DARI RAKAN BELANDA DAN PEMIMPIN TEMPATAN

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1569055403188932

SIRI KE 11: SNOUCK HURGRONJE DI ACEH DAN PEMERHATIANNYA DALAM HAL-EHWAL MASYARAKATNYA

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1570052026422603

SIRI KE 12: KELEMAHAN SISTEM PENDIDIKAN ISLAM MASYARAKAT ACEH DI MATA SNOUCK

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1571012949659844

SIRI KE 13: AJARAN MISTIK DAN TAHYUL YANG MEROSAKKAN MASYARAKAT ISLAM ACEH.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1571730762921396

SIRI KE 14: ‘MUHAMMADANISME’ – PENDAPAT SNOUCK HURGRONJE YANG BERJAYA MEROSAKKAN AQIDAH UMAT ISLAM

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1572834986144307

SIRI KE 15: KENAPA PENJAJAH TAKUT PADA GERAKAN PAN-ISLAMISM DAN APA HUBUNGANNYA DENGAN IBADAH HAJI?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1574077099353429

SIRI KE 16: BAGAIMANA SNOUCK MELIHAT PELAKSANAAN AL-QURAN DALAM MASYARAKAT ISLAM NUSANTARA.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1576291249132014

SIRI KE 17: SAYID USMAN – MUFTI DI BETAWI DAN SENJATA BELANDA MELAWAN GERAKAN JIHAD.

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: