News!!

Tragedi Dier Yassin, Kekejaman Zionis Yang Dikutuk Oleh Bangsanya Sendiri

Tiada ungkapan sesuai yang boleh menggambarkan mengenai keganasan pihak Zionis terhadap rakyat Palestin.  Setelah melangkaui satu abad, tiada tanda-tanda yang zionis sudah puas menghirup darah walaupun terdapat inisiatif gencatan senjata dari kedua-dua belah pihak. Sedar atau tidak, kehadiran Yahudi menjejakkan kaki di bumi Palestin adalah di atas perancangan “Orang ketiga”. Bacalah artikel ini agar kita faham akan punca sebenarnya.

TRAGEDI DEIR YASSIN: SIRI KEKEJAMAN ZIONIS DI PALESTIN
Konflik penubuhan Negara Israel merupakan suatu konflik yang berterusan dan belum mencapai kata putusnya sehingga hari ini. Walaupun setelah lebih 100 tahun bermulanya agenda negara Israel di bumi Palestin, kekejaman dan kezaliman terhadap orang-orang Islam Arab tidak berkesudahan.
3 Mac 1924 merupakan tarikh rasmi kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniyyah dan negara-negara Barat terus meratah setiap negara Islam mengikut kehendak mereka. Genaplah 94 Tahun hilangnya pemerintahan Khalifah Islam. Bumi Palestin menjadi agenda utama bagi Kristian dan Yahudi sewaktu kejatuhan Turki Uthmaniyyah.

Tragedi Deir Yassin merupakan salah satu dari rentetan kekejaman Zionis untuk menduduki bumi Palestin secara haram dan zalim. Tragedi ini walaupun berlaku di Palestin, tetapi adakah kita tahu tentang kaitannya dengan sejarah di Tanah Melayu?
DEKLARASI BALFOUR DAN CAMPUR TANGAN BRITISH
Penduduk Islam Arab pada tahun 1881 dilaporkan sebanyak kira-kira 565,000 orang – 90% daripada jumlah keseluruhan penduduk Palestin. Penduduk Yahudi pula adalah sebanyak 24,000 orang dan selebihnya adalah Kristian.
Apabila Kerajaan British mengisytiharkan sokongannya melalui Deklarasi Balfour pada 1917 untuk menyokong penubuhan Negara Israel, sekitar 688,000 orang Yahudi dipindahkan ke Palestin dalam tempoh tiga tahun.
Kerajaan British secara rasmi telah mengisytiharkan ‘Mandat British’ sebagai sokongan orang-orang Kristian ke atas Yahudi dengan alasan nasionalism dan kepercayaan agama. British menyokong kehendak Zionis untuk memiliki sebuah negara bangsa untuk orang Yahudi.
Palestin dipilih kerana dianggap tempat turunnya Nabi Isa di akhir zaman yang akan dibantu oleh orang Yahudi. Mereka juga percaya selepas turunnya Nabi Isa, orang Yahudi akan menerima Kristian dan bersatu dengan orang Nasrani.
Oleh itu, British sebagai sebuah negara Kristian mengambil tanggungjawab untuk membantu orang-orang Yahudi.
Selepas Deklarasi Balfour, British menubuhkan Pejabat Tinggi Palestin di Jerusalem pada 1920 dan meletakkan wakilnya (Pegawai Tinggi dan Ketua Sekretariat British) di Palestin. Tentera British turut dikerahkan untuk melindungi pegawai British dan Imigran Yahudi.
KEGAGALAN ‘MANDAT BRITISH’
Setelah lebih 20 tahun usaha British untuk mewujudkan Negara Israel yang kononnya secara adil dan dapat diterima oleh kedua-dua bangsa Arab dan Yahudi, menemui kegagalan. Peperangan di antara Yahudi dan penduduk Arab tetap berterusan dan semakin di luar kawalan.
Kerajaan British terperangkap dengan janji manis yang disogokkan kepada orang-orang Yahudi Zionis dan Liga Arab. British telah menjanjikan sebuah negara kepada orang Israel.
Mereka juga turut menjanjikan kebebasan Palestin untuk orang Arab daripada Turki Uthmaniyyah lalu menyatukan seluruh negara-negara Arab membentuk Kesatuan Arab di Timur Tengah. British memerlukan sokongan dari orang Arab untuk menjatuhkan Turki Uthmaniyyah.
Kedua-dua janji ini menjadi mainan oleh Kerajaan British untuk menghalalkan tindakan mereka untuk membawa masuk orang Yahudi ke Palestin. Pemberontakan dan peperangan yang tidak berkesudahan membawa kepada pengunduran British dari Palestin dan pengakhiran kepada ‘Mandat British’ pada 1948.
GERAKAN-GERAKAN YAHUDI DI PALESTIN 1917-1948.
Kelemahan British menyebabkan gerakan golongan pemberontak dari kalangan Yahudi dan Arab berleluasa. Tentera-tentera British lebih banyak berkubu dan mempertahankan pegawai-pegawai mereka berbanding menjaga keamanan.
Gerakan-gerakan militan dan pengganas Zionis Yahudi melancarkan serangan-serangan terhadap penduduk Palestin untuk meluaskan penguasaan orang Yahudi. Terdapat tiga buah gerakan Yahudi semasa ‘Mandat British’ berjalan dari 1917 sehingga 1948.
‘Haganah’ (Pertahanan) adalah pertubuhan rasmi Zionis Yahudi Palestin yang menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan British. Selepas kemasukan British di Palestin pada 1920, Haganah ditubuhkan pada 1921.
Akibat janji British kepada negara-negara Arab, sebahagian ahli-ahli Haganah keluar dan membentuk gerakan ‘Irgun’ yang lebih radikal dan bersifat ketenteraan pada tahun 1931.
Satu lagi pecahan gerakan militari dari Irgun telah dibentuk pada 1940 iaitu Lehi (Pejuang Pembebasan Israel). Mereka menuntut kemasukan orang Yahudi lebih ramai setelah jumlah kemasukan dihadkan oleh British.
Tentera Irgun dan Lehi bukan sahaja memerangi orang-orang Islam Arab, malah turut memerangi British. Selepas British keluar dari Palestin pada 1948, gerakan ini terus berkuasa melakukan kekejaman di bumi Palestin.
PENDUDUK DEIR YASSIN DAN JIRANNYA
Kejadian berlaku di tahun akhir pemerintahan British di Palestin pada 1948. Deir Yassin ialah sebuah perkampungan di pergunungan barat berhampiran Jerusalem yang menempatkan beberapa ratus orang Islam Arab.
Deir Yassin adalah perkampungan yang pada mulanya tidak terlibat dengan peperangan Arab-Yahudi-British kerana kedudukannya berhampiran Jerusalem yang diisytiharkan sebagai hak bebas kepada kedua-dua bangsa Arab dan Yahudi.
Penduduk Islam di Deir Yassin tinggal aman dengan orang-orang Yahudi di perkampungan bersebelahan iaitu Givat Shaul sejak sekian lama.
Ketika peperangan semakin hebat, peperangan dan pencerobohan berlaku di mana-mana. Pada 20 January 1948, orang-orang kampung Deir Yassin telah bertemu dan berbincang dengan orang Yahudi di Givat Shaul untuk membentuk kerjasama keselamatan.
Penduduk Deir Yassin bersetuju untuk memaklumkan sebarang kemasukan gerakan military orang Arab ke Deir Yassin kepada Givat Shaul. Deir Yassin pula diberikan laluan keselamatan untuk melalui Givat Shaul menuju ke Jerusalem sekiranya berlaku sebarang pencerobohan tentera Yahudi.
KEDATANGAN TENTERA ARAB KE DEIR YASSIN
Gerakan militan Arab telah memasuki Deir Yassin untuk mengajak penduduk Deir Yassin turut sama dalam peperangan. Penduduk kampung menolak permintaan tersebut dan ketua penduduk Deir Yassin disoal siasat tentang hubungan mereka dengan orang Yahudi.
Ketua penduduk Deir Yassin memberikan kenyataan tentang kehidupan mereka yang aman dengan orang-orang Yahudi di Givat Shaul sehingga mereka tidak mahu memerangi orang-orang Yahudi. Dia dilepaskan tanpa sebarang tindakan dan perjanjian keamanan antara dua kampung masih diteruskan.
Penduduk Deir Yassin sekali lagi menolak apabila militan Arab mahu meletakkan sekumpulan tentera dari Iraq dan Syria di kampung tersebut sebagai penjaga keselamatan. Malah penduduk Deir Yassin telah menghalau tentera militan Arab yang datang untuk memerangi orang Yahudi di Givat Shaul.
KEMASUKAN MILITAN YAHUDI IRGUN DAN LEHI KE GIVAT SHAUL
Tentera militan Yahudi, Irgun dan Lehi telah membuat perancangan untuk menyerang Deir Yassin. Mereka telah berkumpul pada 8 April 1948 dengan tentera seramai 120 orang, 80 dari Irgun dan 40 dari Lehi. Serangan di rancang pada Hari Jumaat, 9 April 1948.
Beberapa perkara telah dibincangkan sebelum penyerangan itu seperti berikut:
– Serangan tersebut adalah untuk menguasai laluan ke perkampungan Yahudi untuk menghalang tentera Arab
– Serangan tersebut menampakkan semangat orang Yahudi untuk menduduki Palestin dan menubuhkan Israel.
– Sebahagian mencadangkan kampung lain iaitu Ein Karim untuk diserang berikutan perjanjian aman antara Givat Shaul dan Deir Yassin. Usul ini ditolak oleh wakil dari Lehi kerana menganggap serangan ke atas Dier Yassin lebih mudah.
– Sebahagian mencadangkan pengumuman kepada orang kampun Deir Yassin untuk memberikan masa kepada mereka mengosongkan dan meninggalkan kampung mereka tetapi ditolak kerana tidak mahu operasi ini terjejas.
– Wakil dari Lehi mencadangkan untuk membunuh semua penduduk kampung yang tidak sempat melarikan diri untuk menakutkan orang Arab. Wakil Irgun menolak cadangan ini.
PEPERANGAN BERMULA
Pada jam 4.30 pagi – 9 April 1948, tentera Yahudi Irgun dan Lehi telah mengepung Deir Yassin pada dari selatan dan timur. Pada jam 4.45 pagi, tentera Yahudi memulakan serangan ke atas Deir Yassin. Tentera Lehi dikatakan lewat tiba di posisinya dan memasuki Deir Yassin setelah peperangan berlaku.

Image may contain: one or more people and text
Tentera Irgun dan Lehi bergerak dari rumah ke rumah, melontar bom dan melepaskan tembakan kepada semua isi rumah penduduk Deir Yassin. Walaupun mereka menyasarkan kepada penentang, tetapi tembakan dan lontaran bom rambang membunuh sesiapa sahaja di dalam rumah tersebut.
Pihak dari Haganah turut membantu dengan menghantarkan bekalan bom dan senjata setelah pihak Lehi dan Irgun meminta bantuan. Bantuan dinamit diberikan untuk meletupkan lebih banyak rumah-rumah di Deir Yassin.
Unit penyerang ‘Palmach’ dari Haganah turut dihantar untuk memusnahkan kubu penembak jauh di sebuah menara yang mengancam tentera Lehi dan Irgun. Dengan serangan mortar dan bom, akhirnya kubu kuat Deir Yassin dikalahkan.
Peperangan tamat pada sekitar 11 pagi dan seluruh Deir Yassin telah dimusnahkan. Laporan pembunuhan Dier Yassin mula ditulis selepas lawatan dari wakil Palang Merah Palestin dan beberapa wartawan Arab serta Yahudi.
KESAN PEPERANGAN DEIR YASSIN
Dilaporkan oleh wakil Palang Merah di Palestin, seramai lebih 200 orang penduduk Deir Yassin melibatkan lelaki, wanita dan anak-anak. Laporan lain menyatakan 240 atau 254 orang Islam arab telah dibunuh. Sebuah laporan menyebut, 80 orang tahanan Irgun dan Lehi telah dibunuh setelah peperangan tamat.
25 orang dilaporkan telah disembelih dan dicampak ke lubang kuari. 61 orang dilaporkan mati dalam keadaan bersenjata dari kalangan pejuang, penduduk dan ahli keluarga yang bersama mereka. Dilaporkan juga sebuah keluarga besar seramai 11 orang dibunuh oleh seorang tentera Irgun.
Dikatakan pembunuhan terus berlaku terhadap tahanan sehinggalah apabila penduduk Yahudi dari Givat Shaul datang untuk membantu orang Islam Deir Yassin pada jam kira-kira 2 petang hari yang sama. Dilaporkan seramai 200 wanita dan kanak-kanak masih lagi dalam tahanan yang dapat diselamatkan.
Penduduk Yahudi di Givat Shaul mengutuk sendiri perbuatan militan Irgun dan Lehi dengan mengatakan mereka sebagai ‘Pencuri’ dan ‘Pembunuh’. Penduduk Givat Shaul yang tidak tahu dan tidak terlibat dalam peperangan itu kesal kerana perjanjian keamanan mereka dicabuli.
Sebuah laporan dari Inspektor-Jeneral Richard Catling dari Pasukan Polis British Palestin telah melaporkan bahawa ramai remaja wanita dirogol dan kemudian dibunuh. Wanita tua juga dicabuli.
Terdapat anak wanita yang dikerat dua selain wanita yang dibelasah dan dicederakan. Tangan, jari atau telinga mereka turut dipotong untuk menanggalkan barang perhiasan yang dipakai.
PENUTUP
Kerajaan British merupakan pembuka jalan kepada peperangan Arab dan Yahudi untuk menegakkan Negara Israel.
Dengan tujuan utamanya untuk menjatuhkan Khalifah Islam Turki Uthmaniyyah ketika itu pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mendapat sokongan Yahudi dengan agenda negara Israel.
Kerajaan British turut memberikan janjinya kepada orang Arab untuk membantunya menjatuhkan Turki Uthmaniyyah.
Walaupun kelihatan seperti British gagal dan berundur dari Palestin 1948, tetapi British telah berjaya memecah-belahkan negara-negara Islam dan mewujudkan peperangan Arab-Israel yang tidak berkesudahan.
British mengaku gagal dalam mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan peperangan Arab-Israel sehingga menyerahkan urusan Palestin kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). PBB yang diketuai oleh Amerika Syarikat menyambung semula usaha British untuk menubuhkan Negara Israel.
Pelajaran dari permasalahan antara bangsa Yahudi dan Arab dijadikan sebagai suatu rujukan bagi mengawal pemberontakan di Tanah Melayu semasa zaman darurat pada tahun 1948.
Sir Henry Gurney yang menjadi Ketua Sekretariat British di Palestin sehingga 1948, telah dihantar pula ke Tanah Melayu sebagai Pesuruhjaya Tinggi British untuk menentang gerakan Anti-British oleh Tentera Anti-British Orang Malaya (Malayan People’s Anti-British Army- MPABA).
Melalui pengalaman di Palestin, Sir Henry Gurney berjaya mengawal kebanyakan orang Melayu dan orang Cina daripada terlibat dalam pemberontakan militan MPABA. Orang-orang tempatan juga diambil menjadi askar dan tentera British untuk memerangi pemberontak sehingga mereka dilemahkan dan akhirnya tewas.
Semoga bermanfaat,

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN
Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1689487987812339

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: