News!!

Tekanan Emosi Yang Melampau Boleh Menyebabkan Bayi Anda Cacat!

Meneruskan perkongsian daripada penulis mengenai tips kehamilan yang sangat berguna untuk ibu-ibu yang sedang mengandung. Rupa-rupanya amat tinggi risiko terhadap bayi yang ibunya sentiasa dalam keadaan stress. Moga bacaan ini dapat membantu ibu-ibu dan juga para suami memahami situasi sebenar mengenai peranan emosi terhadap bayi mereka.

TIPS KEHAMILAN: KESAN EMOSI IBU TERHADAP KECACATAN BAYI – PART 3

Dalam siri 2 telah dijelaskan apa kaitan ‘Pemikiran’ dengan EMOSI, dan apa kesan negatif dari tekanan emosi terhadap pertumbuhan bayi. Maknanya, emosi boleh direka dan dididik melalui PEMIKIRAN kita.

Kali ini ingin saya kongsikan secara saintifik, bagaimana kesan negatif itu boleh terhasil. Tidak perlu memaksa diri untuk hafal atau memahami istilah saintifik yang dinyatakan dalam artikel ini. Cukuplah untuk ibu-ibu tahu dan yakin akan kemungkinan kesan buruk ini boleh terjadi pada bayi. Dengan itu diharapkan ibu-ibu akan lebih berusaha untuk mengawal emosi dan mengurangkan tekanan.

Insya-Allah dalam siri berikutnya akan saya cuba kongsikan pula beberapa kaedah yang patuh syariah untuk mengatasinya.

KESAN BURUK DARI TEKANAN (STRESS) YANG BAGAIMANA?

Terkejut melihat atau mengalami sendiri kemalangan ngeri, disergah anjing atau haiwan liar mungkin memberikan tekanan dan ketakutan yang hebat. Namun jika ia hanya berlaku sekali dua sepanjang kehamilan, mungkin kesannya tidak seberapa.

Yang boleh memberi kesan buruk dan berkekalan kepada bayi ialah bentuk tekanan yang berpanjangan atau kronik. Contohnya tekanan dari karenah suami dan anak sendiri, karenah bos dan rakan sekerja, atau disebabkan masalah dengan ipar dan mertua. Masalah tidak dapat diselesaikan sedangkan mereka sentiasa berada di samping kita.

Meletakkan diri dalam situasi yang menjengkelkan dan sangat menekan emosi ini boleh menyebabkan masalah fizikal seperti tekanan darah tinggi, sakit kepala dan keletihan yang berpanjangan. Jika berterusan ia boleh menyebabkan penyakit jantung bukan sahaja pada ibu, malah juga berisiko kepada bayi. Kesannya amat tidak baik untuk bayi dan membuatkan kehamilan menjadi lebih sukar.

BAGAIMANA KESAN NEGATIF TERJADI SECARA SAINTIFIK?

Perasaan benci, marah atau takut kepada seseorang sehingga menghadapi tekanan berpanjangan akan membuatkan tubuh mengeluarkan hormon KORTISOL dan EPINEFRIN (ADRENALIN). ‘Stress hormones’ ini meletakkan anda dalam mod “lawan atau lari”, iaitu mod cemas.

Tekanan emosi ibu akan turut mengaktifkan sistem endokrina bayi dan boleh mempengaruhi perkembangan jasad dan otak janin.

EPINEFRIN (ADRENALIN) menyebabkan denyutan jantung ibu jadi tinggi, meningkatkan kadar pernafasan, tubuh menggeletar, berpeluh, dehydrasi, mulut kering, sakit perut, cirit birit, panik dan sebagainya. Untuk kandungan, ia boleh menyebabkan aliran darah plasenta menurun.

Kadar jantung dan fisiologi tubuh bayi turut merespon terhadap perubahan fisiologi ibu ini, termasuklah terhadap kandungan gula dalam darah.

Dalam dos fisiologi secara semulajadi, iaitu jumlah yang dilepaskan oleh kelenjar adrenal, denyut jantung bayi akan turut bertambah sepertimana yang dialami ibu. Walaubagaimanapun, plasenta (uri) ada fungsi mengawal aliran hormon itu, khususnya dalam julat tekanan yang tinggi secara mengejut. Dianggarkan bahawa hanya 10-12% sahaja Epinefrin ibu sampai kepada janin.
.
Sebenarnya tubuh keluarkan hormon ini secara semulajadi untuk membantu kita mengatur reaksi terhadap situasi. Malangnya, apabila selalu sangat terdedah kepada situasi ‘stress’ seperti ini, imuniti tubuh akan menurun dan kita lebih mudah diserang penyakit. Akibatnya kehamilan akan jadi lebih kaku, kejang dan sangat berisiko terhadap janin.

KORTISOL pula adalah hormon steroid, dalam kelas hormon glukokortikoid. Ia dikeluarkan oleh kelenjar adrenal yang berada di bagian atas ginjal.

Apabila dikeluarkan secara sintetik sebagai ubat, ia dikenali sebagai Hydrocortisone. Biasanya digunakan untuk mengurangkan bengkak, kesakitan dan inflamasi pada mata, kulit, sendi (arthritis), masalah pernafasan, kanser, dan alergi.

Pengeluarannya juga sebagai tindak balas semulajadi tubuh semasa menghadapi tekanan dan kejutan, atau apabila kepekatan glukos dalam darah merendah. Tujuannya untuk meningkatkan paras gula darah yang diperlukan melalui proses glukoneogenesis ketika kita dalam keadaan tertekan, marah, terkejut atau takut.

Selain dari kesan serupa dengan Adrenalin pada ibu, kesan Kortisol secara berterusan boleh menyebabkan DIABETES GESTASI, iaitu Kencing Manis khas yang berlaku ketika mengandung. Ini juga tidak baik bagi bayi.
.
Hormon ini bertindak menekan proses pertumbuhan, pencernaan dan proses reproduksi, serta MENEKAN SISTEM IMUNITI tubuh. Ia membantu metabolisme (pembakaran) lemak, protein, dan karbohidrat.

Walaupun Plasenta ada fungsi ‘menyahaktifkan’ kortisol untuk mengurangkan kesannya pada bayi, namun pendedahan yang berpanjangan kepada kortisol masih boleh menjejaskan janin. Kesan Kostisol yang menekan sistem imuniti boleh meningkatkan peluang ibu mendapat jangkitan pada rahim. Ini boleh menyebabkan kelahiran pramatang, di samping berlaku jangkitan pada bayi yang boleh menyebabkan keguguran atau kematian (stillbirth).

Lebih malang lagi, ibu-ibu harus tahu bahawa Kortisol turut mengurangkan pembentukan tulang dengan menghalang percambahan sel periosteal. Oleh itu, di samping saiz bayi yang kecil, Kostisol boleh turut menjejaskan pembentukan darah oleh sum-sum tulang dan beberapa kecacatan lain, khususnya apabila berlaku gangguan yang tinggi dan berterusan pada awal kehamilan (trimester pertama).

Semuga penjelasan di atas menjadi dalil yang meyakinkan, mengapa ibu-ibu yang mengalami tekanan yang melampau dan berpanjangan lebih cenderung mengalami,

>> Kelahiran bayi pramatang, keguguran atau kematian bayi (stillbirth)
>> Berat badan bayi di bawah paras normal,
>> Masalah pada pertumbuhan OTAK dan masalah tingkah laku anak di kemudian hari seperti lembam, hiperaktif, mudah marah, kolik (dikaitkan dengan kuat menangis) juga gejala tantrum.
>> Kurang imuniti dan mudah terkena jangkitan pada rahim ibu dan bayi
>> Dalam kes lebih teruk, ia malah boleh ke tahap melahirkan bayi yang cacat.

Untuk lebih jelas, sila baca juga artikel sebelum ini,
https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1387830651321281
https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1386127221491624

Semuga bermanfaat untuk pedoman kita bersama bagi melahirkan bayi yang sihat dan afiat, rohani dan jasmaninya. Mereka adalah harapan kita untuk sama-sama membentuk ummah terbaik pembela keluarga, agama, bangsa dan negara.

Nantikan sambungannya,

Dr Hj Masjuki Mohd 
Akademi Insan Prihatin

Sumber: https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1388745711229775

 

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: