News!!

Taktik Ahli Politik, Ahli Korporat dan Individu Berpengaruh Lari Dari Cukai

APAKAH Paradise Papers?

Paradise Papers melibatkan kebocoran besar dokumen kewangan di luar pesisir yang membongkar bagaimana golongan elit menggunakan struktur kompleks untuk melindungi wang tunai mereka daripada cukai lebih tinggi. Dokumen tersebut diperoleh akhbar Jerman, Süddeutsche Zeitung yang mendedahkan butiran Panama Papers pada tahun lalu.

Nama Paradise Papers dipilih kerana profil kebanyakan pihak terlibat di luar pesisir adalah di kawasan persekitaran indah termasuk ibu pejabat syarikat utama, Appleby yang berpusat di Bermuda.

Siapa yang didedahkan?

Skandal kewangan luar pesisir itu melibatkan ratusan ahli politik, syarikat gergasi, selebriti dan individu berpengaruh.

Ia turut mendedahkan tentang firma guaman, institusi kewangan dan akauntan bekerja dalam sektor tersebut serta bidang kuasa yang mengguna pakai peraturan cukai luar pesisir untuk menarik wang.

Dari mana Paradise Papers muncul?

Terdapat lebih 1,400GB data mengandungi kira-kira 13.4 juta dokumen.

Sebanyak 6.8 juta adalah daripada penyedia perkhidmatan undang-undang luar pesisir, Appleby dan penyedia perkhidmatan korporat, Estera. Kedua-duanya beroperasi secara bersama di bawah nama Appleby sehingga Estera bergerak sendiri pada 2016.

Kira-kira enam juta dokumen lain adalah daripada pendaftaran korporat di bawah 19 bidang kuasa kebanyakannya di Caribbean.

Sejumlah kecil dokumen pula adalah daripada penyedia perkhidmatan korporat dan pemegang amanah antarabangsa, Asiaciti Trust berpusat di Singapura.

Dokumen dibocorkan itu merangkumi maklumat selama tujuh dekad bermula 1950 hingga 2016.

Apakah Appleby?

Sebuah firma undang-undang yang membantu syarikat, institusi dan individu berpendapatan tinggi menubuhkan dan mendaftarkan syarikat dalam bidang kuasa di luar pesisir. Diasaskan di Bermuda sejak 1890-an, ia telah menjadi salah satu syarikat terbesar dan terkenal daripada 10 syarikat terlibat dalam arena pakar.

Pendedahan itu menunjukkan Amerika Syarikat menguasai daftar pelanggan dengan lebih 31,000 alamat selain lebih 14,000 alamat Britain dan 12,000 di Bermuda.

Anggota Persatuan Antarabangsa untuk Percukaian Transaksi Kewangan dan Bantuan kepada Rakyat (ATTAC) mengadakan protes di luar kedai Apple di Paris.

Siapa dedahkan Paradise Papers?

Ketika pembongkaran Panama Papers pada 2016, akhbar Jerman Süddeutsche Zeitung memperoleh bahan asal dan menjadi titik tolak kepada penyiasatan skandal pengelakan cukai itu. Dalam kes Panama Papers, pembocor asal hanya dikenali sebagai John Doe yang turut mengeluarkan manifesto sebulan selepas tarikh ia diterbitkan. Pada kali ini, satu kenyataan ringkas hanya memberitahu, ‘Untuk perlindungan mereka, Süddeutsche Zeitung sebagai dasar umum tidak mengulas tentang sumbernya!’.

Siapa di sebalik pembongkaran itu?

Seperti Panama Papers, rangkaian wartawan penyiasat global, Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) telah dipanggil untuk bekerjasama dengan projek itu. Terdapat hampir 100 rakan media dari 67 negara termasuk Guardian dan New York Times terlibat dalam program tersebut.

Kenapa siasatan untuk kepentingan awam?

Rakan media mendakwa siasatan itu adalah demi kepentingan awam kerana kebocoran data dari dunia luar pesisir telah berulang kali mendedahkan salah laku. Pendedahan itu telah membawa kepada ratusan siasatan dilancarkan di seluruh dunia menyebabkan ahli politik, menteri malah perdana menteri meletak jawatan.

Kenapa kebocoran pada kali ini berbeza?

Ia adalah pendedahan kelima kertas kewangan terbesar sejak empat tahun lalu. Panama Papers yang dibocorkan tahun lalu adalah besar dalam bentuk saiz iaitu 2.6TB, namun skala maklumat dalam Paradise Papers dan bagaimana ia membongkar urusan golongan elit di luar pesisir yang sofistikated dan kebanyakan dikaitkan dengan Britain adalah tidak pernah berlaku sebelum ini.

Gerard Ryle yang menyelia wartawan di ICIJ menyifatkan pendedahan itu penting walaupun dokumen tersebut lebih sukar daripada Panama Papers. “Ia datang dalam pelbagai bentuk format dan kami terpaksa mengambil masa yang lama untuk mentafsirnya kerana set data dokumen terbabit adalah lebih sukar,” ujarnya.

Apakah sebenarnya tax haven atau kawasan lindungan cukai?

Sukar untuk memberikan definisi yang tepat. Tax haven adalah istilah yang biasanya digunakan oleh media dan orang ramai sedangkan industri lebih suka menggelar ia sebagai pusat kewangan luar pesisir (OFC). Ia pada dasarnya adalah bidang kuasa di luar peraturan negara digunakan syarikat dan individu untuk menurunkan cukai mereka atas keuntungan atau aset. Mereka biasanya bersifat rahsia dan stabil.

Ia juga sering terdiri daripada pulau kecil kebanyakannya Dependensi Mahkota Britain atau wilayah luar negara. Negara seperti Switzerland, Ireland dan Netherlands mempunyai mekanisme sama pengurangan cukai manakala Britain dan Amerika Syarikat (AS) adalah negara utama yang menyediakan perkhidmatan memudahkan penggunaan OFC.

Sumber: Sinar Online

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: