News!!

Siapakah Sahabat Nabi Yang Menegakkan Sunnah Dan Penghancur Doktrin Bidaah?

Menyusuri usaha dakwah Baginda Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi, pastinya dipenuhi dengan pelbagai ranjau dan onak duri. Namun dengan sokongan para sahabat Baginda yang tidak berbelah bagi, usaha dakwah telah berjaya sehingga Islam menyinari ke seluruh pelusuk dunia. Kali ini, kami bakal kongsikan kepada anda siapakah antara “Sahabat” yang menjadi tonggak utama sehingga Islam berada di persada dunia.

KENALI SAHABAT NABI – IBNU MAS’UD

Image may contain: text

Nama penuh beliau ialah Abu Abdirrahman Abdullah bin Mas’ud al-Hudzali al-Makki al-Badri. Beliau sering juga dipanggil dengan sebutan ‘Ibnu Ummi Abd’ dinisbatkan kepada ibunya kerana bapanya telah meninggal sejak beliau kecil.

Abdullah bin Mas’ud adalah seorang sahabat terkemuka, lantang bersuara dan menyampaikan pendapat selari dengan Al-Quran, imam dan ahli ilmu di kalangan para sahabat. Penegak sunnah Rasulullah dan penghancur doktrin-doktrin bid’ah yang menyesatkan umat Islam selepas kewafatan Nabi.

Ibnu Mas’ud terkenal dengan ketinggian ilmu dan kefahaman dalam menghurai rahsia Al-Quran. Butir-butir kalimat yang beliau ucapkan seperti ungkapan dari lisan kenabian. Beliau amat fasih dalam menjelaskan ayat-ayat mutasyabihat (strategi) Al-Quran serta menggunakan formulanya di dalam urusan agama.

Ibnu Mas’ud juga salah seorang penyusun lembaran-lembaran dan catitan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W mengikut asbabun nuzul. Beliau disebut oleh Rasulullah S.A.W sebagai salah seorang yang paling memahami setiap ayat yang diturunkan, asbab diturunkan, bila dan di mana ia berlaku.

Kebijaksanaannya membolehkan beliau menulis dan menyusun seluruh kandungan Al-Quran menurut Mushaf atau susunannya. Ibnu Mas’ud sentiasa bertadarus bersama Rasulullah S.A.W dan Baginda sendiri sentiasa menyemak bacaan Al-Quran Ibnu Mas’ud sehingga bacaannya sangat diyakini.

Beliau menerima AI-Quran langsung dari mulut Rasulullah S.A.W sendiri dan membacanya sebagaimana didengarnya dari baginda. Rasulullah S.A.W bertutur tentangnya. “Barang siapa ingin mendengarkan Al-Qur’an dalam keadaan segar sebagaimana ia turun, maka dengarkanlah bacaan Abdullah bin Mas’ud.” (HR. Tirmidzi)

Abdullah bin Mas’ud secara fizikal adalah seorang yang berbadan kurus dan lembut namun tegas dan cerdas. Beliau juga seorang yang cermat, pembersih dan suka memakai wangian. Di sebalik perwatakannya yang sederhana, beliau bukanlah seorang yang lemah.

Ibnu Mas’ud telah membunuh Abu Jahal dengan memenggal kepalanya dalam Perang Badar. Tidak dinafikan lagi beliau adalah seorang yang sangat berani. Semua peperangan penting telah disertai beliau bersama-sama Rasulullah. Tidak ada satu pun yang beliau culas melainkan sentiasa berada di samping Rasulullah S.A.W.

KEUTAMAAN BELIAU DI KALANGAN PARA SAHABAT

Pertama: Beliau termasuk assabiqunal awwalun (golongan awal memeluk Islam).

Beliau sendiri pernah menuturkan, “Sungguh dahulu aku melihat bahawa aku adalah orang keenam yang tidak ada seorang pun yang muslim selain kami.”

Kedua: Keakrabannya bersama Rasulullah.

Ibnu Mas’ud mengatakan, “Rasulullah pernah meminta kepadaku, ‘Bacakanlah untukku beberapa ayat al-Qur’an.’ Lalu aku katakan, ‘Wahai Rasulullah, apakah saya pantas membacakan untukmu, padahal al-Qur’an itu turun kepadamu.’ Rasulullah menjawab, ‘Ya, tetapi aku ingin mendengarkannya dari selainku.’ Lalu aku membaca surat an-Nisa’, hingga tatkala sampai pada ayat:

“Maka bagaimanakah, apabila Kami mendatangkan seseorang saksi dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu sebagai saksi atas mereka itu”. (QS an-Nisa’: 41)

Tiba-tiba Rasulullah mengatakan, ‘Cukup’, lalu aku melihat kedua mata beliau mencucurkan air mata.”

Ketiga: Pengiktirafan Rasulullah atas kemuliaan Ibnu Mas’ud.

Dari Dzur bin Hubais dari Ibnu Mas’ud, suatu ketika ia (Ibnu Mas’ud) sedang memetik kayu siwak dari kayu arak lalu kedua betis beliau tersingkap oleh angin, maka orang-orang menertawakan karena kedua betis beliau terlihat kurus/kecil, lalu Rasulullah bertanya, “Apa yang menyebabkan kalian tertawa?”.

Mereka menjawab, “Wahai Nabiyyullah, karena kedua betisnya yang kurus itu tersingkap.” Lalu beliau mengucapkan, “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kedua betis itu kelak dalam timbangan akan lebih berat dari pada Gunung Uhud.”

Keempat: Beliau menjadi asbab turunnya beberapa ayat al-Qur’an yang akan selalu dibaca hingga hari Kiamat.

Sa’ad bin Abi Waqqash berkata, “Suatu ketika, kami sedang bersama Nabi dan kami berjumlah enam orang, lalu orang-orang musyrik berkata kepada Nabi ‘Usirlah orang-orang ini, mereka adalah orang-orang yang rendah yang tidak memiliki keberanian melawan kami.’ ”

Tatkala itu aku (Sa’ad) tengah bersama Ibnu Mas’ud, seorang laki-laki dari Hudzail, Bilal, dan dua orang lain yang aku tidak tahu namanya. Perkataan (orang musyrik) tersebut menusuk perasaan Nabi hingga turunlah ayat:

“Dan janganlah kamu mengusir orang-orang yang menyeru Rabb-nya di pagi dan petang hari, sedang mereka mengharap wajah-Nya”. (QS al-An’am: 52).

Kelima: Keluasan ilmu beliau yang beliau pelajari dari Rasulullah.

Ibnu Mas’ud, berkata, “Demi Allah yang tidak ada sembahan yang haq selain Dia, tidaklah turun suatu surat di dalam Kitabullah kecuali aku mengetahui di manakah surat itu turun, dan tidaklah turun suatu ayat dalam Kitabullah, melainkan aku mengetahui kepada siapa ayat itu diturunkan.

Seandainya ada seseorang yang lebih mengetahui tentang Kitabullah selain diriku, dan tempat tinggalnya masih dapat dijangkau oleh unta, niscaya aku akan datang kepadanya.”

Dari Masyruq, dia mengatakan bahwa suatu ketika Abdullah bin Mas’ud, disebut-sebut di sisi Abdullah bin Amru lalu beliau berkata, “Dia adalah orang yang aku sangat mencintainya setelah aku mendengar dari Rasulullah bahawa beliau bersabda, ‘Belajarlah kalian tentang al-Qur’an kepada empat orang, yaitu Abdullah bin Mas’ud (beliau disebut pertama kali), kepada Salim maula Abu Hudzaifah, Ubay bin Ka’ab, dan Mu’adz bin jabal.”

KESIMPULAN

Kita akan terus menggali dan mengkaji siapakah Ibnu Mas’ud. Kerana beliau merupakan PEMEGANG RAHSIA-RAHSIA RASULULLAH S.A.W. Pastinya kunci serta formula kemenangan Islam telah disampaikan Rasulullah S.A.W kepada beliau.

Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk mengenali beliau dengan lebih dekat lagi dan disampaikan pula kepada anak cucu kita.

Hari ini ramai anak-anak muda tidak mengenali siapakah para sahabat, pejuang dan pembela agama. Begitu juga pembelot dan pengkhianat yang telah membunuh para sahabat lalu menghancurkan agama dari dalam sehingga berlaku perpecahan dan kemusnahan umat sejurus selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.

Sudah sampai masanya kita kaji semula wasiat-wasiat yang telah Rasulullah S.A.W sampaikan kepada Ibnu Mas’ud. Di dalamnya telah terkandung pelbagai peringatan dari baginda menceritakan tanda-tanda tentang keadaan umat akhir zaman. Malangnya, banyak dari tanda-tanda itu telah dan sedang berlaku di zaman kita.

Sama-sama kita kaji dan gali agar kita dapat mengambil pelajaran dari kesilapan umat-umat terdahulu lalu memperbaikinya di zaman kita.

Semoga bermanfaat,

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1662205113873960

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: