News!!

Seremban Bakal Jadi “Lembah Klang”

BANDAR Seremban atau nama asalnya Sungai Ujong,  merupakan sebuah bandar yang sangat sibuk dengan urusan perniagaan, dengan jumlah kepadatan penduduk lebih 500,000 orang.

Pembangunan yang pesat membangun di bandar Seremban ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa melimpahkan pembangunan baharu di luar daripada pusat bandar.

Parlimen Seremban, mempunyai enam Dun iaitu N9 Lenggeng,  N10 Nilai, N11 Lobak, N12 Temiang, N13 Sikamat dan N14 Ampangan.

Empat daripada enam kerusi itu dikuasai oleh parti pembangkang, manakala Dun Ampangan dan Lenggeng adalah milik BN.

Jika dilihat kepada PRU13, majoriti masyarakat di Parlimen Seremban memilih parti pembangkang berbanding BN.

Selain itu, projek keretapi laju (High Speed Rail-HSR) yang bakal dimulakan pada tahun ini, bakal menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah bandar raya yang hebat, dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat melalui projek pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV).

MVV yang akan dibina di barat Negeri Sembilan bermula tahun 2016 merupakan satu pembangunan holistik melibatkan 108,000 hektar dari Nilai, Seremban hingga ke Port Dickson.

Tidak boleh dinafikan, kecekapan dan kebijaksanaan kerajaan negeri dalam menguruskan hal ehwal pembangunan ini sangat dipuji.

Seremban bakal berubah wajah

Melalui RMK- 11 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, bakal membawa perubahan drastik kepada negeri beradat ini apabila kerajaan mewujudkan MVV di Negeri Sembilan meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek yang telah bermula sejak dua tahun lalu, dijangka siap pada tahun 2045 dengan nilai peruntukan sebanyak RM641 bilion.

Katanya, projek yang mempunyai keluasan sebanyak 108,000 hektar itu, akan memberi impak besar kepada kerajaan, terutamanya kemasukan pelabur asing ke negara ini.

“Sekarang ini Lembah Klang dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah terlalu sesak dan terlalu padat dengan pelbagai pusat yang beroperasi di situ.

“Ramai pelabur asing datang untuk meninjau tempat untuk melabur di negara ini, namun mereka tidak mempunyai tempat, kalau ada pun harga yang diberi terlalu tinggi.

“Kini kerajaan perlu mencari ruang baru yang lebih menguntungkan, dan tidak hanya menumpukan pembangunan di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja, kerana setiap infrastruktur yang dibina mempunyai kos yang sangat tinggi,”katanya.

Tambah Mohamad, pihaknya akan membuka 2468.5 hektar kawasan industri baharu dan telah menggazetkan 404.6 hektar dalam kawasan hutan Galla sebagai Sentral Park Lembah Klang yang akan dilakukan secara terperinci.

“Bagi projek pembangunan MVV ini, kerajaan pusat berperanan membina kemudahan infrastruktur seperti pembinaan jalan dan lebuh raya, termasuk juga projek HSR yang akan melalui jajahan MVV ini nanti.

“Saya yakin, melalui projek ini nanti Seremban akan jadi kawasan baru Lembah Klang yang popular, dan dalam masa 10 tahun lagi kawasan ini akan berubah wajah, yang dinamakan sebagai pemodenan Negeri Sembilan,”katanya.

Dalam pada itu,  Seremban terus diangkat sebagai sebuah pusat bandar yang maju, lebih-lebih lagi apabila pelbagai projek pembangunan mula dilaksanakan, termasuklah wujudnya bangunan UTC yang mula beroperasi November 2017 di Ampangan.

Bangunan setinggi tiga tingkat itu, berjaya memberi nafas lega kepada penduduk Seremban, yang  tidak perlu lagi bersusah-payah dan bersesak untuk ke pusat bandar mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan.

Menurut peniaga sekitar Seremban, Heryannohafiza Mohamad,34, pembinaan UTC di Ampangan ini adalah sesuatu yang sangat membantu dalam melancarkan urusan harian.

“Dengan adanya UTC di Ampangan, kita tidak perlu lagi bersesak nak ke bandar,  semua ada di sini, kerja jadi mudah dan cepat.

“Diharap pembangunan untuk kemudahan masyarakat seperti ini dapat diteruskan sampai bila-bila,”katanya.

Selain itu tambahnya, sikap keterbukaan kerajaan negeri yang banyak membantu peniaga kecil berniaga, sangat dialu-alukan.

Katanya, tatkala peniaga di negeri lain ditangkap, diusir dan disita barangan mereka gara-gara tidak dibenarkan berniaga di kawasan yang tiada permit, tetapi di Negeri Sembilan lain pula ceritanya.

Mereka yang ingin berniaga di negeri ini bukan sahaja bebas memilih lokasi, sebaliknya diberi permit perniagaan secara percuma selama tempoh tiga tahun, yang berakhir tahun lalu.

“Dasar yang dilakukan ini semata-mata mahu membantu rakyat dan mengurangkan beban hidup yang ditanggung.

“Dasar seperti inilah yang kita mahu, banyak membantu rakyat bukan menyusahkan,”katanya.

Pembangunan mampan, seimbang

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, siapa juga yang mentadbir kerajaan negeri, mereka pasti akan memajukan bandar Seremban kerana ia adalah ibu negeri.

Katanya, pembangunan yang terancang, seimbang dan mampan perlu dilaksanakan bagi mengatasi kepadatan pembangunan yang berlaku dalam Seremban.

“Kita perlu pastikan setiap pembangunan yang dilakukan perlu seimbang dan mampan, demi memastikan keperluan rohani serta jasmani terjaga dengan sempurna.

“Kita tidak menolak pembangunan, sebaliknya ia perlu dilaksanakan dengan seimbang dan melihat kepada keseluruhan lapisan masyarakat yang pelbagai.

“Pembangunan tidak akan terencat jika Pakatan Harapan yang mentadbir, sebaliknya kita akan melaksanakan dasar yang lebih cekap dan pembangunan yang lebih mampan demi kepentingan bersama,”katanya.

Sumber: Sinar Online

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: