News!!

Serangan New York, Suspek Terdedah Dengan DAESH dan Islam Radikal?

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pasukan keselamatan sedang berusaha menyelesaikan motif di sebalik tindakan individu yang melakukan serangan pengganas di kawasan pusat bandar New York pada Selasa.

Seorang pemandu yang menaiki trak sewa merempuh sekumpulan orang awam – membunuh lapan orang dan 11 cedera – menurut maklumat terkini yang disifatkan sebagai serangan terburuk di bandar raya itu sejak 11 Sept 2001 yang memusnahkan menara berkembar, Pusat Dagangan Dunia.

Gabenor New York Andrew Cuomo pada Rabu pagi berkata suspek adalah ‘pengganas domestik’ di Amerika Syarikat (Amerika).

“Bukti telah menunjukkan… selepas datang ke Amerika Syarikat, dia mula terdedah kepada Daesh dan taktik Islam radikal,” katanya.

Suasana kawasan pusat bandar New York bertukar kelam-kabut, dengan pasukan keselamatan mengawal tapak insiden itu dan cuba mendapatkan sebanyak mungkin bukti yang dapat memberi pencerahan kepada serangan itu.

Datuk Bandar New York Bill de Blasio mengutuk insiden itu dan menyifatkan serangan tersebut adalah perbuatan pengganas khususnya dilakukan pengecut untuk mencederakan dan membunuh orang awam yang tidak berdosa.

Sementara Pesuruhjaya Polis New York James O’Neill memberi butiran mengenai kejadian itu pada sebelah petang, menyatakan seorang lelaki memandu sebuah trak sewa merempuh pejalan kaki dan penunggang basikal di laluan basikal.

Trak itu turut merempuh bas sekolah serta mencederakan dua dewasa dan dua kanak-kanak. Pemandu terbabit kemudian dikatakan keluar dari kenderaan tersebut sambil memegang dua senapang iaitu senapang paintball dan senapang angin, menurut O’Neil.

Suspek yang cedera di perut selepas ditembak polis berjaya ditangkap, dan dikatakan berusia 29 tahun adalah imigran kelahiran Uzbekistan, dikenali sebagai Sayfullo Saipov, dan datang ke Amerika Syarikat pada 2010.

Pasukan penyiasat menggeledah kediaman Saipov di New Jersey pada Selasa malam. Berdasarkan maklumat awal, Saipov menjadi pemandu Uber di New Jersey selama lebih enam bulan. Syarikat pengangkutan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan tersebut.

Suspek yang dimasukkan ke hospital telah menjalani pembedahan.

Menurut sumber polis malam semalam (Selasa di New York), suspek dijangka selamat.

Sebagaimana diperkatakan komentator, serangan pada Selasa itu berlaku pada sambutan Halloween, apabila orang ramai keluar dan bandar raya itu sesak dengan mereka yang ingin bersuka-ria terutamanya kanak-kanak , pergi dari pintu ke pintu mengikut tradisi ‘trick-or-treat’.

Jabatan Polis New York meningkatkan kehadiran bilangan anggotanya di seluruh bandar raya sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut maklumat awal yang diperoleh daripada komentar pihak berkuasa, pelaku insiden Selasa itu mendapat inspirasi daripada kumpulan pengganas Daesh.

Dengan perhatian tertumpu kepada Uzbekistan, negara asal lelaki yang didakwa melakukan serangan, presiden negara itu, Shavkat Mirziyoyev pada Rabu berkata serangan itu sebagai “tidak berhati perut dan kejam” dan Uzbekistan bersedia untuk membantu siasatan.

Presiden itu yang membuat komentar pada laman sesawang Kementerian Luar Uzbekistan, berkata rakyatnya bersama-sama sepenuhnya dengan rakyat Amerika dalam kejadian ini.

Walaupun angka tepat tidak diperoleh, dianggarkan kira-kira 40,000 rakyat Uzbekistan datang ke Amerika Syarikat dalam tempoh dua dekad yang lalu, dengan hanya dua peratus daripada mereka dikatakan pelarian.

Sementara itu, Konsulat Malaysia di New York akan menyalurkan maklumat terkini kepada komuniti Malaysia, dan ‘memantau rapi situasi itu’ berikutan serangan di pusat bandar Manhattan.

Sehingga Rabu pagi, tiada maklumat rakyat Malaysia terbunuh atau cedera dalam serangan itu.


Sumber: Bernama

 

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: