News!!

Sejarah Hitam Peperangan Saudara Yang Perlu Kita Tahu

Apa yang bakal dikongsikan ini adalah satu peristiwa hitam buat umat Islam.  Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila yang terlibat di dalam peperangan ini adalah umat Islam sendiri?? Semoga kita dapat pelajaran dari perkongsian ini.

PERISTIWA PERANG MEKAH 9 TAHUN: KESINAMBUNGAN PERANG SAUDARA
(BHG. I)

Perang Jamal dan Perang Siffin merupakan satu titik hitam dalam sejarah Islam kerana melibatkan peperangan di kalangan orang Islam sendiri, malah di kalangan sahabat yang pernah berjuang bersama-sama Nabi Muhammad S.A.W.
Di sebalik kemenangan Islam di bumi Mekah dan Madinah lalu tertegaknya Khalifah Islam, soal kepimpinan dan pemerintahan tidak dapat lari dari perebutan kuasa dan takhta. Sebaik sahaja kewafatan Nabi, umat Islam tidak pernah lepas dari soal siapakah yang paling layak menjadi Khalifah.
PERJANJIAN DAMAI ANTARA MUAWIYAH DAN SAIDINA HASSAN

Muawiyah secara rasminya telah dilantik menjadi Khalifah Islam setelah perjanjian damai dengan Saidina Hassan A.S yang berlaku pada 41 H. Beliau berkuasa selama lebih kurang 20 Tahun sehingga 61 H/680 M dan memerintah dari Damsyik, Syria.

Image may contain: one or more people and text
Perjanjian damai di antara Saidina Hassan dan Muawiyyah menyelesaikan buat semenara waktu permasalahan perebutan Khalifah yang bermula di antara Saidina Ali dan Muawiyyah sebelum itu. Ketika Saidina Ali di baiah oleh penduduk Islam Madinah, Muwaiyyah enggan mengiktiraf Ali dan melantik dirinya sebagai Khalifah.
Antara kandungan Perjanjian Damai tersebut adalah seperti berikut:

– Hendaknya Muawiyah bertindak sesuai mengikut Al-Quran dan Sunnah.

– Tidak melantik seseorang menjadi Khalifah dan setelahnya urusan Khalifah diselesaikan dengan majlis syuro kaum Muslimin.

– Orang-orang di mana pun berada, harta, jiwa dan anak-anaknya berada dalam keadaan aman.

– Muawiyah tidak boleh memerangi Hassan, keluarga Ali dan pengikutnya secara diam-diam atau terang-terangan atau menakut-nakutkan pengikutnya.
KEMATIAN MUAWIYYAH DAN PERLANTIKAN YAZID I SEBAGAI KHALIFAH
Muawiyyah telah memperlihatkan keinginannya semasa zaman pemerintahannya untuk menaikkan anaknya Yazid sebagai Khalifah. Kekhalifahan yang telah dimenanginya daripada generasi Khulafa Ar-Rasyidin tidak mudah untuk dilepaskan dan dia mahukan kekhalifahan terus dipegang oleh Bani Umayyah.
Setelah kematian Saidina Hassan pada 49H, Muawiyyah merasakan pencabarnya ke atas khalifah dan pemegang perjanjian bersamanya sudah tiada. Pada Tahun 50H, Muawiyyah secara terbuka mengumumkan di Damsyik bahawa anaknya Yazid dilantik menjadi Putera Mahkota yang akan naik menjadi Khalifah setelah kematiannya.
Maka Muawiyyah telah memulakan suatu sistem kesultanan berdasarkan waris yang pertama dalam Sejarah Islam dan pemerintahan berdasarkan kekeluargaan dan keturunan. Melalui tindakannya ini, Bani Umayyah kekal menjadi pemerintah kepada umat Islam untuk beberapa generasi sesudah itu.
Melalui tindakan Muawiyyah ini, Umat Islam berpecah kepada tiga:
1. Golongan yang menolak sistem perwarisan dan keturunan serta mahu menegakkan pemilihan Khalifah melalui Syuro

2. Golongan yang menyokong Bani Umayyah berdasarkan ketaatan kepada Ulul Amri

3. Golongan yang memperjuangkan untuk menaikkan Ahlil Bait Nabi sebagai yang layak memegang Khalifah – kelompok Syiah.
Setelah kematian Muawiyyah pada 60 H, Yazid telah menggantikan Muawiyyah sebagai Khalifah di Damsyik walaupun tidak depersetujui oleh sebahagian umat Islam. Perlantikan Yazid sebagai Khalifah mendapat tentangan hebat terutamanya dari penduduk Islam Mekah.
ABDULLAH BIN ZUBAYR – PENERUS PERJUANGAN KHULAFA AR-RASYIDIN
Abdullah bin Zubayr merupakan anak kepada Zubayr bin Awwam, salah seorang sahabat dan keluarga dekat Nabi. Zubayr bin Awwam sendiri merupakan sepupu kepada Saidatina Khadijah dan antara lima lelaki terawal menyatakan keislamannya kepada Nabi.
Abdullah bin Zubayr juga merupakan cucu kepada Saidina Abu Bakar melalui ibunya, Asma’ Binti Abu Bakar. Beliau lahir di Madinah pada 624 Masihi, ketika Nabi S.A.W. masih lagi memegang kepimpinan Umat Islam di Madinah.
Abdullah bin Zubayr telah menyertai banyak ekpedisi peperangan di zaman kekhalifahan Saidina Umar berhadapan dengan tentera Rom dan Parsi. Antaranya ialah penawanan bandar Kufah di bawah kepimpinan Huzaifah Al-Yamani pada tahun 30 Hijrah. Beliau juga adalah salah seorang sahabat yang melindungi Uthman sebelum pembunuhannya oleh pihak pemberontak dan turut terlibat dalam Perang Jamal.
Abdullah bin Zubayr merupakan salah seorang dari lima yang menentang kenaikan Yazid sebagai Khalifah. Empat yang lainnya ialah Al-Husain bin Ali, Abdul Rahman bin Abu Bakr, Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Abbas.
PERLANTIKAN ABDULLAH BIN ZUBAYR SEBAGAI KHALIFAH
Abdullah bin Zubayr (Ibnu Zubayr) menolak untuk menyatakan baiah kepada Yazid di Madinah lalu dia berpindah ke Mekah. Ibnu Zubayr telah menjemput Saidina Hussein untuk ke Mekah dan menentang Yazid melalui Mekah.
Namun begitu, Saidina Hussein turut diberikan sokongan oleh penduduk Kufah yang menjemput beliau ke sana. Saidina Hussein akhirnya terbunuh dalam peristiwa Tragedi Karbala ketika perjalanan beliau ke Kufah.
Abdullah bin Zubayr sangat kecewa dengan kejadian pembunuhan Saidina Hussein dan mengecam penduduk Kufah kerana menyebabkan kematian Saidina Hussein.
Setelah kematian Saidina Hussein, penduduk Mekah bersetuju mengangkat Abdullah bin Zubair sebagai Khalifah setelah mereka sepakat tiada yang lebih layak melainkan Ibnu Zubair. Melalui pembaiatan penduduk Mekah terhadap Ibnu Zubair pada 64 H/683 M, Khulafa Ar-Rasyidin disambung semula di Mekah dengan sokongan dari penduduk Madinah terutamanya dari kalangan Ahli Bait yang masih ada di Madinah.
Abdullah bin Zubayr telah mengukuhkan pemerintahan Mekah ke Iraq, selatan Arab, sebahagian Syria dan sebahagian Mesir. Beliau telah menghantar utusan untuk menjadi gabenor di Kufah dan Madinah lalu menghidupkan penentangan terhadap Yazid dan pemerintahan Bani Umayyah.
Selama sembilan tahun, Mekah telah menjadi kubu kepada kekhalifahan Abdullah bin Zubayr untuk menentang pemerintahan Bani Umayyah di Damsyik bermula pada 64 H/683 M.
(Bersambung ke Bahagian-2.. )
Semoga Bermanfaat,
Jabatan Siyasah Sejarah,
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1723490624412075

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: