News!!

Sedia Koc Khas Untuk Wanita Tapi Mengapa Lelaki Berani Ceroboh?

Penyediaan koc khas untuk wanita adalah salah satu usaha murni dan keprihatinan KTMB untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang wanita. Namun apa yang berlaku, ada penumpang lelaki yang berani menceroboh tanpa segan silu. Adakah kerana masalah sivik atau memang mencari kesempatan. Semoga tindakan serius oleh pihak bertanggungjawab dapat diambil untuk menangani masalah ini.

KUALA LUMPUR: Koc Merah Jambu, koc khas yang diperuntukkan hanya kepada penumpang wanita bagi perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang diwujudkan sejak 8 tahun lepas dilihat tidak menepati matlamatnya.

Koc yang menjanjikan keselamatan buat penumpang wanita, sering diceroboh penumpang lelaki dan berlaku beberapa kes seperti mencabul kehormatan serta pertelingkahan antara penumpang lelaki dan wanita.

Sehubungan itu, Persatuan Wanita Unity Malaysia (Perwim) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang khas bagi membolehkan tindakan diambil terhadap lelaki yang menyalahgunakan koc tersebut.

Pengerusi Perwim, Ema Syuhaili Sukor berkata, ia penting supaya lelaki patuh dengan peraturan ditetapkan, dan mengelakkan penumpang wanita diganggu lelaki yang sengaja mengambil kesempatan.

“Sudah banyak kes yang berlaku melibatkan penumpang wanita dan masalah ini berterusan kerana tiada tindakan undang-undang. Pihak bertanggungjawab tidak sepatutnya memandang remeh dan sepi dalam masalah ini,” katanya.

Beliau mencadangkan KTMB memperbanyakkan pemasangan “loceng kecemasan” di dalam koc komuter bagi membolehkan bantuan segera diberikan, jika berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, Perwim juga sedia bekerjasama dengan KTMB untuk mengadakan kempen kesedaran bagi mendidik orang ramai berkaitan etika penggunaan koc khas itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, kerajaan sedang merangka untuk meminda peraturan berkaitan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap lelaki yang memasuki koc wanita.

“Buat masa ini belum ada sebarang peraturan yang membolehkan tindakan undang-undang diambil. Namun, pihak KTMB terus membuat pemantauan secara berkala di dalam komuter dan di stesen-stesen komuter,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berpendapat, penumpang lelaki yang menaiki koc wanita perlu menyedari dan menganggap tindakan mereka itu adalah perkara memalukan.

“Masalah ini berkaitan prinsip moral seseorang lelaki. Untuk itu, lelaki patut menasihati golongan mereka yang menyalahgunakan koc tersebut dengan menghalang atau beri amaran kepada lelaki terbabit.

“Walaupun belum ada perundangan, golongan lelaki perlu beringat tujuan koc wanita diwujudkan adalah bagi mengelak berlakunya kejadian jenayah dalam kalangan penumpang wanita seperti kes ragut dan cabul semasa berhimpit-himpit di dalam komuter,” katanya.

Selain mengharapkan pengawasan pihak berkuasa, Kamal berkata, lelaki mestilah memainkan peranan penting dalam membantu membendung masalah itu daripada terus berulang dan mengurangkan kadar jenayah dalam pengangkutan awam.

KTMB baru-baru ini dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang meneliti semula tatacara pengoperasian koc wanita bagi menjamin dan memastikan ia digunakan khas untuk wanita sahaja.

Sementara itu, tinjauan mendapati golongan lelaki masih menaiki koc wanita tanpa rasa bersalah atau malu, dan seolah-olah sengaja melanggar peraturan walaupun tanda larangan banyak dilekatkan di dalam dan luar koc tersebut.

Rata-rata wanita yang ditemui menyuarakan kehadiran golongan penceroboh itu mendatangkan suasana tidak selesa dan tidak selamat buat mereka.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara Perlis, Nur Azreen Mohd Abdul Jalil, 23, mahu pihak berkuasa memandang serius masalah itu agar kebajikan wanita terjaga dan dapat menikmati perjalanan selamat.

Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Wan Nur Hidayah Zahari, 21, pula mengharapkan petugas keselamatan membuat pemantauan di stesen komuter dengan lebih efektif dan tegas bagi menghalang lelaki memasuki koc wanita.

Sumber: FMT

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: