News!!

Sanggup Tinggalkan Kekayaan Kerana Agama, Apakah Alasannya?

Seperti tidak masuk akal apabila kesemuanya diserahkan untuk menegakkan agama. Habis tu apa yang tinggal?. Pastinya jawapan dari Saidina Abu Bakar itu mampu merungkai persoalan dan juga kerisauan pada sebahagian dari kita. Bacalah artikel ini untuk mendapatkan penjelasan atas tindakan nekad kedua sahabat Rasulullah SAW ini.

PENGORBANAN SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ DAN SAIDINA ALI BIN ABI TALIB SEBAGAI FAKIR.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Ali Bin Abi Talib merupakan sebahagian sahabat yang hidup dalam keadaan fakir sejak awal perkembangan Islam sehingga menjadi Khalifah. Mereka mengikuti jejak Nabi Muhammad S.A.W untuk menyerahkan semua harta lalu mengfakirkan diri.

Mereka memilih untuk hidup fakir meskipun mereka mempunyai kemampuan dan peluang untuk hidup kaya. Mereka bukan orang yang malas atau lemah, tetapi bijak malah berjaya dalam pekerjaan mereka.

SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ YANG MEMBENARKAN DENGAN PERBUATAN

Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan antara Sahabat terawal yang memeluk Islam. Beliau merupakan seorang anak pedagang kaya iaitu Uthman Abu Quhafa dari Bani Taym. Beliau dan bapanya berdagang pakaian dan kain ke serata tanah Arab.

Saidina Abu Bakar merupakan orang pertama bukan dari kalangan keluarga Nabi yang memeluk Islam. Beliau mempunyai pengaruh yang kuat sehingga berjaya menarik ramai orang penting Arab ketika itu seperti Uthman bin Affan, Abdurrahman bin Auf, Sa’ad bin Abi Waqqas, Al-Zubayr, Talhah bin Ubaidillah, Abu Huzaifah dan lainnya.

Malah beliau tidak menyimpan dan kedekut dengan hartanya untuk perjuangan Islam. Saidina Abu Bakar telah membelanjakan puluhan ribu dirham untuk membebaskan hamba-hamba dari siksaan orang kafir termasuk Bilal bin Rabbah dan Ammar bin Yasir.

Saidina Abu Bakar telah meninggalkan perniagaannya dan menyerahkan seluruh hartanya untuk perjuangan Islam. Beliau telah mendatangi Nabi Muhammad S.A.W. dalam perang Tabuk lalu menyerahkan semua hartanya kepada Nabi.

Nabi Muhammad bertanya kepada Abu Bakar, “Apakah yang engkau tinggalkan dibelakangmu buat keluargamu wahai Abu Bakar?”. Abu Bakar menjawab, “Janji Allah dan Janji Rasul-Nya”. Ternyata itu tidak dapat dilakukan oleh Saidina Umar dan Saidina Uthman.

KEFAKIRAN SAIDINA ALI BIN ABI TALIB KERANA MENGEJAR ILMU

Saidina Ali merupakan golongan anak yang pertama memeluk Islam ketika umurnya 9 Tahun. Dalam usianya yang sangat muda, dia sudah mempunyai kebijaksanaan dan kehendak untuk turut sama dalam perjuangan Nabi Muhammad menegakkan Islam.

Bapa kepada Saidina Ali, Abu Talib adalah ketua kepada Bani Hasyim setelah kematian Abdul Mutallib. Abu Talib sendiri adalah seorang pedagang yang telah membentuk Nabi Muhammad sendiri untuk menjadi pedagang berjaya dan terpercaya.

Namun Saidina Ali memilih untuk hidup bersama Nabi Muhammad. Beliau menjadi penulis wahyu dan pemegang ilmu Al-Quran sehingga digelar Babul-Ilmi (Pintu Ilmu). Saidina Ali menghabiskan usianya mengikuti Rasulullah S.A.W dan memperjuangkan agama sehingga tiada ruang untuk dia mencintai harta.

Saidina Ali tidak memiliki apa-apa kecuali baju besi pemberian Rasulullah, seekor unta dan sebilah pedang ketika melamar Fatimah. Rasulullah menerima lamaran Ali kepada Fatimah hanya dengan baju besinya sebagai mas kahwin.

Sehingga kematian Saidina Ali, tiada tanah mahupun wang untuk diwariskan kepada keturunannya.

Mereka ini lah orang-orang yang menyahut seruan Allah, apabila Allah berfirman:

يٰۤاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا هَلْ اَدُلُّكُمْ عَلٰى تِجَارَةٍ تُنْجِيْكُمْ مِّنْ عَذَابٍ اَلِيْمٍ
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”

(QS. As-Saff 61: Ayat 10)

Allah SWT juga berfirman:

تُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖ وَتُجَاهِدُوْنَ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ بِاَمْوَالِكُمْ وَاَنْفُسِكُمْ ۗ ذٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّـكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui. ”

(QS. As-Saff 61: Ayat 11)

Maka, Allah SWT tambahkan lagi keuntungan itu:

يَغْفِرْ لَـكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُ وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً فِيْ جَنّٰتِ عَدْنٍ ۗ ذٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمُ

” Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn . Itulah kemenangan yang besar.”

(QS. As-Saff 61: Ayat 12).
.
Mereka meyakini dan beriman sungguh-sungguh dengan janji Allah. Berapakah HARGA SYURGA jika hendak dinilaikan dengan wang ringgit?

Sekiranya mereka BERHABIS DENGAN DIRI DAN HARTA mereka untuk itu, bagaimana dengan DIRI KITA? Adakah amal kita sekarang MAMPU untuk mendapat SYURGA?

CUKUPKAH pengorbanan kita dengan kerja buat dan harta sedekah yang kita buat hari ini untuk menyahut JUAL-BELI yang ditawarkan Allah tadi?

Apatah lagi jika kita masih banyak BERKIRA-KIRA untuk mengeluarkan harta dan berbakti di jalan Allah.

Demikian adalah pelajaran dan peringatan yang boleh diambil dari dua tokoh besar yang sangat dekat dengan Rasulullah S.A.W dan pengorbanan mereka yang tidak berbelah bahagi.

Semoga bermanfaat.

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1660376860723452

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: