News!!

Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Penerus Legasi Rasulullah Yang Mati Diracun?

Meneruskan perkongsian sejarah untuk tatapan pembaca, kami kongsikan sirah Khalifah Islam yang pertama iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq selaku penerus legasi Rasulullah SAW. Semoga kita mendapat inspirasi di atas  ketegasan dan ketelitian beliau dalam memperjuangkan Islam.

SIRAH KHULAFA AL-RASYIDIN: PERISTIWA KEMATIAN SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan Khalifah pertama umat Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. Beliau terpilih melalui pembaiatannya oleh penduduk Islam Madinah dalam peristiwa perbalahan pemilihan pemimpin di kalangan kaum Aus dan Khazraj di Saqifah Bani Sa’idah sebaik saja kewafatan Nabi.
Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W., umat Islam di kalangan sahabat menghadapi pelbagai ujian yang amat besar. Bermula dengan permasalahan pemilihan Khalifah, kemunculan Nabi palsu, golongan yang enggan berbaiat kepada Abu Bakar kerana menyokong Saidina Ali, sehinggalah kepada ancaman dari kerajaan Rom dan Parsi, pemerintahan Abu Bakar tidak pernah aman.
Sehingga ke akhir hayatnya, riwayat kematian Saidina Abu Bakar turut tidak terlepas dari peristiwa yang menyedihkan.
SAIDINA ABU BAKAR MENJAMAH MAKANAN BERACUN
Kematian Saidina Abu Bakar dikaitkan dengan dua versi periwayatan yang diceritakan melalui dua jalur sanad berasingan. Namun begitu, kedua-dua versi tidak menyalahi atau bertentangan sehingga kedua-dua riwayat tersebut boleh digabungkan menjadi pelengkap fakta.
Umar bin Shabbah meriwayatkan dari Ali bin Muhammad Al-Madai’ni melalui jaluran sanad yang sampai kepadanya; Saidina Abu Bakar meninggal dunia pada umur 63 Tahun pada hari Isnin, 21 Jamadil Akhir, tahun ke-13 Hijrah (22 Ogos 634 M).
Asbab kematiannya dikatakan berpunca dari perbuatan orang Yahudi yang memasukkan racun ke dalam beras ataupun bubur nasinya. Al-Harith b. Kaladah Al-Thaqafi, salah seorang sahabat yang berada bersama Saidina Abu Bakar ketika itu. Dia juga adalah seorang doktor.
Ketika Al-Harith makan bersama Abu Bakar, dia berhenti sebaik sahaja merasai kelainan pada makanan itu. Dia berkata kepada Abu Bakar “Kamu telah memakan makanan yang beracun, racun yang mengambil masa selama setahun,”.
Lebih kurang setahun kemudian, Saidina Abu Bakar akhirnya meninggal dunia setelah 15 hari sakit kuat. Ketika sedang sakit itu, Abu Bakar ditanya oleh sahabat “Kalaulah seorang doktor dibawakan kepada mu.” Dia menjawab, “Doktor telah menemui ku.” “Apa yang dikatakannya kepada mu?” – tanya sahabat kembali. Abu Bakar menjawab “Yang aku perlu berbuat apa yang aku perlu berbuat”.
Seorang sahabat lagi bernama ‘Attab bin Asid turut meninggal dunia pada hari yang sama dengan Saidina Abu Bakar. ‘Attab turut berada bersama Abu Bakar ketika itu dan turut menjamah makanan beracun tersebut. ‘Attab adalah seorang sahabat Nabi yang dilantik menjadi gabenor di Mekah sejak 8 Hijrah sehingga kematiannya.
SAKIT KUAT SELAMA 15 HARI
Melalui Talhah b. ‘Abdallah b. ‘Abdul Rahman b. Abu Bakar, diriwayatkan bahawa; Saidina Abu Bakar mulai jatuh sakit selepas mandi pada 7 Jamadil Akhir, tahun ke-13 Hijrah, hari Isnin (bersamaan 8 Ogos 634 M), ketika cuaca sangat sejuk. Beliau demam kuat selama 12 hari sehingga beliau tidak dapat menghadiri solat.
Saidina Abu Bakar telah mengarahkan Saidina Umar sebagai penggantinya untuk mengimami solat. Para sahabat datang menziarahi Abu Bakar dan keadaannya semakin teruk setiap hari. Beliau berada di rumahnya sepanjang sakit tersebut.
Ketika sakitnya, Saidina Abu Bakar telah bertanyakan jumlah wang yang telah dikeluarkan dari Baitul Mal untuk perbelanjaan Khalifah. Sebanyak 6000 dirham telah dikeluarkan untuknya sepanjang beliau menjadi Khalifah.
Saidina Abu Bakar telah mengarahkan untuk menjual tanahnya dan dari hasil jualan itu, 6000 dirham dikembalikan kepada Baitul Mal. Harta selebihnya dibahagikan kepada anak-anaknya mengikut Faraid. Abu Bakar juga telah mengarahkan untuk memberikan semua hak milik peribadinya seperti pakaian, unta dan budak suruhan kepada Khalifah seterusnya.
Saidina Abu Bakar seterusnya bertanyakan kepada Saidatina Aisyah tentang kain kafan Nabi Muhammad S.A.W. Aisyah memberitahunya bahawa Nabi dikafankan dengan tiga helai kain. Abu Bakar berpesan “Ambillah 2 helai dari kain ku, bersihkan dan gunakan untuk menjadi kain kafanku, dan belilah sehelai kain lagi sebagai yang ketiga,”.
Aisyah berkata, “Kita bukanlah terlalu miskin dan ketiga-tiga kain tersebut boleh dibeli baharu,”. Abu Bakar menjawab “Tidak. Kain yang baru tiada gunanya bagi orang yang telah mati. Kain untuk sekujur mayat hanyalah untuk menyerap darah dan nanah, dan tidak semestinya kain itu perlu yang baru,”.

Image may contain: text
Beliau akhirnya meninggal pada waktu Maghrib, hari Isnin, 21 Jamadil Akhir tahun yang sama (bersamaan 22 Ogos 634 M). Kekhalifahannya berlangsung selama 2 tahun, 3 bulan dan 10 hari.
PENGKEBUMIAN SAIDINA ABU BAKAR
Saidina Abu Bakar telah berwasiat kepada anaknya Asma’ binti Abu Bakar untuk memandikannya. Asma’ berkata “Aku tidak sanggup untuk melakukannya,”. Abu Bakar menjawab “Abdul Rahman akan membantu mu mencurahkan airnya,”.
Saidina Abu Bakar telah berpesan kepada Aisyah untuk mengkebumikan jenazahnya pada hari yang sama beliau meninggal. Dari Abdul Rahman bin Al-Qasim, beliau meriwayatkan; Abu Bakar telah meninggal selepas terbenam matahari dan dikebumikan pada waktu malam.
Saidina Abu Bakar telah dibawa ke Masjid untuk disolatkan oleh Saidina Umar. Umar, Uthman, Talhah dan Abdul Rahman bin Abu Bakar membawa jenazahnya memasuki ruang perkuburannya berhampiran kubur Nabi Muhammad S.A.W.
Sebagaimana diwasiatkan kepada Aisyah, jenazah Abu Bakar disemadikan bersebelahan kubur Nabi, dibawahkan sedikit seolah-olah kepalanya separas dengan bahu Nabi. Kuburnya diratakan seperti kubur Nabi dan air disiramkan di atasnya. Aisyah pula memberikan kata-kata akhir untuknya.
PENUTUP
Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah menghabiskan sisa hidupnya untuk menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sebagai Khalifah Al-Rasyidin yang pertama. Sebagai Khalifah yang berpendirian, beliau telah melaksanakan pemerintahannya dengan tegas walaupun mendapat tentangan dari banyak pihak.
Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, umat Islam di Mekah dan Madinah terus- menerus menerima ancaman dari dalam mahupun luar. Usia Islam masih muda dan keimanan masih banyak perlu dibentuk. Amalan Jahiliyyah penduduk Arab masih belum sepenuhnya terhapus dan masih banyak diamalkan.
Ancama Yahudi dan kaum musyrikin masih berterusan sama ada dari dalam atau pun luar. Ditambah lagi dengan kerajaan-kerajaan luar seperti Rom dan Parsi yang semakin merasai kebangkitan orang Islam Arab. Saidina Abu Bakar turut menjadi mangsa kebencian dan permusuhan orang-orang Yahudi.
Saidina Abu Bakar kemudiannya digantikan oleh Saidina Umar bin Al-Khattab sebagai khalifah kedua sebagaimana diwasiatkan oleh Abu Bakar. Dengan perlantikan Saidina Umar sebagai Khalifah yang jelas oleh Abu Bakar, tiada perbalahan dan penentangan dari kalangan orang Islam seperti yang berlaku di Saqifah Bani Sai’dah ketika perlantikan Abu Bakar.
Saidina Umar telah menyambung usaha Saidina Abu Bakar untuk meluaskan wilayah Islam ke seluruh Arab sehingga melangkaui Syria, Palestin, Mesir, Kuffah, Basrah sehingga ke Iran mengalahkan tentera Rom dan Parsi.
Perkembangan Islam secara ketenteraan turut meninggalkan dendam kepada sebahagian kelompok. Di sebalik penaklukan wilayah-wilayah di luar Arab, musuh Islam turut bertambah. Dendam ini tersimpan sehingga akhirnya menjadi penyebab kepada kematian berdarah Saidina Umar Al-Khattab.

Yang baik diambil sebagai pelajaran, yang buruk diambil sebagai sempadan.
Semoga bermanfaat.
Jabatan Siyasah Sejarah 
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1712146012213203

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: