News!!

Sahabat Nabi Yang Kebal Dari Kemewahan Walaupun Berjawatan Tinggi

Perkongsian kali ini memaparkan antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang miskin harta tapi kaya dengan sikap jujur dan amanah. Walaupun diletakkan pada posisi yang melayakkan mereka hidup senang tapi harta kekayaan ini tidak sedikit pun menggugat iman mereka. Jadilah seperti mereka walaupun menjawat posisi yang tinggi, namun mereka tetap menjalani kehidupan seperti sediakala. Mampukah kita?

KEUTAMAAN GOLONGAN FAKIR DALAM MEMEGANG AMANAH

Artikel sebelumnya telah menampakkan sebilangan sahabat-sahabat yang sanggup meninggalkan kekayaan dan perniagaan mereka lalu hidup dalam keadaan tiada harta. Nabi Muhammad S.A.W. dan Saidatina Khadijah adalah yang pertama menghabiskan harta mereka diikuti dengan sahabat-sahabat lainnya terutamanya Saidina Abu Bakar R.A.

Mereka menampakkan kerja buat yang sangat bersungguh dan tidak berbelah bahagi untuk kejayaan Islam. Malah mereka lebih yakin dengan janji Allah kepada mereka untuk dimasukkan ke Syurga (At-Taubah 9:111) dan dijauhkan dari azab neraka (As-Saff 61:11)

Para sahabat lain seperti Ali bin Abi Talib, Bilal Bin Rabah, Salman Al-Farisi, Abdullah bin Mas’ud dan Uwais Al-Qarni merupakan para sahabat yang sudah hidup fakir sejak awal lagi. Sama ada sebagai hamba, pengembara atau pejuang Islam sepenuh masa, mereka tidak biasa hidup mewah.

BILAL BIN RABAH

Bilal bin Rabah adalah seorang sahabat yang sangat setia dan paling terpercaya oleh Nabi Muhammad S.A.W. Dilahirkan dari golongan hamba Bani Jumah, beliau membesar sebagai hamba kepada Umayyah bin Khalaf.

Selepas diketahui keislamannya, Abu Jahal bersama Umayyah bin Khalaf telah menyeksanya dengan meletakkan batu di atas dadanya. Saidina Abu Bakar telah dihantar oleh Nabi untuk membayar dan membebaskan Bilal dari tuannya.

Bilal adalah muazzin pertama yang dilantik Nabi. Malah Bilal telah mengikuti semua peperangan bersama Nabi tanpa tertinggal walaupun satu.

Beliau turut dilantik oleh Nabi Muhammad sebagai pengurus dan bendahara Baitul Mal di Madinah. Betapa tingginya kepercayaan nabi dan sahabat kepada beliau.

Bilal bin Rabah telah menjadi lambang keadilan dan kesama-rataan kaum di dalam Islam yang diperjuangkan oleh Nabi. Walaupun beliau berbangsa Afrika dan berkulit Hitam, beliau diangkat dan dimuliakan oleh Nabi atas akhlak, amanah dan pengorbanan nya terhadap Islam.

Sehingga kini, azan yang pertama dilaungkannya terus berkumandang. Seluruh dunia Islam mahupun bukan Islam terus kagum dengan seorang insan fakir yang asalnya hamba, telah menjadi seorang yang mulia dan tersohor.

ABDULLAH IBNU MASU’D

Abdullah ibnu Masu’d adalah dari bani Tamim yang tinggal di luar kota Mekah. Dia bekerja sebagai penggembala kambing kepada Uqba bin Abu Mu’ayt.

Dia memeluk Islam setelah tertarik dengan bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW. Lalu ditawarkan Abu Bakar untuk menjadi pembantu peribadi Nabi. Nabi sendiri telah memerhatikan ciri-ciri amanah Ibnu Masu’d semasa menjaga kambingnya.

Ibnu Masu’d menjadi orang terpercaya Nabi dan penyimpan rahsia-rahsia Nabi. Beliau bebas untuk keluar masuk rumah Nabi untuk menguruskan urusan harian Nabi. Ibnu Masu’d menjadi pencatat Al-Quran sehingga disebut sebagai antara orang yang sangat memahami Al-Quran.

Sehingga di zaman pemerintahan Umar, Ibnu Mas’ud turut dilantik menjadi Ulama’ dan Bendahara Kewangan di Kufah. Beliau terus memegang jawatan itu sebelum diberhentikan dan dipanggil oleh Saidina Uthman kembali ke Madinah.

Image may contain: one or more people and text

Ibnu Mas’ud sentiasa melaporkan salah laku kewangan di Kufah termasuk dari kalangan Gabenor. Beliau telah melaporkan kes hutang tak berbayar oleh Gabenor Sa’ad bin Abi Waqqas sehingga beliau dipecat. Ibnu Mas’ud juga melaporkan salah laku Gabenor seterusnya iaitu Al-Walid ibn Uqbah atas salah laku meminum arak dan meminjam duit kerajaan untuk kepentingan peribadi.

Ibnu Mas’ud sememangnya terkenal dengan sifat keberaniannya menegakkan yang hak walaupun yang melakukan kesalahan adalah di kalangan sahabat dan golongan atasan. Beliau tidak gentar untuk menegakkan keadilan walaupun akan berhadapan dengan ancaman.

Atas tindakannya itu, Ibnu Masu’d di berhentikan jawatan lalu ditahan dari keluar bandar sehingga kematian beliau. Beliau meninggal di Madinah dan di kuburkan di pekuburan Baqi’ pada tahun 653 Masihi.

PENUTUP 

Demikian sebahagian kisah sahabat yang fakir sebagai pedoman. Mereka bukan sahaja menjauhkan diri dari pertikaian takhta dan harta, malah menjadi orang terpercaya oleh Nabi dan kalangan sahabat dalam pengurusan harta.

Tiada kesenangan dunia dan pengaruh harta yang mampu menggugat keimanan mereka. Mereka tidak meminta-minta jawatan dan kuasa, tetapi merekalah orang yang paling layak untuk memegang amanah negara.

Bagaimana pemimpin negara kita kala ini?Melihat kepada cara hidup mereka dan tahap pengorbanan mereka, adakah mereka boleh dikatakan orang yang Amanah?

Sama-samalah kita fikirkan.

Salam Jumaat,

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1673923946035410

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: