News!!

Rahsia Kegemilangan Kerajaan Islam Andalusia

Rentetan dari siri 1, kami kongsikan kepada pembaca setia mengenai kehebatan Kerajaan Islam Andalusia mencapai kegemilangannya. Bacalah sehingga habis dan fahami apakah ramuan RAHSIA kepala negara sehingga berjaya meletakkan Islam di persada dunia.

RECONQUISTA – SIRI 2: KEBANGKITAN KERAJAAN ISLAM ANDALUSIA MENCAPAI KEGEMILANGANNYA

Dalam Siri 1 telah dibincangkan tentang kemasukan Islam ke semenanjung Iberia untuk mengalahkan Raja Roderic dari kerajaan Visigoth. Selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah, kerajaan Andalusia turut dipengaruhi oleh kejatuhan ini melalui peperangan dan pemberontakan.

Pemerintahan Umayyah di Cordoba bukan sahaja diancam oleh penyokong-penyokong Khalifah Abbasiyyah tetapi juga penentangan dari penduduk tempatan yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Umayyah.

PEMBERONTAKAN UMAR IBNU HAFSUN

Kumpulan pemberontak terbesar diketuai oleh Umar Ibnu Hafsun. Dia berasal dari Malaga dikenali sebagai seorang yang bermasalah dan terlibat dalam pelbagai kes jenayah. Setelah satu kes pembunuhan, dia melarikan diri ke Maghribi dan bekerja di sana.

Ibnu Hafsun kembali ke Andalusia dan turut serta dalam kumpulan pemberontak menentang Amir Ummayyah di Cordoba. Dia diangkat menjadi ketua pada 883 dan menjadikan istana lama di Bobastro sebagai pengkalan berdekatan bandar Ardales, Malaga.

Pengikut kumpulan pemberontak ini terdiri daripada golongan Musta’rab dan Muwallad. Musta’rab ialah golongan Kristian yang tinggal di wilayah Islam, mengamalkan budaya arab dan pandai berbahasa arab. Muwallad pula adalah golongan bangsa tempatan yang menukar agama kepada Islam dari Kristian.

Atas alasan cukai yang tinggi dan layanan yang tidak adil kepada golongan ini, mereka enggan tunduk kepada pimpinan Amir Umayyah. Kumpulan pemberontak Ibnu Hafsun menguasai kawasan barat dan selatan Cordoba dengan menguasai hampir 70 istana dan kubu.

Image may contain: text

Setelah mengalami beberapa kekalahan sekitar tahun 891 sehingga 898, Ibnu Hafsun terdesak untuk meminta bantuan kerajaan Kristian. Dia mengambil langkah untuk memeluk Kristian pada 898 dan meminta bantuan Alfonso III, dari Kerajaan Asturia. Tetapi atas perbuatannya itu, dia menjadi semakin lemah kerana kehilangan sokongan golongan Islam Muwallad.

Ibnu Hafsun telah mendirikan sebuah gereja, Gereja Mozarab di Bobastro sebagai tanda penghormatan kepada golongan Musta’rab yang masih menyokongnya. Pada tahun 910, dia telah menyatakan ketaatan kepada Khalifah Fatimiyyah di Afrika Utara.

Image may contain: one or more people and text

Abdul Rahman III, Amir Cordoba yang dilantik pada 912, telah melancakan serangan besar-besaran ke atas Ibnu Hafsun. Pada 913, Abdul Rahman III telah merampas Sevilla dan kemudian merampas hampir semua istana-istana kekuasaan Ibnu Hafsun pada 914.

Ibnu Hafsun terpaksa menyerah kalah dan menyatakan ketaatannya kepada Abdul Rahman III. Ibnu Hafsun kemudiannya turut membantu ekspedisi ketenteraan Abdul Rahman III di Utara Andalusia. Dia turut membayar cukai kepada Abdul Rahman III. Ibnu Hafsun meninggal pada tahun 917.

Pemberontakan masih lagi diteruskan oleh anak Ibnu Hafsun sehingga akhirnya, pada tahun 928, Hafs ibnu Umar Ibnu Hafsun menyerahkan Kota Bobastro kepada Abdul Rahman III menamatkan pemberontakan Ibnu Hafsun.

PENGISYTIHARAN KHALIFAH UTHMANIYYAH QURTUBAH (CORDOBA)

Pada tahun 929, Abdul Rahman III telah menggunakan gelaran “Khalifah” dan mengisytiharkan kerajaan Umayyah di Cordoba sebagai Khalifah Qurtubah. Kemunculan kerajaan Fatimiyyah pada tahun 909 di Afrika Utara telah mewujudkan satu lagi Khalifah Islam selain Khalifah Abbasiyyah. Melalui pengisytiharan ini, kerajaan Andalusia telah menolak penguasaan dari Khalifah Fatimiyyah dan Abbasiyyah.

No automatic alt text available.

Abdul Rahman III telah mengadakan rundingan-rundingan damai dengan kerajaan-kerajaan Kristian di utara sementara mematahkan ancaman pemberontakan Umar Ibnu Hafsun. Peperangan dengan kerajaan Kristian dikurangkan dan hubungan diplomasi ditingkatkan dengan wilayah Islam di Afrika utara.

Abdul Rahman III telah membantu membebaskan beberapa wilayah dari kerajaan Kristian di Leon. Sehingga tahun 937, dia telah menguasai 30 istana di Leon. Peperangan berlanjutan sehingga Raja Leon yang baru iaitu Sancho I berdamai dengan Cordoba. Abdul Rahman III turut membantu kerajaan Leon untuk menyelesaikan pergolakan dalaman perebutan takhta.

Pemerintahan Cordoba disambung oleh anaknya, Al-Hakam Ibnu Abdur Rahman (Al-Hakam II) selepas kematian Abdur Rahman III pada 961. Al-Hakam II terkenal dengan usahanya dalam menjadikan Cordoba sebagai pusat Ilmu terkemuka.

Al-Hakam II telah mengumpulkan dan membeli pelbagai jenis buku dari Damsyik, Baghdad, Istanbul, Kaherah, Mekah, Madinah, Kufah dan Basrah. Dia sendiri adalah seorang yang terpelajar dalam pelbagai bidang ilmu sains. Dia juga telah mewujudkan kumpulan penterjemah dari kalangan Muslim Muwallad (Muladi) dan Katolik Musta’rab (Mozarab) untuk menterjemah buku-buku Latin dan Greek kepada Arab.

PEMERINTAHAN BONEKA DI ANDALUSIA

Selepas kematian Al-Hakam II pada 976, anak kepada Khalifah, Putera Hashim II hanya berumur 12 tahun dan belum layak untuk menjadi khalifah. Abu Aamir Muhammad bin Abdullah, lebih dikenali dengan nama Al-Mansur menjadi penasihat kepada Hisham II yang diangkat menjadi khalifah.

Image may contain: 1 person, text

Al-Mansur ialah seorang pelajar di Cordoba dan kemudiannya menjadi pengurus ladang kepada Putera Hisham II. Dia banyak menasihati Suhb, ibu kepada Hisham II dan membantu Hisham II kekal menjadi Khalifah Qurtubah. Pada 978, dia dilantik menjadi ‘Hajib’, setaraf dengan wazir atau menteri ketika itu.

Al-Mansur menempatkan Khalifah Hisham II di sebuah tempat terpencil dinamakan Madinah Az-Zahra di Selatan Cordoba. Dia sendiri merancang dan membuat keputusan untuk setiap tindakan Khalifah.

Al-Mansur bertanggungjawab meluaskan empayar Andalusia di bahagian utara. Selepas kemenangan peperangan pertama pada 981, dia membawa gelaran Al-Mansur Billah. Dia telah memimpin 57 siri peperangan sejak itu dan tidak pernah kalah.

Al-Mansur berjaya merampas kota Barcelona pada 985, mengalahkan tentera Kristian di Leon (988) dan tentera Galicia (997). Dia meluaskan kekuasaan Andalusia sehingga ke Pamplonia dan menguasai kerajaan Navarre di utara. Sehingga 1008, Khalifah Qurtubah telah menguasai seluruh semenanjung Iberia dan menerima ufti dari kerajaan-kerajaan Kristian yang bertahan di utara.

RUMUSAN SIRI II:

* Polisi kerajaan yang diubah oleh Abdul Rahman III membawa kestabilan kepada Khalifah Qurtubah dengan mematahkan pemberontakan dan mengelakkan peperangan.

* Abdul Rahman III turut membantu kerajaan-kerajaan Kristian di Utara untuk mencapai kestabilan seperti Kerajaan Navarre di Pamplonia dan Kerajaan Leon. Dia dihormati oleh raja-raja Kristian ketika itu dan menerima hantaran hadiah dari mereka.

* Polisi yang dibawa oleh Abdul Rahman membolehkan anaknya Al-Hakam II untuk membina kegemilangan Cordoba dalam bidang ilmu, sains dan teknologi.

* Putera Hisham II tidak mendapat pendidikan dan pendedahan secukupnya kepada pemerintahan negara selepas kematian ayahnya Al-Hakam II. Walaupun bergelar Khalifah, dia hanya menjadi boneka.

* Al-Mansur memulakan semula ekspedisi peperangan yang mencalarkan hubungan di antara kerajaan Islam dan Kristian.

* Al-Mansur terus berkuasa kerana kekuatan ketenteraannya tetapi kesan jangka panjangnya amat buruk kerana kerajaan Kristian sentiasa menunggu peluang untuk menyerang balas.

Semoga bermanfaat.

Sumber:

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

****** DIREKTORI******

Bagi anda yang baru bersama siri RECONQUISTA, boleh ikuti siri kajian sejarah kami melalui pautan berikut;

SIRI 1: KEBANGKITAN NEGARA-NEGARA KRISTIAN MENENTANG PEMERINTAHAN ISLAM DI EROPAH

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1581332511961221

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: