News!!

PRU 14 Dijangka Sebelum Bulan Ramadhan?

Bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin terasa setelah Perdana Menteri mengisytiharkan pembubaran parlimen sebelum ini. Walaubagaimanapun, rakyat masih ternanti-nati tarikh keramat untuk membuang undi dan semoga jangkaan pakar akan menjadi kenyataan.

Setelah teka-teki tarikh pembubaran Parlimen terjawab, para penganalisis politik kini meramalkan bahawa pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan antara 29 April dan 1 Mei.

Pakar Strategis Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata purata tempoh yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pilihan raya, berdasarkan PRU yang lepas ialah 25 hari dari tarikh kuatkuasa pembubaran Parlimen.

“Saya jangka tempoh 25 hari itu adalah jangkaan terbaik untuk menjalankan hari pengundian… Ia tidak akan sampai kepada bulan Ramadan. Ini setelah mengambil kira tempoh minimum berkempen selama 11 hari,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Susulan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 7 April maka mengikut tempoh purata 25 hari yang dicadangkan oleh Azmi, tarikh pengundian akan jatuh pada 1 Mei, iaitu Hari Pekerja yang juga merupakan cuti umum.

“Tidak menjadi masalah jika hari pengundian itu dijalankan pada hari cuti umum. Malah lebih baik kerana ia akan memberi lebih peluang kepada pengundi untuk keluar mengundi.

“Keadaan ini juga bersesuaian dengan sentimen masyarakat yang dilihat sedang berkobar-kobar untuk mengundi, terutama di kalangan 1.6 juta pengundi baharu. Saya menjangka peratusan rakyat keluar mengundi pada PRU14 akan melebihi 80 peratus,” jelasnya.

Bagi Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, penamaan calon kebiasaannya akan dijalankan dalam tempoh 10 hingga 14 hari dari tarikh Parlimen dibubarkan, yang mana akan jatuh pada 20 April.

Katanya tempoh tersebut dirasakan bersesuaian untuk parti-parti politik memuktamadkan pemilihan calon dan memberi peluang kepada calon yang akan bertanding untuk membuat persiapan.

“Selesai penamaan calon, saya menjangka hari mengundi akan diadakan dalam tempoh 10 hingga 11 hari selepas penamaan calon dan tarikh itu akan jatuh pada 29 atau 30 April. Saya yakin SPR dapat selesaikan keseluruhan proses pilihan raya dalam masa sebulan,” katanya.

Prof Dr Sivamurugan Pandian membuat ramalan yang sama sambil berkata beliau menjangka tempoh minimum berkempen ialah selama 11 hari kerana percaya semua parti politik telah bekempen sejak 2013, iaitu tahun Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diadakan.

Ramalan para penganalisis politik tanah air mungkin melegakan banyak pihak apabila masing-masing menjangkakan PRU14 akan dijalankan sebelum Ramadan, yang dijangka bermula pada 17 Mei ini.

Sumber: Bernama

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: