News!!

Petter Bellew Tinggalkan MAS, Kontroversi Pembelian Pesawat Boeing Sapa Nak Jawab? – NUFAM

PENGUMUMAN mengejut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Peter Bellew akan meninggalkan syarikat itu membimbangkan kerana selepas ini siapa yang akan menjawab kontroversi urus niaga pembelian pesawat Boeing, kata Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM).

Kesatuan itu berkata Bellew sudah pun menandatangani pembelian pesawat baharu Boeing, urus niaga yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak ketika lawatannya ke White House pada September.

“Seorang CEO baharu menyertai MAS tidak akan perlu bertanggungjawab terhadap apa-apa pun pada masa sekarang. Misi untuk Bellew menandatangani MoU itu sudah tercapai,” kata kesatuan itu susulan berita yang Bellew akan kembali menyertai syarikat penerbangan tambang murah Ryanair pada Disember depan.

Najib sebelum ini mengumumkan MAS akan membeli 25 pesawat Boeing 737 dan lapan 787 Dreamliners, dan tempahan mungkin dibuat untuk 25 lagi pesawat 737 dalam tempoh lima tahun akan datang, dalam urus niaga bernilai lebih AS$10 bilion (RM42 bilion).

Nufam berkata ia bimbang MAS akan mengalami kerugian lebih besar susulan penyelenggaraan pesawat baharu dibeli itu lebih mahal.

Katanya, MAS tidak akan mampu membeli pesawat baharu kerana ia baru saja pulih daripada siri potongan bajet yang besar.

“Tiada juga petanda menunjukkan MAS akan memperoleh keuntungan untuk menunjukkan yang mereka mampu bertahan dengan semua kos dan penyelenggaraan pesawat baharu itu.

“Masalah kewangannya akan timbul lagi tidak lama lagi bila pesawat baharu itu tiba,” katanya.

Nufam juga mempersoalkan mengapa MAS membeli pesawat baharu dalam tempoh tiga tahun selepas melepaskan 6,000 kakitangan syarikat itu di bawah pelan penstrukturan semula.

Pengumuman Bellew meninggalkan MAS diumumkan hari ini oleh Ryanair, dan tindakan itu mengejutkan MAS. Syarikat penerbangan negara menganggap ia sebagai pengumuman yang “tidak dijangka”.

Bellew menyertai MAS pada 2015 sebagai ketua pegawai operasi sebelum mengambil alih tugas CEO daripada Christoph Mueller pada Julai, 2016 selepas bekas CEO itu meletakkan jawatan dalam MAS, kurang setahun daripada kontraknya, atas alasan peribadi.

Bellew ialah CEO MAS yang ketiga dalam tempoh dua tahun selepas Mueller dan Ahmad Jauhari Yahya, yang meletakkan jawatan selepas tragedi berkembar, MH370 dan MH17 pada 2014.

Nufam berkata ia tidak setuju dengan pelantikan CEO warga asing mengetuai MAS.

“Mereka tidak menjawab kepada orang ramai. Pengurusan asing ini menerima gaji besar dan pergi tidak lama kemudian. Syarikat penerbangan lain sudah membuktikan mereka tidak perlu menggaji orang asing untuk mengendalikan syarikat mereka dan masih dapat berkembang,” katanya. – 17 Oktober, 2017.
Sumber: The Malaysian Insight

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: