News!!

Peristiwa Perang Khandaq Jadi Pemisah Antara Munafiq Dan Muslim

IKTIBAR PERANG KHANDAQ: MENGESAN SIFAT MUNAFIQ MELALUI KERJA

Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah melalui suatu zaman yang penuh dengan peperangan dan pembunuhan. Telah menjadi suatu budaya kepada orang-orang Arab Jahiliyyah pada zaman itu untuk menyeselaikan masalah dengan mata pedang.
Namun begitu, masih banyak pelajaran yang boleh kita ambil untuk dikaitkan dengan kehidupan kita pada zaman itu. Kerja buatnya mungkin berbeza, tetapi sikap manusia dalam melakukan apa jua kerja boleh dinilai dengan aspek yang sama.

Melalui setiap gerak kerja yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad S.A.W menjadi satu wadah kepada Nabi untuk menilai sejauh mana TAQWA dan KOMITMEN para sahabat terhadap misi dan visi Islam yang dibawa.

Nabi perlu mengenal sikap orang-orang disekelilingnya yang mana beriman, yang mana kafir, yang mana munafiq atau yang mana terpercaya supaya baginda dapat memilih dan memberikan tugasan penting kepada orang yang benar-benar layak.
Bagaimana Nabi melihat dan menilai orang-orang Muslim ketika itu?

PERISTIWA PERANG KHANDAQ

Pada Tahun ke-5 Hijrah, penduduk Islam Madinah menerima ancaman dari orang-orang Yahudi yang bekerjasama dengan penduduk Quraisy Mekah untuk menyerang Madinah.

Suku Yahudi dari Bani Nadir dikatakan menjadi dalang kepada tercetusnya perang ini. Mereka telah dihalau keluar dari Madinah kerana MENGKHIANATI PERJANJIAN mereka dengan Nabi serta cuba untuk MEMBUNUH baginda.

Huyyay ibnu Akhtab dari Bani Nadir telah mendatangi Bani Qurayzah untuk mereka sama-sama menyerang Nabi di Madinah. Pemegang Perjanjian Bani Qurayzah ketika itu, Ka’b ibnu Asad Al-Qurazi, pada mulanya enggan mengkhianati perjanjiannya dengan baginda Rasulullah S.A.W. Namun, setelah diberikan JANJI-JANJI kekayaan dan kekuasaan, Bani Qurayzah akhirnya bersetuju untuk menyerang Madinah.

Orang-orang Yahudi ini kemudiannya menuju ke Mekah untuk mendapatkan sokongan dari Orang Quraisy Mekah. Mereka sedar bahawa orang Yahudi tidak memiliki kekuatan dari segi bilangan dan kekuatan. Dengan bijak, mereka berjaya memujuk Abu Sufyan ketika itu untuk mengerahkan seluruh tentera Mekah menuju ke Madinah.

Mereka turut mengajak orang-orang Arab dari Utara untuk turut sama dalam peperangan tersebut, iaitu Bani Ghatafan dan penduduk Najd. Mereka bersetuju setelah mengetahui orang Quraisy Mekah juga menyertai peperangan tersebut.

Melalui gabungan kumpulan-kumpulan ini, mereka mempunyai kekuatan seramai 10,000 orang tentera yang diketuai oleh Abu Sufyan ibnu Harb dari Mekah.

PEMBINAAN PARIT SEBAGAI PERTAHANAN

Berita pengumpulan tentera-tentara kafir dari kalangan Yahudi dan Quraisy Mekah telah sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad S.A.W. kira-kira 10 hari sebelum kejadian. Dengan bilangan tentera yang sangat besar, baginda sedar tentera Islam tidak akan dapat memenangi peperangan itu secara berhadapan. Baginda meminta pendapat para sahabat.

Salman Al-Farisi, seorang pemuda dari Parsi yang baru sahaja memeluk Islam di Madinah telah menyuarakan pendapatnya kepada Nabi S.A.W. Beliau berkata “Wahai Rasulullah, di Parsi, apabila kami dikepung musuh, kami akan menggali parit untuk melindungi diri kami,”.

Nabi Muhammad S.A.W bersetuju dan menyusun seluruh penduduk Madinah untuk membina parit yang merentang dari Dhubab di pergunungan Timur ke Al-Nada’ di sebelah barat sehingga laluan masuk ke Madinah dibentengi oleh parit sedalam lebih 3 meter dan selebar lebih 4 meter.

SIFAT-SIFAT BURUK MUNAFIQ DIDEDAHKAN

Melalui kerja-kerja yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W menjadi asbab kepada beberapa penurunan ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan sifat-sifat dan perangai buruk para sahabat ketika itu.

Sebahagian dari pengikut Nabi dengan SENYAP-SENYAP MENJAUHI Nabi dan para sahabat yang sedang gigih menggali parit. Mereka BERPURA-PURA menjadi sangat lemah dan tidak mampu untuk bekerja.

Mereka kemudiannya terus MENGHILANG untuk kembali ke rumah dan bersenang bersama keluarga mereka. Mereka TIDAK MEMINTA IZIN kepada Nabi dan pergi tanpa pengetahuan baginda.

Maka Allah telah menurunkan ayat ke-62 dari Surah An-Nur seperti berikut:

اِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا بِاللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖ وَاِذَا كَانُوْا مَعَهٗ عَلٰۤى اَمْرٍ جَامِعٍ لَّمْ يَذْهَبُوْا حَتّٰى يَسْتَأْذِنُوْهُ ۗ اِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَـأْذِنُوْنَكَ اُولٰٓئِكَ الَّذِيْنَ يُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖ ۚ فَاِذَا اسْتَأْذَنُوْكَ لِبَعْضِ شَأْنِهِمْ فَأْذَنْ لِّمَنْ شِئْتَ مِنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمُ اللّٰهَ ۗ اِنَّ اللّٰهَ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka bersama-sama dengannya atas perintah untuk berhimpun, tidaklah mereka pergi sehingga mereka meminta izin kepadanya.

Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(QS. An-Nur 24: Ayat 62)

Bagi orang-orang yang beriman, mereka MEMINTA IZIN dan MEMBERITAHU kepada Nabi akan urusan-urusan lain yang perlu dilakukan. Maka baginda memberikan kebenaran mereka untuk menyelesaikan urusan mereka, lalu mereka akan kembali semula bersama-sama Nabi setelah selesai.

Inilah yang MEMBEZAKAN antara sifat-sifat orang munafik yang BERPURA-PURA dan orang beriman yang BERSUNGGUH-SUNGGUH serta BERAKHLAK.

Allah SWT telah menerangkan dalam ayat seterusnya seperti berikut:

لَا تَجْعَلُوْا دُعَآءَ الرَّسُوْلِ بَيْنَكُمْ كَدُعَآءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا ۗ قَدْ يَعْلَمُ اللّٰهُ الَّذِيْنَ يَتَسَلَّلُوْنَ مِنْكُمْ لِوَاذًا ۚ فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهٖۤ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْ يُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَ لِيْمٌ

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang pedih.”

(QS. An-Nur 24: Ayat 63)

Perjuangan dan misi yang diarahkan oleh Nabi Muhammad S.A.W bukanlah untuk kepentingan dirinya sahaja. Arahan yang dikeluarkan adalah untuk semua umat Islam SAMA-SAMA membina pertahanan dan melindungi tempat tinggal mereka umumnya, begitu juga dengan MELINDUNGI AKIDAH ISLAM mereka khususnya.

Orang-orang Munafiq ini dijanjikan dengan azab yang pedih atas perbuatan mereka yang tidak mahu bersama-sama menggalang tanggungjawab dan membiarkan sahabat lain bersusah payah melakukan kerja. Mereka hanya bersenang-lenang dan MENUMPANG kejayaan orang lain di kemudian hari.

Allah turut mengaskan dalam ayat ke-64:

اَ لَاۤ اِنَّ لِلّٰهِ مَا فِى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ ۗ قَدْ يَعْلَمُ مَاۤ اَنْـتُمْ عَلَيْهِ ۗ وَيَوْمَ يُرْجَعُوْنَ اِلَيْهِ فَيُنَـبِّـئُـهُمْ بِمَا عَمِلُوْا ۗ وَاللّٰهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ

“Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Ia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya; dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Ia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu.”

(QS. An-Nur 24: Ayat 64)

Sememangnya Allah Maha Mengetahui sifat-sifat manusia. Pelajaran yang Allah telah berikan di dalam Al-Quran menjadi suatu RUJUKAN dalam mengenal dan menerangkan perlakuan manusia sama ada yang beriman atau yang munafiq.

Melalui ‘AMAL’ dan ‘KERJA’ mereka maka sifat-sifat buruk ini terbuka sehingga menggambarkan apa yang dihati mereka.

Firman Allah dalam Surah Al-Mu’minum, ayat ke-63 berikut:

بَلْ قُلُوْبُهُمْ فِيْ غَمْرَةٍ مِّنْ هٰذَا وَلَهُمْ اَعْمَالٌ مِّنْ دُوْنِ ذٰلِكَ هُمْ لَهَا عٰمِلُوْنَ

“Bahkan hati mereka dalam kesesatan daripada ini (yang diperintah) ; dan mereka pula mempunyai amal-amal selain dari itu (yang tidak diperintah), yang mereka terus-menerus mengerjakannya;”

(QS. Al-Mu’minun 23: Ayat 63)

PENUTUP

IZIN merupakan suatu AKHLAK yang sangat penting dalam berorganisasi supaya pemimpin dan pengatur ketika itu MENGETAHUI setiap yang berlaku lalu mampu membuat penyesuaian sekiranya berlaku perubahan kondisi. Pemimpin perlu MAKLUMAT yang tepat untuk MENGATUR dengan baik.

Sekiranya ramai yang tiba-tiba berundur dari membantu Nabi tanpa pengetahuannya, maka bagaimana parit itu dapat disiapkan dalam masa yang sangat singkat dan kritikal ketika itu? Pasti keselamatan penduduk Madinah dan kelangsungan dakwah Islam akan TERANCAM dan TERKUBUR.

Orang-orang Munafik juga sentiasa memberikan ALASAN-ALASAN dalam bekerja. Mereka bersifat NEGATIF dan PESIMIS sehingga menjatuhkan semangat orang-orang yang lain. Islam tidak akan bangkit dan menang dengan sifat-sifat begini. Sifat MALAS mereka MELEMAHKAN diri, malah lebih buruk lagi dengan BERBOHONG untuk memberikan alasan.

Semua peringatan yang Allah berikan adalah untuk memperbaiki DIRI KITA SENDIRI daripada sifat-sifat orang munafiq.

Adalah menjadi TANGGUNGJAWAB kita untuk mematikan sifat ini dalam diri, keluarga dan anak-anak, orang-orang bawahan di tempat kerja, masyarakat yang dipimpin serta umat Islam seluruhnya untuk memastikan TERTEGAKNYA Islam sebagai CARA HIDUP yang sejahtera.

“وَحَدَّثَنِي عَنْ مَالِكٍ، أَنَّهُ قَدْ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ حُسْنَ الأَخْلاَقِ .”
Diriwayatkan dari Malik, bahawa dia telah mendengar bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda- “Aku telah diutuskan untuk menyempurnakan Akhlak yang baik,”.

“وقد روى الإمام أحمد عن إسماعيل بن علية، عن يونس بن عبيد، عن الحسن البصري قال: وسئلت عائشة عن خلق رسول الله ﷺ.
فقالت: كان خلقه القرآن.”

Diriwayatkan dari Hassan Al-Basri, dia berkata –Dan aku bertanya kepada Aisyah tentang Akhlaq Rasulullah S.A.W. Maka dia menjawab –“Akhlaqnya adalah Al-Quran”.

Semoga Bermanfaat,

Jabatan Siyasah Sejarah,
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1699615506799587

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: