Menurut sumber, remaja berumur 19 tahun dan menuntut di tingkatan enam atas itu merupakan pelajar pintar yang sebelum ini tidak menunjukkan sebarang masalah disiplin di sekolah.

Katanya, suspek juga sering ke masjid di kampungnya dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan yang pelik.

“Ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia salah seorang pelajar cemerlang dan guru-gurunya menyifatkan dia seorang pelajar yang baik dan cemerlang dalam akademik.

“Sebelum ini, dia tidak ada sebarang masalah. Dia juga pandai bergaul dengan kawan-kawan dan penduduk di kampungnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Ming­guan Malaysia mendapati rumahnya tiada penghuni dan jiran-jirannya memberitahu mereka tidak tahu ke mana ibu bapanya pergi.

Difahamkan, pelajar itu bersama dua lelaki ditahan sepasukan anggota polis dari Bukit Aman di kawasan bulatan Jalan Bypass dekat sini sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh kira-kira pukul 4.30 petang Selasa lalu.

Ketiga-tiga mereka dikatakan diterbangkan dengan sebuah helikopter polis ke Kuala Lumpur pada hari yang sama dengan kawalan yang ketat.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan beberapa individu termasuk remaja terbabit semalam berkata.

Maklumat lengkap penahanan itu akan disediakan dalam tempoh tiga hari lagi kerana siasatan masih dijalankan polis.