Walaupun berdepan dengan pembunuh anaknya, Abdul-Munim Sombat Jitmoud dikatakan masih boleh berlapang dada dan tidak berdendam terhadap individu tersebut ketika kes itu dibicarakan di sebuah mahkamah di Kentucky, baru-baru ini.

Tertuduh, Trey Alexander Relford bukan sahaja dimaafkan oleh Abdul-Munim, malah lelaki itu turut dipeluk dalam suasana yang amat mengharukan di mahkamah terbabit, lapor CNN.

Image result for Abdul Munim Sombat

Menurut Abdul-Munim, apa yang dilakukan itu adalah sejajar dengan tuntutan Islam.

“Dalam Islam, tuhan tidak akan memaafkan seseorang sehingga orang yang melakukan kesalahan itu dimaafkan oleh individu yang dianiaya terlebih dahulu.

“Dalam hal ini, pintu taubat masih terbuka. Jadi, dekatkan diri anda dengan-Nya. Permulaan satu kehidupan baharu yang lebih baik sedang menanti anda,” katanya kepada Relford.

Anak lelaki Abdul-Munim, Salahuddin Jitmoud dipercayai dibunuh dan dirompak ketika sedang menghantar pesanan piza berhampiran sebuah pangsapuri di Lexington, Kentucky pada bulan April 2015.

Susulan pembunuhan itu, tiga suspek ditahan, namun hanya Relford didakwa dalam kes ter­babit walaupun dia menafikan membunuh Salahuddin selepas merancang untuk merompak mangsa.

Relford kemudian dijatuhi hukuman penjara selama 31 tahun selepas mengaku bersalah me­lakukan perbuatan berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul-Munim berkata, dia sebenarnya marah dengan perbuatan ‘syaitan yang merasuk’ Relfold melakukan jenayah tersebut.

“Saya tidak salahkan anda (Relford) dan saya tidak marahkan anda. Saya maafkan semua perbuatan anda,” katanya yang mendakwa sering membaca al-Quran untuk mencari ketenangan selepas kematian anaknya.

Sementara itu, Relford dipetik sebagai berkata: “Tidak banyak yang boleh saya perkatakan ketika ini. Saya minta maaf atas apa yang berlaku tempoh hari dan tidak ada apa yang boleh saya lakukan untuk mengembalikan (Salahuddin) kepada anda semula.”