News!!

Perang Badar, Umpama Sang Kancil Tumbangkan Gajah

Perang Badar merupakan perang besar pertama bagi Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat selepas Hijrah. Ia dinamakan Al-Kubra kerana berlaku satu peristiwa di lembah Badar sebelum perang itu. Apa yang membawa kepada tercetusnya perang Badar? Apakah tindakan Nabi dan para sahabat selepas Hijrah sehingga menggugat orang Musyrikin Mekah?

Teruskan pembacaan sehingga akhir.

PERISTIWA TERCETUSNYA PERANG BADAR AL-KUBRA
Hijrah Nabi Muhammad S.A.W bersama para sahabat dari Kota Mekah merupakan titik permulaan Jemaah Islam untuk mendirikan sebuah kerajaan dan Daulah Islamiyyah. Proses yang tidak mudah untuk Nabi dan para sahabat kerana menghadapi pelbagai ancaman dan bahaya daripada penentang di Mekah.
Tahun 13 September 622 Masihi merupakan tarikh bersejarah yang dicatat sebagai permulaan Hijrah Nabi, lalu dijadikan perkiraan untuk permulaan Tahun Hijrah dalam kalendar Islam. Perjalanan Hijrah Nabi memakan masa selama 26 hari sehingga Nabi dan para sahabat memasuki Madinah lalu terjamin keselamatannya.
ANCAMAN KAUM MUSYRIKIN MEKAH
Namun begitu, kehidupan Nabi dan para sahabat di Madinah tidak lepas dari ancaman kaum musyrikin Mekah. Kabilah dan pedagang dari Mekah mundar-mandir melalui jalan perdagangan berhampiran dengan Kota Madinah.
Saidina Hamzah dihantar oleh Nabi pada bulan Ramadhan, 1 H untuk menahan sebuah kabilah dengan kumpulan seramai lebih 30 orang. Buat pertama kali, Saidina Hamzah membawa bendera Islam yang pertama berwarna ‘putih’.
Kabilah tersebut diketuai oleh Abu Jahal bersama 300 orang Mekah. Pertempuran hampir berlaku tetapi diamankan oleh seorang Quraisy bernama Majdi bin Amr al-Juhani. Saidina Hamzah dan kumpulannya pulang ke Madinah hanya dengan membawa berita kejadian itu kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Jemaah Islam Madinah mula berhati-hati terhadap setiap kabilah Mekah yang melalui Madinah. Kabilah ini dikhuatiri menjadi perisik perkembangan di Kota Madinah atau sedang mencari sokongan kabilah-kabilah di luar Madinah untuk bersama memerangi Nabi.
Pada bulan Syawal 1H, satu pasukan lagi dihantar diketuai oleh Abu Ubaidah untuk menyiasat sekumpulan pedagang dipercayai milik Abu Sufyan. Mereka bertemu sekumpulan musyrikin Mekah di kolam air al-Ahya’. Saad bin Abi Waqqas dikatakan melepaskan panah untuk menghalau mereka. Tiada pertempuran dan sebarang kematian berlaku.
EKSPEDISI NABI MUHAMMAD S.A.W. SEKITAR MADINAH
Nabi Muhammad S.A.W tidak keluar dari Madinah sehinggalah selepas kira-kira setahun. Pada bulan Jamadil Awwal 2H, Nabi sendiri telah keluar bersama 70 orang sahabat untuk meneliti gerakan orang-orang Musyrikin Mekah. Tiada sebarang Kabilah Mekah ditemui. Nabi mengambil peluang menemui sekumpulan kabilah dari Bani Damrah dan berdakwah kepada mereka.
Bani Damrah bersetuju untuk bekerjasama dengan penduduk Madinah dan mengadakan janji setia untuk keamanan serta perlindungan kepada kabilah mereka. Kumpulan Nabi pulang semula ke Madinah pada bulan Jamadil Akhir 2H.
Pada bulan Rabiul Awwal-2 H, Nabi Muhammad S.A.W bersama sekumpulan sahabat keluar dari Madinah untuk mengejar seorang Arab bernama Kurz ibnu Jabir al-Fihri. Kurz ibn Jabir telah menyerang sebuah ladang lembu milik penduduk Madinah di al-Jamma’.
Nabi dan para sahabat seramai 70 orang mengejar Kurz bin Jabir sehingga ke lembah Badar tetapi Kurz dapat melarikan diri. Ini merupakan ekspedisi pertama Nabi dan para sahabatnya ke lembah Badar. Peristiwa ini disebut ekspedisi Badar al-Awwal.
Nabi Muhammad S.A.W. keluar sekali lagi pada bulan Rabiul’ Akhir untuk menahan sebuah Kabilah dalam perjalanan keluar dari Mekah. Diketahui dari perisikan Nabi bahawa kabilah ini milik Ummayah bin Khalaf, sekutu Abu Jahal dan bekas tuan kepada Bilal bin Rabah. Kedua-dua kumpulan tidak bertemu dan tiada peperangan berlaku.
PERISTIWA PEMBUNUHAN DI NAKHLAKH – PENCETUS PEPERANGAN
Selepas persitiwa kekacauan yang dilakukan oleh Kurz bin Jabir, Nabi Muhammad S.A.W telah menyusun sebuah pasukan perisikan seramai 8 orang diketuai oleh Abdullah ibnu Jahshi (Riwayat lain menyebut 12 orang). Abdullah Ibnu Jahshi ialah cucu kepada Abdul Mutallib dan saudara kepada Nabi.
Nabi Muhammad S.A.W telah mengarahkan Abdullah ibnu Jahshi untuk menuju ke kawasan di antara Mekah dan Taif dalam dua hari perjalanan dari Madinah untuk memerhatikan pergerakan orang Quraisy. Kumpulan Abdullah ibn Jahshi bergerak keluar dari Madinah pada bulan Rejab-2H.
Kumpulan Abdullah ibn Jahshi sampai ke suatu tempat disebut Nakhlakh tetapi malangnya, mereka bertembung dengan sekumpulan pedagang Quraisy Mekah. Kabilah tersebut diketuai oleh Amr ibnu Al-Hadrami disertai oleh beberapa orang dari Bani Makhzum dengan jumlah hanya 4 orang.
Kumpulan Abdullah ibn Jahshi hanya tinggal 6 orang kerana sebelum sampai ke Nakhlakh, 2 orang sahabat iaitu Saad ibnu Abi Waqqas dan Utbah ibnu Ghazwan ketinggalan ke belakang kerana unta mereka terlepas.
Kedua-dua kumpulan bertempur sehingga ketua kabilah tersebut, Amru bin Al-Hadrami mati dipanah seorang sahabat bernama Waqid ibnu Abdullah. Dua orang berjaya ditangkap dan dijadikan tahanan sementara seorang lagi bernama Nawfal bin Abdullah berjaya melarikan diri.
Abdullah ibnu Jahshi pulang ke Madinah bersama tawanan dan harta rampasan perang pertama oleh Jemaah Nabi dari pertempuran tersebut.
PERLANGGARAN ARAHAN OLEH ABDULLAH IBNU JAHSHI
Sekembalinya ke Madinah, semua tawanan dan harta rampasan perang diserahkan oleh Abdullah Ibnu Jahshi kepada Nabi Muhammad S.A.W. Baginda dalam keadaan marah menolak semua serahan tersebut.
Nabi berkata – “Aku tidak mengarahkan kamu untuk berperang dalam bulan yang mulia ini! Kamu telah melakukan apa yang kamu tidak disuruh untuk berbuat dan kamu telah bertempur dalam bulan mulia ini walaupun kamu tidak disuruh bertempur!”.
Nabi Muhammad S.A.W melihat perlanggaran adat dalam budaya Mekah iaitu berbunuh dalam bulan Rajab yang dianggap mulia pastinya akan menimbulkan kemarahan orang Mekah. Orang-orang Quraisy Mekah kemudiannya menghantar utusan ke Madinah untuk membebaskan kedua-dua tawanan tersebut dengan membayar wang tebusan.
Nabi Muhammad S.A.W membebaskan mereka setelah Saad bin Abi Waqas dan Utbah ibnu Ghazwan yang sebelumnya tertinggal dari kumpulan Abdullah ibnu Jahshi, pulang ke Madinah. Nabi takut kalau-kalau wakil Quraisy Mekah dan tebusan itu akan mengambil kesempatan membunuh dua orang sahabat tadi sekiranya bertembung di luar Madinah.
KEPUTUSAN NABI UNTUK MENGAMBIL HARTA RAMPASAN.
Kumpulan Bani Makhzum yang ditewaskan ditawan oleh Abdullah bin Jahshi ialah dari keluarga Abu Jahal. Kebanyakan kabilah yang melalui Madinah adalah milik orang-orang kaya Mekah seperti Abu Sufyan, Umayyah bin Khalaf dan Abu Jahal.
Mereka telah menolak Islam dan banyak melakukan kezaliman seperti mencaci, menyiksa dan melakukan boikot sehingga Nabi dan para sahabat terpaksa meninggalkan Mekah.
Hak mereka dinafikan di Mekah sehingga harta dan rumah mereka dirampas. Daripada kabilah ini, Nabi S.A.W. memperjuangkan hak Muhajirin yang telah dinafikan oleh orang-orang kaya Mekah.
Melihat kepada kezaliman dan hak yang dirampas, maka Nabi Muhammad S.A.W. akhirnya menerima rampasan oleh Abdullah bin Jahshi lalu dibahagikan kepada para sahabat sebagai sara hidup.
Saidina Abbas meriwayatkan bahawa selepas kejadian itu, Nabi Muhammad S.A.W telah merancang pula untuk menyerbu kabilah Abu Sufyan dari Syria.
KABILAH ABU SUFYAN DALAM BAHAYA DAN PERTEMUAN DI BADAR
Melalui kejadian tersebut, pemimpin Mekah terutamanya Abu Jahal berada dalam keadaan tidak tenteram kerana menganggap Nabi Muhammad S.A.W mengancam kabilah dagang mereka. Abu Jahal telah mengumpulkan tentera di Mekah bersedia menuju ke Madinah.
Abu Sufyan sendiri telah menghantar utusan kepada Abu Jahal meminta perlindungan untuk kabilahnya yang bergerak pulang dari Syria. Sebagai membalas kejadian pembunuhan oleh kumpulan Abdullah ibnu Jahshi dan memastikan keselamatan Abu Sufyan dan kabilahnya, Abu Jahal tidak menangguhkan rancangannya.
Nabi Muhammad S.A.W berada di Madinah ketika mendengar berita kemaraan orang-orang Quraisy Mekah ke Madinah. Dikhabarkan, tentera Abu Jahal menuju ke lembah Badar untuk menunggu ketibaan kabilah Abu Sufyan dari Syria.
Tanpa mengetahui bilangan tentera Mekah ketika itu, Nabi Muhammad S.A.W mengumpulkan sekitar 300 orang tentera Islam untuk bergegas menuju ke lembah Badr. Setibanya di sebuah telaga air, beberapa sahabat bertemu dengan seorang Quraisy dan seorang budak suruhan yang sedang mengambil air. Orang Quraisy itu melarikan diri dan budak suruhan itu dapat ditangkap untuk disoal siasat.
Sahabat menyoal budak suruhan itu tentang jumlah tentera orang Quraisy Mekah. Dia hanya menjawab bahawa bilangan mereka ramai tetapi tidak mahu menyatakan bilangannya. Sahabat membawanya kepada Nabi S.A.W.
Nabi Muhammad S.A.W bertanya – “Berapa ramaikah orang di sana?”
Dia menjawab – “Demi Tuhan, mereka adalah ramai dan menakutkan”.

.
Nabi Muhammad S.A.W bertanya lagi – “Berapa ekor unta mereka sembelih setiap hari?”.
Dia menjawab – “Sepuluh setiap hari”.
Melalui bilangan itu, Nabi Muhammad S.A.W. menganggarkan tentera Quraisy seramai lebih kurang 1000 orang. Jumlah tentera Quraisy tiga kali lebih besar berbanding tentera Muslim namun ia tidak menggentarkan Nabi.

Image may contain: one or more people, horse and text
Saidina Ali pernah meriwayatkan:
“Apabila tiba waktu perang Badar, dan ketika kami berhadapan musuh, kami bimbang terhadap Rasulullah kerana baginda ialah orang yang paling berani, dan tiada di antara kami yang lebih dekat dengan musuh melainkan baginda”.
Perang Badar akhirnya tercetus pada 17 Ramadhan, 2 H bersamaan 13 March 624 M dengan tentera Islam seramai lebih kurang 300 orang berhadapan tentera kafir Quraish seramai hampir 1000 orang. Perang ini berakhir dengan kemenangan tentera Islam yang sedikit.

Semoga Bermanfaat.
Jabatan Siyasah Sejarah 
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1687313284696476

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: