News!!

Pemerhatian Snouck Hurgronje Terhadap Kota “Suci” Mekah Amat Menggemparkan

Hasil dapatan yang bakal anda baca di dalam artikel ini pastinya amat berlainan dari apa yang disangkakan. Mungkin akan timbul pelbagai persoalan ataupun wujudnya pra sangka yang cuba menafikan pandangan Snouck mengenai kondisi Kota “Suci” Mekah di waktu itu. Apapun, sama-sama kita baca dan ambil rasionalnya dalam keadaan terbuka agar kita mampu melihat dari sudut ilmiah dan menyedari akan hakikat yang sebenar.

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 4 : PEMERHATIAN SNOUCK TENTANG ORANG ISLAM DAN MASYARAKAT MEKAH.
.

Terima kasih kami ucapkan kepada pembaca yang setia mengikuti kajian sejarah kami. Bagi anda yang baru bersama siri penggalian sejarah ini, boleh merujuk artikel kategori WAJIB BACA yang akan menjelaskan misi mengapa perkongsian sejarah ini ditulis, melalui link berikut;

KENAPA HASIL KAJIAN SEJARAH INI PERLU DITULIS SEMULA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1558905024203970

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 1: SIAPAKAH DALANGNYA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1559867924107680

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 2: STRATEGI SNOUCK HURGERONJE MEMASUKI MEKKAH.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1560747314019741

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 3: STRATEGI SNOUCK YANG MEMANFAATKAN FOTOGRAFI

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1561678307259975

************** SIRI 4 ************

C. Snuck Hurgronje tidak sempat untuk melakukan Haji di Mekah setelah dia dihalau orang Gabenor Hijjaz pada waktu itu atas satu tuduhan ke atasnya. Namun begitu, Snouck menanggap bahawa keadaan yang sibuk di waktu Haji bukanlah gambaran sebenar masyarakat Islam di Mekah. Pada waktu Haji, pastinya semua orang tertumpu dengan aktiviti ibadah Haji dan juga orang-orang yang terlibat dalam perniagaan menjadi semakin sibuk.

Di luar musim Haji, Snouck menganggap inilah waktu terbaik untuk mengenali keadaan sebenar penduduk Islam di Mekah. Pemerhatiannya yang sangat teliti dan mendalam terhadap masyarakat Mekah adalah dengan tujuan untuk mencari kekuatan umat Islam di sana. Namun sebaliknya, banyak kelemahan-kelemahan masyarakat Islam yang terdedah yang sememangnya sangat menguntungkan bagi dia dan kerajaan Belanda.

Berdasarkan penulisannya mengenai Mekah dalam karyanya bertajuk ‘Mekka’ yang diterbitkan sekitar 1888 – 1889, dia telah menjelaskan secara terperinci mengenai keadaan sosial dan politik masyarakat Mekah sehingga menjadi rujukan orang-orang barat Eropah. Karyanya itu terus menjadi rujukan sehingga kini kerana penerangannya memberi gambaran kelemahan yang sangat ketara dalam masyarakat Islam dan Arab di Mekah yang kita boleh bandingkan dengan keadaan di Mekah pada waktu ini.

Sekiranya Snouck dan para orientalis lain menjadikan kelemahan ini sebagai satu kaedah untuk mengeksploitasi dan memperkudakan Islam, pemikir Islam secara sebaliknya boleh menggunakan maklumat ini untuk untuk mencegah dan melakukan Islah dalam masyarakat Islam di mana sahaja mereka berada. Secara ringkas kami akan membincangkan beberapa pemerhatian dan pendapat Snouck Hurgronje melalui karyannya yang telah diterbitkan semula dan diterjemah dalam Bahasa Inggeris bertajuk “Mekka in the Latter Part of the 19th Century” (1931).

Image may contain: 2 people, people standing and text
1. PERPADUAN MASYARAKAT MEKAH

Penduduk Islam di Mekah bergerak mengikut jemaah masing-masing. Mereka tidak meghormati jemaah dari negara yang lain, malah mempersendakan dengan jenaka yang mengejek. Tiada hal yang lebih besar bagi orang Islam melainkan untuk menjadi ‘tetamu Allah’ dan meraih keredhaanya melalui ibadah Haji serta lainnya. Ini menjadikan perpaduan bukan lah satu agenda utama.

Orang-orang Arab dinampakkan sentiasa terlibat dalam pergaduhan antara keluarga dan suku sehingga membawa kepada pembunuhan. Mereka dilihat sentiasa membawa pisau dan pedang ke mana sahaja mereka keluar sebagai perlindungan terutamanya orang-orang kelas atasan dan orang Arab tempatan. Mereka boleh bertengkar atas perkara-perkara kecil.

2. PERNIAGAAN

Mekah dinampakkan sebagai tempat untuk berniaga dan mengaut keuntungan. Snouck telah menukilkan kata-kata orang arab ketika itu, ‘hajj mabrur wa zunubi maghfur wa tijaratun lan tabur’ yang bermaksud ‘haji yang mabrur, dan dosa yang diampunkan dan perniagaan yang menguntungkan.

Mekah menjadi tempat perkumpulan ramai pakar-pakar kerja tangan, tukang kayu, tukang paip dan pelbagai lagi bidang yang meniagakan kepakaran mereka di sana sehingga menjadikan Kota Mekah sebagai pusat pelbagai perkhidmatan dan pekerjaan. Perkara ini dianggapnya satu yang normal di sebuah kota yang menjadi tumpuan dan bukanlah disebabkan ‘keajaiban’ Kota Mekah seperti dianggap oleh sebahagian umat Islam. Peluang perniagaan terbuka luas di sini malah mereka mendapatkan keuntungan yang lebih berbanding di negara mereka sendiri.

3. ORANG-ORANG MISKIN DAN PENGEMIS

Bersama rombongan haji atau kumpulan perniagaan ini, mereka diikuti oleh pengemis-pengemis dan peminta sedekah. Mekah menjadi tumpuan juga kepada orang-orang miskin yang berkeliaran dengan pakain yang buruk dan membawa mangkuk kayu untuk meminta simpati jemaah haji dan peniaga-peniaga. Terdapat dua kelompok pengemis yang diperhatikan iaitu shahhatin (meminta-minta) dan maddahin (memuji-muji). Pengemis ini biasanya akan menyebut-menyebut nama Allah dan seorang akan menolaknya ke orang lain jika tiada derma mahu diberikan sambil menyebut “Allah Karim”.

Sebahagian orang miskin yang datang, tidak mahu pulang ke negara mereka dan memilih untuk bekerja di Mekah. Kerja-kerja yang dilakukan adalah kerja-kerja yang upahnya rendah dan tidak dibuat oleh penduduk tempatan Mekah ataupun hamba-hamba mereka. Orang-orang pendatang ini diberikan kerja menjaga pintu, menguruskan kasut di masjid, pengangkat barang di rumah kenamaan serta buruh kasar.

Image may contain: 1 person, beard and text
4. PERKHIDMATAN HUTANG

Snouck memerhatikan bahawa orang India banyak terlibat dalam perkhidmatan hutang dan pemberi pinjaman yang memberi keuntungan yang tinggi. Snouck sedar bahawa hukum RIBA’ adalah sangat berat dalam agama Islam, namun ramai peminjam nampaknya tidak ada masalah untuk melanggar hukum ini dan banyak sahaja alasan atau pendapat yang dikeluarkan untuk MENGHALALKANNYA.

Dia pernah mengenali beberapa orang tempatan Mekah yang memberi pinjam kepada orang-orang jawa yang harus membayar balik dua kali ganda apa yang dipinjam. Perkataan ‘riba’ cuba dielakkan dengan menggunakan perkataan lain iaitu ‘murabhah’ yang bermaksud keuntungan. Seorang boleh meminjamkan wang bernilai 20 dollar dan mendapatkan keuntungan 100% dalam masa pinjaman hanya beberapa bulan.

5. PENDATANG WANITA DAN PERKAHWINAN KONTRAK

Snouck menceritakan kedatangan wanita-wanita terutamanya dari Mesir dan menawarkan diri untuk dikahwini oleh penduduk tempatan secara tetap atau secara kontrak dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini dinampakkan Snouck sebagai satu kaedah pelacuran yang terselindung. Snouck menampakkan bahawa pelbagai amalan yang bersifat keduniaan telah bertapak di Mekah.

Namun begitu, dia melihat sebahagian orang-orang yang datang benar-benar dengan matlamat agama tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti korup ini. Mereka bersungguh-sungguh datang dengan niat untuk mendalami agama, mendekati golongan berilmu, menghapuskan dosa, membersihkan harta atau menghabiskan sisa hidup di sana terutamanya mereka yang datang dari Jawa dan kepulauan Melayu.

Image may contain: 3 people, text
6. PERHAMBAAN LELAKI DAN WANITA

Hamba-hamba dari Afrika dijual dalam jumlah yang besar melalui seorang broker yang dipanggil ‘dellal’. Penjualan di lakukan di sebuah pasar hamba berdekatan masjid yang dipanggil ‘Bab Dereybah’. Sebahagian hamba adalah baru dan sebahagian yang lain adalah hamba yang tidak lagi diperlukan oleh Tuan mereka. Hamba perempuan turut dijual. Dinampakkan hamba perempuan berkulit hitam diberikan kerja-kerja kasar di rumah dan turut menjadi gundik atau perempuan simpanan. Snouck sendiri telah membeli seorang wanita berkulit hitam untuk berkhidmat di rumahnya.
.

KESIMPULAN

Image may contain: 1 person, text

Penerangan di atas merupakan sedikit ringkasan dari penulisan Snouck Hurgronje yang panjang. Banyak lagi maklumat dan penceritaan yang mendalam dalam setiap subtopik di atas yang sememangnya berlaku di Mekah ketika itu. Ini menggambarkan betapa jauhnya umat Islam dari perlaksanaan agama Islam yang sebenar. Kelemahan pemerintah dan Ulama pada waktu itu juga sangat ketara kerana perkara-perkara mungkar berlaku dengan berleluasa. Dalam suatu sudut yang lain, amalan Jahiliyyah masih lagi menebal dalam masyarakat Arab.

Snouck Hurgronje memerhatikan bahawa Ibadah Haji di Mekah dan keadaan masyarakat Islam di sana bukanlah satu ancaman besar kepada rancangan penjajahan mereka di Nusantara. Ini disebabkan Mekah tidak dilihat sebagai pusat penyebaran maklumat dan pemikiran Islam yang mampu menggugat penjajahan dan ideoligi barat. Kumpulan-kumpulan Islam dari pelbagai negara dilihat tidak bersatu dan sibuk dengan urusan masing-masing sama ada untuk beribadah, menuntut ilmu atau berniaga. Konsep-konsep Haji yang sepatutnya menjadi satu senjata untuk menguatkan umat Islam tidak lagi difahami apatah lagi untuk diamalkan oleh orang Islam.

Namun bagi Snouck, di Mekah masih terdapat segolongan orang-orang yang tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang salah itu. Mereka kebanyakannya orang-orang dari luar terutamanya dari Nusantara termasuk orang Melayu dan Jawa. Kumpulan ini dilihat datang semata-mata untuk menuntut ilmu, mendekatkan diri dengan Allah, menghapuskan dosa,membersihkan harta atau menghabiskan umur di tanah suci.

Mereka menganggap kejahatan yang berlaku adalah disebabkan amalan Jahiliyyah orang tempatan Arab sendiri yang sangat menebal dan banyak budaya-budaya yang merosakkan datang dari luar. Apabila sistem Islam menjadi lemah dan goyah, agama dipergunakan, kefahaman terus hilang dan Jahiliyyah bertapak semula.

Berapa banyakkah perbezaan Mekah di zaman Snouck Hurgronje pada zaman ini? Adakah semakin baik atau sebaliknya? Perkara ini perlu dikaji dan selidik dengan lebih kritis dan mendalam lagi sekiranya Islam mahu dibangkitkan semula kembali gemilang.

Nantikan artikel seterusnya dari kami dalam mengupas propaganda Snouck dan rakan sekutunya untuk menjatuhkan Islam di Nusantara.
.

Semoga bermanfaat,

Sumber:
Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: