News!!

Misi Memanusiawikan Pendidikan, Impian Atau Sekadar Angan-Angan?

Gerakan untuk merubah arus pendidikan negara sebenarnya bukanlah satu usaha yang baharu. Sudah ada beberapa kumpulan kecil atau individu yang telah melaksanakannya secara persendirian. Bertepatan dengan perubahan yang  bakal diterajui oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee, pastinya apa yang diimpikan oleh rakyat Malaysia untuk “overhaul” sistem pendidikan bakal tercapai. Ikuti perkongsian dari organisasi “istimewa” ini untuk kita berfikir dan merasakan betapa pentingnya kita membuat “Islah” demi generasi masa depan.

MISI MEMANUSIAWIKAN PENDIDIKAN YB DR MASZLEE – SUATU CABARAN

Dalam banyak-banyak pengumuman Tun Mahathir tentang jemaah kabinet terbarunya, YB Dr. Maszlee Malek merupakan tokoh yang paling mendapat perhatian. Gembira melihat respon dari warga negara berbilang bangsa, kecuali mungkin sekelompok anti-islamis ataupun yang sekutu dan sekufu dengan Siti Kassim.

Reformasi pendidikan telah lama tertangguh. ‘Memanusiawikan pendidikan’ yang disebutkan oleh YB dilihat sebagai satu moto baru sistem pendidikan yang bakal menjalani reformasi. Itu perkembangan yang sangat kita nantikan. Ya, kita mahu mencipta manusia bukannya robot yang hanya pandai melakukan apa yang telah diprogramkan sahaja atau tikus makmal yang menjadi subjek ujikaji semata-mata.

Sejak RPWP ditubuhkan 14 tahun yang lalu, kami percaya bahawa sebuah bangsa itu dimusnahkan secara sistemik dan secara kekal melalui pendidikan yang diracuni. Malangnya sejarah hanya menjadi subjek untuk dihafal untuk menjawab peperiksaan. Bilangan A jadi penentu kecemerlangan semua diversiti keupayaan manusia. Semuanya dipukul rata di atas kertas peperiksaan.

Atas sebab itulah RPWP telah mulakan aliran pendidikan sendiri pada ketika itu, namun masih menghantar anak-anak kami ke sekolah kebangsaan.

Kira-kira 4 tahun lalu, kami akhirnya terpaksa menarik keluar anak-anak kami dari sekolah kebangsaan. Kami cari modal untuk membina sebuah sekolah sendiri dengan sistem pendidikan yang tidak sealiran dengan sekolah kebangsaan.

Semua itu bermula apabila seorang anak yatim RPWP dinasihatkan oleh guru sekolah untuk berhenti dan tidak menduduki UPSR. Dikhuatiri ia bakal mencacatkan prestasi sekolah. Selepas itu, kami berazam untuk mengubah sesuatu yang besar melalui sistem pendidikan komuniti RPWP. Itulah pendidikan dengan cara kami sendiri, pendidikan yang berteraskan alquran dan sunnah secara hakiki.

Atas sebab itu juga kami sangat laju mempersetujui ideologi pendidikan YB Dr. Maszlee yang mengatakan sistem sedia ada lebih mengutamakan kecemerlangan berdasarkan bilangan A. Sedangkan, ia bukan satu penilaian yang adil, bahkan ia telah menghasilkan ramai pelajar yang keciciciran.

RPWP sebuah rumah kebajikan dengan populasi asnaf dan anak yatim sekitar 250 orang keseluruhannya. Kami bukan MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang menetapkan kelayakan masuk berdasarkan prestasi akademik mereka sebelumnya. Kami terpaksa menerima anak yatim tanpa mengira latarbelakang pendidikan dan kecerdasan mereka di sekolah. Justeru, yang dihantar kepada AIP biasanya adalah mereka yang sudah tidak minat bersekolah.

TERCICIR DI SEKOLAH TIDAK SEMESTINYA BODOH.

Kami dapati sesetengah anak-anak yang dilabelkan dungu dan lembam itu kurang tepat. Tidaklah mereka ini tiada masa depan sama sekali. Mereka cuma kurang serasi dengan sistem yang mengutamakan kemahiran menghafal dan menjawab peperiksaan.

Atas sebab itulah inovasi pendidikan RPWP terpaksa dimulakan. Ketika itu kami pernah tuliskan bahawa inilah sistem pendidikan yang menampal lompong-lompong yang ada dalam sistem kebangsaan sediaada.

Semasa kami umumkan pendidikan TANPA SUKATAN dan tanpa peperiksaan, kami dikecam. Namun, beberapa tahun selepas itu, Finland yang terkenal dengan sistem pendidikan terbaik dunia telah mengambil langkah yang sama, iaitu “Pendidikan secara student-centric” tanpa sukatan.

Ironinya, masyarakat Malaysia memujinya pula. Mungkin kerana RPWP ini Melayu, maka apa yang diutarakan semua dibidas dan dikecam. Tetapi bila ‘orang putih’ yang lakukan, semuanya memuji dan boleh menerima.

Sebenarnya tidak semua orang mampu menghafal, namun mereka masih mampu menyelesai masalah. Tetapi sistem pendidikan sedia ada banyak melibatkan hafalan dan bukan penyelesaian masalah. Akhirnya, sistem pendidikan kita menjadi medan tempur untuk saling berlumba melalui semangat kompetitif, bukannya kooperatif.

Dari situ kami perlu berani berubah. Ada juga yang berminat walaupun ramai yang mengecam. Kami daftarkan sekolah itu di atas nama Akademi Insan Prihatin (AIP) pada tahun 2015. Kami buka kepada umum untuk kali pertama dan itulah juga kali terakhirnya. Pada batch pertama, kemasukan anak orang awam di dalam sekolah yang kecil itu melebihi angka 80 orang. Namun hanya sedikit yang kekal hingga hari ini.

Mengapa?

Kerana ibu bapa yang mahukan perubahan dan kelainan dalam pendidikan yang lebih baik itu tidak sukakan pula prosesnya. Antara perkara utama dalam pembentukan sahsiah serta akhlak anak-anak yang menjadi keutamaan kami ialah pengilbatan ibu bapa secara aktif bersama jemaah murobbi dan murobbiyah.

Sebahagian ibubapa dengan angkuh mengatakan “I don’t mind paying but I don’t have time”. Inilah orang yang berusaha bermati-matian mencari wang ringgit untuk membeli segala-galanya. Seolah-olah wang itu mampu membentuk akhlak anak mereka.

Kerana itu, ia menjadi kali terakhir kami bukakan kemasukan sekolah kami (AIP) ini kepada orang awam. Pertama disebabkan kapasiti kami yang rendah dan belanja kami yang tinggi. Kedua, agak sukar untuk membentuk anak-anak, jika ibu bapanya tidak bekerjasama secara aktif.

Inilah yang kami katakan memanusiawikan pendidikan. Manusia bagaimana? Manusia yang berakhlak.

Kepada YB Dr. Maszlee, ketahuilah bahawa setiap perubahan angin dalam pelayaran kadangkala boleh menyebabkan tiang layar patah dan layar terkoyak. Itulah resmi sebuah reformasi. Hari ini YB mendapat sokongan ramai yang bosan dengan sistem pendidikan sedia ada kerana tidak pernah menjalani evolusi ke arah kebaikan hakiki. Tetapi itu sokongan sebelum masuk ke era perlaksanaan.

Lima tahun dalam 1 penggal bukanlah tempoh yang panjang untuk 1 reformasi pendidikan. Pastinya, YB akan bertemu dengan masalah paling utama dalam sistem pendidikan ini, tidak lain dan tidak bukan ialah dari ibu bapa dan jemaah pengajar itu sendiri.

KAJI SEMULA PENYATA RAZAK DAN BINA PENDIDIKAN ACUAN KITA SENDIRI

Sudah 62 tahun selepas Penyata Razak dibentangkan untuk pembentukan sistem pendidikan negara kita. Ia berdasarkan tolak ansur antara Laporan Barnes (oleh British) dan Laporan Fenn-wu oleh seorang Professor Cina yang tidak berpuas hati dengan laporan Barnes. Atas dasar toleransi, akhirnya sebuah sistem pendidikan telah terbentuk dengan pengasingan antara Sekolah Kebangsaaan dan Sekolah Jenis ‘Kebangsaan/Perkauman’.

Jelasnya, ia satu penyata yang dipegang sehingga hari ini tanpa ada reformasi yang berani. Kita turuti sahaja saranan British dan tuntutan orang Cina dalam pembentukan pendidikan hari ini. Sebenarnya apa yang relevan pada tahun 1956, belum tentu relevan pada zaman ini.

Dahulu, anak Melayu ditaja oleh British untuk belajar sehingga ke England. Kemudian mereka itu dipersiapkan untuk menjadi pekerja kerajaan. Ternyata, pendidikan yang dibuat ketika itu layaknya untuk mencipta ‘pekerja-pekerja’, bukannya melahirkan pencipta-pencipta dan pemimpin-pemimpin yang hebat dan berjiwa merdeka.

PENDIDIKAN TANPA SUKATAN, TANPA DINDING, TANPA KECICIRAN MELAHIRKAN INOVATOR DAN PEMIMPIN.

Tiada peperiksaan di Akademi Insan Prihatin (AIP). Lalu bagaimana menentukan keupayaan setiap pelajar? Mudah sahaja, kita uji ilmu itu di lapangan. Ilmu jika dihafal ia akan lupa, tetapi jika ilmu itu diamalikan, ia menjadi pengalaman yang kekal dalam ingatan selama-lamanya.

Untuk apa lagi peperiksaan jika apa yang diajar terus mampu mereka lakukan? Justeru itu, AIP lebih bersifatkan sekolah alam yang tidak berdinding dan bersukat-sukat. Tidak terhad kepada bilik darjah sahaja.

Kita perlu ingat, tidak semua manusia dilahirkan mempunyai keupayaan akal yang sama. Pengalaman kami menunjukkan ada anak-anak yang tidak cenderung dalam pelajaran akademik di dalam kelas, tetapi sangat cerdas dan inovatif dalam pendekatan realistik di lapangan. Begitu juga sebaliknya. Namun bila kedua-dua potensi ini digabung serentak, maka pasti tidak lagi ada keciciran, termasuklah anak-anak yang pernah dikategorikan sebagai OKU Lembam. Itu hanyalah penarafan yang dibuat oleh manusia, hanya kerana mereka tidak mampu untuk mengikuti sistem pendidikan arus perdana.

Walaupun kami pernah diejek oleh jiran-jiran yang mengatakan anak-anak AIP ini comot-comot kerana mereka belajar di lapangan. Bertani, kerja lanskap, bertukang, mengendali dan membaikpulih jentera, membuat pembinaan, dan banyak lagi. Orang lihat itu sebagai kerja kotor sedangkan melalui kerja yang dipantau golongan professional ini, mereka mampu untuk menginovasikan sesuatu.

Tidak kurang juga yang pernah melaporkan kepada JKM kononnya kami mengeksploitasi tenaga anak-anak dan menafikan hak mereka untuk bersekolah. Setelah penjelasan diberikan, JKM juga jelas dan faham dengan konsep pendidikan kami.

https://www.facebook.com/wargaprihatin/posts/10157359821932786

Laporan ditutup kerana mereka melihat hasil baik jauh lebih besar dari sedikit mudarat. Mudarat apa?
Kulit hitam-hitam sedikit kerana bekerja kadangkala di bawah terik matahari. Bukankah kita mahu jadikan anak-anak kita HERO. Mana ada hero yang kulitnya putih mulis, jalan kepit dan berbibir merah jambu?

Pada hujung tahun 2016, sekumpulan anak-anak didik AIP mengejutkan Malaysia kerana membina sebuah bangunan hotel butik yang kini banyak menerima anugerah-anugerah rekaan. Mengejutkan, mereka berumur antara 12-18 tahun dan inilah kerja sekolah mereka. Dalam 4 bulan, mereka lakukan dari rekaan, kerja-kerja tanah, kimpalan, pembinaan struktur, pembinaan, kejuruteraan, elektrikal, lanskap, hiasan dalaman sehingga kepada pemasangan sistem CCTV berkeselamatan tinggi.

Ya, mereka tidak pernah mengambil peperiksaan di sekolah, mereka pernah dilabel pelajar tercicir, sebahagian pernah dibuang sekolah berkali-kali namun dengan sistem di AIP, mereka mampu untuk menjadi orang yang mampu membangun.

Semasa pembinaan hampir siap, sekumpulan pelajar kejuruteraan awam dari sebuah universiti ternama negara membuat lawatan sambil belajar ke The Kabin Hotel Kuala Selangor dan melihat kepada pembinaan itu, mereka kagum. Lagi kagum apabila orang yang membawa mereka melawat kawasan dan memberi penerangan yang pelbagai ialah anak-anak berumur bawah 18 tahun sahaja semuanya.

Ironinya, pelajar di universiti dalam jurusan kejuruteraan awam masih belum mampu membina apa-apa tetapi dengan sistem pendidikan yang realistik, pendidikan mampu disampaikan dan dalam masa yang sama, pembangunan turut berjalan serentak. Tidak ada lagi projek-projek yang diada-adakan sekadar untuk pemarkahan, jika benar pembelajaran itu efektif, sewajarnya mereka mampu membangunkan sesuatu.

KESIMPULAN

Atas dasar itu semualah, kami sangat menyokong gerakan reformasi pendidikan yang kini menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan yang kini diterajui oleh YB Dr. Maszlee Malek. Jika tidak diubah hari ini, bila lagi. Kemasyhuran sebuah negara dan bangsa itu bermula dari pendidikannya. Jika kita berani mengubahnya hari ini, dalam tempoh 20-30 tahun dari sekarang pasti kita akan melihat hasilnya.

Sekolah sekecil kami di AIP ini sahaja telah melahirkan pelbagai inovasi jentera dan pembangunan. Bayangkan jika sistem ini diterima pakai di peringkat nasional. Mungkin pada tahun 2030 nanti, kita tidak perlukan China untuk membina sistem keretapi laju kita tetapi anak-anak watan kita mampu membinanya sendiri.

Mungkin sedikit pepatah baru ini boleh mengaitkan rapat dengan apa yang terjadi nanti. Biar buruk ciptaannya tetapi milik kita bukannya lawa dan cantik tetapi isteri orang. Yang buruk itu kita perbaiki dari masa ke masa, akhirnya ia cantik juga nanti. Tetapi jika orang yang punya, walaupun dapatnya telah sedia cantik, tetapi kita tak akan mampu untuk jalankannya atau membaikpulih pun sekiranya mereka tidak datang membantu kita.

Pendidikan yang baik sepatutnya memerdekakan kita dari jajahan teknologi. Biar kita jadi negara pencipta dan bukan negara pengguna. Biar kita hasilkan pemimpin yang baik bukannya sekadar mencipta pengikut pak turut.

Semoga Allah permudahkan urusan YB Menteri Pendidikan yang baharu ini, YB Dr. Maszlee Malek.

WARGA PRIHATIN 

Sumber: https://www.facebook.com/wargaprihatin/posts/10157378996132786

 

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: