News!!

Malaysia kecewa keputusan Amerika Syarikat mengenai Baitulmuqaddis

Baitulmuqaddis

Baitulmuqaddis

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Ramlan Ibrahim melahirkan kekecewaan Malaysia kepada Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat, Dean Thompson terhadap keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Ramlan bertemu Thompson di sini semalam atas permintaan Kedutaan untuk memaklumkan mengenai keputusan Presiden Donald Trump itu pada Rabu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar di sini hari ini.

Semasa pertemuan itu, Ramlan berkata, keputusan itu telah membakar sentimen umat Islam dan tidak menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan rantau itu.

Ia juga menjejaskan usaha masyarakat antarabangsa ke arah mencari penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel dan akan membangkitkan lagi naratif-naratif radikal.

Ramlan mengulangi bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua pihak dalam mencari penyelesaian yang adil lagi berkekalan terhadap konflik tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO semalam turut menegaskan, Malaysia sampai bila-bila pun akan menolak sekeras-kerasnya usaha menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Apabila kita dikejutkan dengan usaha Amerika Syarikat untuk mengiktiraf satu daripada tiga tanah suci umat Islam sebagai ibu negara Israel, saya yakin dan percaya, mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila,” katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – Bernama

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: