News!!

Maklumat Penting Untuk Pengendali Dron Malaysia

PUTRAJAYA: 24 November 2017 Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memperjelaskan bukan semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) perlu mendapatkan kelulusan jabatan itu sebelum ia diterbangkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata orang awam yang mengendalikan dron tidak melebihi berat 20kg boleh menerbangkan UAV itu tanpa kelulusan DCA selagi “pengendali berpuas hati dron dapat diterbangkan dengan selamat.”

“Walau bagaimanapun, semua jenis dron tidak dibenarkan terbang di ruang udara Kelas A, B, C atau G dan di sekitar lapangan terbang melainkan dibenarkan DCA,” katanya dalam kenyataan hari ini ketika mengulas sebuah laporan akhbar bahasa Inggeris bertajuk “Drone Wings To Be Clipped”, semalam.

Menurut artikel itu, DCA sedang menubuhkan sebuah unit penguatkuasaan untuk mengambil tindakan terhadap pemilik dron tidak berdaftar. Unit berkenaan yang akan ditempatkan di kesemua 21 lapangan terbang di negara ini, dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

Artikel itu menyebut unit penguatkuasaan itu diperkenalkan kerana ramai pemilik dron tidak sedar aktiviti menerbangkan dron di luar rumah mereka adalah haram.

“Tidak ada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan DCA akan memberikan maklumat terkini dan pengumuman akan dibuat setelah keputusan telah dicapai,” katanya.

Menurut artikel itu, DCA merancang mengetatkan kawalan terhadap aktiviti dron dengan menjadikannya wajib bagi pemilik mendaftarkan peranti tersebut.

Laporan itu juga menyebut DCA mencadangkan yuran pendaftar sekali sebanyak RM800 dan yuran pembaharuan sebanyak RM500 untuk tahun berikutnya untuk pemilik dron.

Azharuddin berkata tiada caj dikenakan terhadap semua jenis dron.

“Bagaimanapun, caj mungkin dikenakan pada jenis-jenis dron tertentu atau digunakan untuk tujuan kerja tinjauan udara bagi menyediakan perkhidmatan khusus,” katanya.

Sumber: FMT

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: