News!!

Keruntuhan Empayar Turki Uthmaniyah, Siapakah Dajalnya?

Kerajaan Turki Uthmaniyah merupakan sistem kekhalifahan Islam yang terakhir yang gah sebelum tersungkur di ratah musuh barat. Ikuti perkongsian terbaru dari pengkaji Jabatan Siyasah Sejarah AKADEMI INSAN PRIHATIN yang bakal membongkar sejarah Empayar Islam ini melalui beberapa siri. Semoga kita semua mendapat manfaat.

SIRI 1: KERUNTUHAN EMPAYAR TURKI UTHMANIYAH – SIAPA DAJJAL DI SEBALIK KEJATUHAN ISLAM?

Image may contain: 1 person, text

Sultan Abdul Hamid II, yang merupakan benteng terakhir kekhalifahan Uthmaniyyah, memerintah secara sendirian di tengah situasi negara yang sangat genting dan kritikal. Kondisi dalam negeri sangat berkecamuk, gerakan-gerakan sesat yang didukung negara-negara barat muncul ibarat cendawan di setiap pelusuk jajahan Khilafah Uthmaniyah. Keutuhan Daulah Islam diancam dari segala bentuk konspirasi, fitnah dan dugaan.

FITNAH besar-besaran dibuat ke atas Sultan Abdul Hamid II, digelar sebagai Sultan Merah, Pemerintah Kuku Besi dan pembazir wang negara untuk kelas piano anaknya, dan 1001 lagi tohmahan dunia kepadanya. Hal ini diburukkan lagi dengan wujudnya pengkhianat yang menikam kaum Muslimin dari belakang dan meruntuhkan kekuasaan Islam. Siapakah para pengkhianat sebenar kerajaan Uthmaniyyah pada waktu itu? Adakah mereka turut menggelarkan diri sebagai Uthmaniyyah?

Terdapat beberapa elemen penting PUNCA UTAMA DI SEBALIK KERUNTUHAN EMPAYAR UTHMANIYYAH ini. Kali ini kita akan kupas salah satu daripadanya iaitu:
.

KELEMAHAN KEPIMPINAN DAN POLITIK

Faktor kepimpinan merupakan perkara pokok yang menyebabkan empayar Turki Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Faktor politik ini termasuk kelemahan kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan yang lemah. Ia merupakan pendorong UTAMA ke arah kehancuran empayar Turki Uthmaniyah.

Kelemahan ini dapat dibuktikan dengan sikap sultan itu sendiri yang mementingkan hiburan yang melampau sehingga menyebabkan keruntuhan moral dan nilai murni Islam. Tidak boleh dibayangkan, Sultan Murad III (1574-1594) sendiri telah dikuasai oleh nafsu sepanjang pemerintahan sehingga mempunyai 118 orang anak. Di samping itu, Sultan Ibrahim I (1640-1648) juga turut membunuh 100 000 orang dan menyaksikan sendiri pembunuhan 25 000 orang daripadanya. Kehidupan mewah sultan juga mendorong perlakuan tidak bermoral yang telah membawa kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

Kewujudan HAREM yang menempatkan gadis-gadis simpanan sultan menjadi bukti penting akan kebejatan yang berlaku dalam gaya hidup SULTAN yang sudah jauh dari landasan ISLAM yang sebenar. Ibunya Sultan Ibrahim I, iaitu Kösem Sultan mengalihkan perhatian Sultan Ibrahim dari memberi tumpuan dalam pemerkasaan pemerintahan Islam kepada gadis-gadis harem dan hasil perhubungan itu melahirkan 3 pewaris sultan seterusnya iaitu Sultan Mehmed IV, Suleyman II dan Ahmed II.

Dan ironinya, inilah pewaris yang memimpin dunia Islam. Dalam aspek Pertahanan Politik masalah timbul dalam disiplin ketenteraan di kalangan pegawai atasan. Putera-putera raja yang berpontensi telah disisihkan dan memilih putera sulung. Perlantikan Bayezid 1 dan Salim II dipilih bukan berdasarkan kemampuan yang unggul.

Kelemahan yang jelas juga boleh dilihat apabila individu yang bukan Islam dan bukan dari kalangan orang-orang Turki telah diberi peluang untuk menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan Uthmaniyyah atas alasan kerana mereka telah berkhidmat pada Khalifah seperti bangsa Armenia dan Yahudi serta orang Kristian. Sedangkan di dalam al-Quran, Allah telah berfirman yang maksudnya:

“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi WALI (PEMIMPIN / PELINDUNG) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali karena memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-Nya. Dan hanya kepada Allah tempat kamu kembali.”
– Surah Ali ‘Imran, ayat 28 (3:28)

Hakikatnya, apabila fitnah mula menyelubungi kerajaan Uthmaniyyah, tentera yang terdiri dari kalangan bukan Islam inilah orang yang pertama menarik diri dan mengkhianati Khalifah. Mereka mula mengalihkan pandangan ke arah kuasa Barat. Dan pada saat racun fitnah sudah mula menular, tanpa mengendahkan persetujuan dan syarat-syarat kontrak yang telah ditetapkan oleh kerajaan Uthmaniyyah, satu persatu daripada mereka mula menarik diri dan segera berpihak pada Perancis, Russia, Britain dan Germany.

Lebih buruk lagi apabila golongan intelek atau golongan elit yang beralih ke barat untuk mendapatkan pendidikan. Dan akibat daripada itu, mereka telah dipengaruhi oleh kesan tamadun Barat yang kononnya lebih moden dan dinamik. Akhirnya, mereka lebih cenderung mengamalkan gaya hidup sekular yang tidak berlandaskan agama Islam. Mereka lebih gemar menyingkirkan agama Islam daripada mempraktikkannya dalam kehidupan seharian yang dipengaruhi hawa nafsu jahat.

Terdapat juga di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai Ulamak tetapi dalam masa yang sama mereka juga antara dalang dan pengkhianat dalam perancangan menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah sehingga pembubaran Khilafah Islamiyyah. Ini semua lantaran kerakusan pada kuasa, takhta dan wanita yang telah dibeli oleh nafsu.
.

KESIMPULAN

Kejatuhan khalifah Uthmaniyyah bermula apabila pelanggaran demi pelanggaran perintah Allah di dalam Al-Quran berlaku di kalangan rakyat sehingga ke pemimpin Islam. Dajjal itu bukan lagi sosok tubuh yang akan keluar dari Lautan Pasifik, ia sebenarnya telah lama wujud di kalangan umat Islam yang memandang perintah dan larangan Allah dengan sebelah mata.

Lihatlah keadaan di Timur Tengah kini.
Lihatlah keadaan di Eropah timur.
Lihatlah keadaan di Afrika Utara.
Lihatlah keadaan di Mediterranean dan seluruh negara-negara yang suatu ketika dahulu amat memegang teguh pada kerajaan Uthmaniyyah.

Pada waktu itu di bawah pemerintahan Uthmaniyyah, mereka menikmati keunggulan Tamadun lslam yang dibina atas dasar akidah dan lunas-lunas hukum lslam. Tapi apa yang tinggal pada hari ini?

Apabila mereka mulai mengkhianati Khalifah sehingga kini, apa yang telah dicapai oleh negara-negara Islam di bawah kekuasaan Turki dulu ?

Kesan daripada kejatuhan Turki Uthmaniyyah memperlihatkan hilangnya identiti umat Islam yang mana tiada lagi sistem pemerintahan khilafah. Umat Islam menjadi lemah sehingga mudah diratah satu persatu, diperkotak-katikkan dan ditindas kerana tiadanya seorang pemerintah yang adil lagi saksama yang mampu membela nasib mereka. Inilah hasil yang kita perlu tanggung sehingga hari ini.

Bila kejatuhan sudah ditahap maksima, marilah sama-sama kita IQRA’ semula wahyu pertama yang menyeru kita untuk mengkaji. Pernahkah kita terfikir, kata-kata dan penulisan siapa yang telah kita baca selama ini? Jika semua kisah-kisah sejarah Islam kita ini dicetak dan diterjemahkan dalam buku berbahasa Inggeris, dan didukung oleh sarjana-sarjana Barat, adakah kita akan mempercayainya dengan begitu sahaja?

Apabila kisah sejarah kita dituturkan oleh seorang Muslim, dan segala fakta-fakta sejarah yang diluahkan itu tidak tertera atau tertulis dalam bahan pustaka barat, maka orang akan berkata “Kamu tidak mempunyai bukti. Tunjukkan kami bukti –buktinya terlebih dahulu.”

Nantikan kupasan khusus siri kajian keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah dalam artikel akan datang. Bagi anda yang baru bersama siri penggalian sejarah ini, WAJIB BACA hasil penggalian kami sebelum ini yang akan menjelaskan misi mengapa perkongsian sejarah ini ditulis melalui link berikut;

KENAPA HASIL KAJIAN SEJARAH INI PERLU DITULIS SEMULA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1558905024203970

Semoga bermanfaat,

Sumber:

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: