News!!

Kerana Bertelagah Sesama Sendiri, Kerajaan Islam Andalusia Tersungkur

Benarlah pepatah Melayu ada berkata ” Bersatu teguh, bercerai roboh”. Namun apabila ianya tidak dipraktikkan oleh umat Islam sendiri, kedaulatan negara begitu mudah dirampas oleh tentera Kristian. Disamping ketamakkan kuasa serta permusuhan dikalangan sendiri telah menjadi antara faktor penyumbang kepada keruntuhan kerajaan Islam Andalusia. Bacalah perkongsian ini untuk kita sama-sama ambil pelajaran.

RECONQUISTA – SIRI 7: KEMEROSOTAN KERAJAAN ISLAM ANDALUSIA 

Selepas Perang Las Navas De Tolosa pada Tahun 1212, kebanyakan wilayah Islam telah jatuh ke tangan Raja-Raja Kristian. Kerajaan Islam Al-Muwahidun dari Maghribi telah dikalahkan dengan teruk sekali sehingga ramai tentera dan penduduk Islam melarikan diri ke Afrika Utara.

Kemasukan tentera Kristian ke wilayah-wilayah Islam bukan sahaja telah menawan kota-kota penduduk Islam malah membunuh dan menghalau mereka atau dipaksa memeluk Kristian.

Penduduk-penduduk Kristian semakin ramai memenuhi semula kota-kota yang ditawan dan kekayaan umat Islam sama ada harta, pertanian, istana, kubu pertahanan, teknologi dan koleksi-koleksi ilmu semuanya menjadi milik orang Kristian.

PERANG KEKUASAAN TIGA PENJURU – IBNU HUD, IBNU NASIR DAN RAJA FERDINAND III

Selepas kekalahan Tentera Al-Muwahidun, Taifah Andalusia terpaksa berdiri sendiri untuk menghadapi tentera-tentera Kristian. Abu Abdullah Muhammad Ibnu Yusuf Ibnu Hud Al-Judhami atau dikenali sebagai ‘Ibnu Hud’ telah menjadi Amir Andalusia menggantikan pemerintah dari Al-Muwahidun.

Ibnu Hud telah menaiki takhta di Andalusia pada 1228. Dia terpaksa menghadapi tentangan hebat dari kerajaan Kristian terutamanya Raja Ferdinand III dari Kerajaan Castillia.

Image may contain: one or more people and text

Setelah mengalami beberapa kekalahan kepada Kerajaan Castillia, Ibnu Hud terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan Raja Ferdinand III dan Taifah Andalusia perlu membayar ufti kepada Kerajaan Castillia.

Walaupun Ibnu Hud berjaya membawa keamanan sementara kepada penduduk Islam Andalusia, muncul pula penentang dari kalangan orang Islam sendiri. Di sebuah wilayah bernama Jaen, Muhammad Ibnu Nasir telah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan di Jaen dan Kota Arjona pada tahun 1232.

Ibnu Hud terpaksa bertindak merampas kembali wilayah Jaen dan Kota Arjona dan memaksa Ibnu Nasir mengakui kesultanannya. Untuk beberapa tahun, Ibnu Nasir tunduk kepada Ibnu Hud. Sehinggalah pada Tahun 1236, Ibnu Nasir telah berpakat dengan Raja Ferdinand III untuk menjatuhkan Ibnu Hud.

Tentera Raja Ferdinand III dan Ibnu Nasir akhirnya menyerang Cordoba pada tahun itu, dan mengalahkan tentera Ibnu Hud. Melalui kekalahan itu, Ibnu Nasir dilantik menjadi Amir di Granada dengan gelaran Amir Muhammad I sementara wilayah Cordoba diambil oleh Raja Ferdinand III.

Emiriah Granada pun dibentuk menggantikan Taifah Andalusia dan menguasai hanya empat wilayah iaitu Almera, Granada, Malaga dan Jaen. Ibnu Hud dibunuh oleh pengikut Ibnu Nasir sendiri di Almera pada 1238. Selain Granada, Wilayah Sevilla masih lagi dikuasai oleh orang Islam dan memerintah secara berasingan.

EMIRIAH GRANADA – KERAJAAN ISLAM TERAKHIR DI ANDALUSIA

Walaupun Raja Ferdinand III telah meluaskan kekuasaannya di Cordoba, Raja Ferdinand III masih meneruskan perluasan kuasanya dengan menawan Kota Arjona di wilayah Jaen dari Amir Muhammad I (Ibnu Nasir). Amir Muhammad I terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan Raja Ferdinand III untuk keamanan selama 20 tahun dengan wilayah Jaen diserahkan kepada raja Kristian itu.

No automatic alt text available.

Amir Muhammad I juga terpaksa mengakui Emiriah Granada sebagai kerajaan naungan Raja Ferdinand III dan menghantar ufti tahunan. Selama 18 tahun seterusnya, Amir Muhammad I telah mengadakan hubungan yang aman dengan Raja Ferdinand III.

Dia juga turut membantu Raja Ferdinand III untuk mengalahkan wilayah Sevilla pada Tahun 1248 yang masih dikuasai oleh orang Islam. Setelah menguasai wilayah Cordoba, Raja Fedinand III terus rakus menyerang wilayah Islam yang tinggal.

Raja Ferdinand III memulakan serangan terhadap Sevilla bemula pada Julai 1247. Amir Muhammad I terpaksa mematuhi perjanjian damainya dengan Raja Ferdinand III malah turut membantu memerangi wilayah Sevilla.

Image may contain: 1 person, text

Akhirnya wilayah Islam Sevilla jatuh ke tangan Raja Ferdinand III setelah serangan selama 16 bulan dan berakhir pada November 1248. Puluhan ribu penduduk Islam terpaksa meninggalkan kota Sevilla. Istana Al-Cazar di Sevilla dirampas oleh Raja Ferdinad III sebulan kemudian dan menjadi milik Kristian sehingga hari ini.

PERKEMBANGAN DAN KEMAJUAN EMIRIAH GRANADA

Emiriah Granada bertahan selama beberapa ratus tahun di bawah pemerintahan Amir Muhammad I dan keturunannya. Emiriah Granada berkembang menjadi pusat perdagangan yang pesat dan kaya kerana menguasai pelabuhan utama di Selat Gibraltar. Istana Al-Hambra telah dibangunkan oleh Amir Muhammad I dan binaannya kekal sehingga hari ini.

Walaupun berlaku beberapa siri peperangan di antara Emiriah Granada dan Kerajaan Kristian lainnya seperti Castillia, Leon dan Aragon, Amir Muhammad I berjaya membawa kestabilan dalam kerajaannya.

Beliau juga telah berjaya menghalang pemberontakan dalaman dari Bani Ashqilula, golongan pemerintah di Malaga. Amir Muhammad I dikatakan mati dalam satu kemalangan pada 1273 dan digantikan oleh anaknya, Muhammad II.

Amir Muhammad II telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Islam Al-Mariniyyun di Afrika Utara. Kerajaan ini telah menggantikan Kerajaan Islam Al-Muwahidun yang telah jatuh sebelumnya. Melalui hubungan ini, Emiriah Granada mempunyai sokongan ketenteraan dan perlindungan untuk menghadapi Kerajaan Kristian di Andalusia.

Image may contain: 3 people

Emiriah Granada menjadi tumpuan kepada pedagang-pedagang dari dunia Islam teutamanya di Eropah dan Afrika Utara. Selepas kejatuhan wilayah-wilayah Islam yang lain, ramai penduduk Islam berhijrah ke Granada menjadikannya sebuah wilayah yang sangat padat.

Emiriah Granada turut menjadi pusat pendidikan dan intelektual Islam. Hubungannya dengan Wilayah Fez, Maghribi membuka laluan perkembangan ilmu di antara dua kerajaan.

Wilayah Fez terkenal sebagai pusat ilmu yang dibangunkan oleh kerajaan Islam di Maghribi. Amir Muhammad I juga telah menjadikan Emiriah Granada sebuah kerajaan Sunni bermazhab Maliki.

KESIMPULAN SIRI 7:

– Kerajaan Islam terus ditekan oleh kerajaan Kristian yang telah mempunyai kekuatan ketenteraan, teknologi dan kekayaan.

– Kerana kuasa, orang Islam sanggup untuk bekerjasama dengan kerajaan Kristian untuk menjatuhkan kumpulan Islam yang lain.

– Orang Islam sendiri masih bertelagah sesama sendiri untuk berebut harta, kedudukan dan kekuasaan.

– Kerajaan Islam tersepit dengan perjanjian yang telah dibuat dengan kerajaan Kristian. Mereka sentiasa mencari peluang menjatuhkan Islam dan mempunyai agenda tersendiri.
.

Semoga Bermanfaat,

Jabatan Siyasah Sejarah, 
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1671916736236131

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: