News!!

Kejayaan Besar Snouck Hurgeronje Bila Berjaya Menyusup Masuk ke dalam Mekah

Dari artikel pertama berkisar mengenai Snouck Hurgeronje Orientalis Belanda, Admin kongsikan SIRI 2 yang berkisar mengenai kelicikan Orientalis ini memasuki kota suci Mekah dengan strateginya yang tersendiri. Sama-sama kita mengambil manfaat dari perkongsian ini.

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 2: STRATEGI SNOUCK HURGERONJE MEMASUKI MEKKAH.

Bagi yang baru mengikuti siri penggalian sejarah ini, boleh merujuk artikel pengenalan yang menjelaskan misi mengapa perkongsian sejarah ini ditulis melalui link berikut;

KENAPA HASIL KAJIAN SEJARAH INI PERLU DITULIS SEMULA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1558905024203970

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 1: SIAPAKAH DALANGNYA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1559867924107680

************** SIRI 2 ************
.
PELUANG SNOUCK HURGRONJE KE JEDDAH DAN MEKAH.
.

Image may contain: 9 people, text and indoor

SNOUCK HURGRONJE merupakan seorang pelajar cemerlang di Universiti Leiden. Beliau memperoleh PhD ketika berumur 23 tahun melalui tesisnya berkenaan sejarah ibadah Haji di Mekah.

Snouk mengambil bidang teologi dan kemanusiaan selain menguasai bidang Bahasa Semitik seperti Ibrani dan Arab melalui gurunya Michael Jan de Goeje yang dikatakan telah menggalakkan penulisan dan pengkajian Snouck tentang Mekah, Muhammad dan agama Islam.

Snouck sempat belajar dengan Theodore Noldeke, seorang Orientalis Islam terkenal sekitar tahun 1881, sebelum dia dilantik menjadi pengajar di sebuah institut (Municipal Institute) yang menempatkan petugas awam dan tentera kolonial belanda pada 1 Oktober tahun yang sama. Dia turut mengajar di Sekolah Tinggi Peperangan (Higher War School) di The Hague.

Pada tahun 1872, Belanda telah membuka kedutaan di Jeddah secara rasminya untuk membantu urusan Jemaah haji. Padahal agenda yang lebih utama pejabat tersebut ialah untuk turut mengawasi pergerakan yang dipanggil ‘Muslim fanatik’.

Sebenarnya Belanda sangat takut dengan propaganda ‘Pan-Islam’ oleh Kerajaan Turki Uthmaniyyah dalam misi melindungi kepentingan politik dan agama seluruh dunia Muslim.

Mekah dilihat sebagai satu tempat yang boleh menyebarkan pemikiran dan pengembangan dakwah di kalangan masyarakat Islam. Ibadah Haji pula menjadi satu laluan dakwah Islam yang dilihat seperti satu PERSIDANGAN AGUNG UMAT ISLAM SEDUNIA.

Fenomena ini dibaca sebagai MENGANCAM propaganda sekutu musuh Islam. Oleh itu penyatuan umat Islam ini perlu dipecah-belahkan. Malangnya pengawasan ini menjadi terhad kerana petugas Belanda tidak boleh mengikuti gerakan orang-orang Muslim ini ke tanah suci Mekah dan Madinah.

Pada Musim Bunga Tahun 1884, Gabenor Kedutaan Belanda dari Jeddah, J.A. Krujt pergi menemui Snouck di Belanda. Snouck Hurgronje sendiri telah menawarkan diri untuk menjadi perisik Belanda di Mekah. Dengan ajuan dari Krujt, Snouck telah di berikan satu geran bernilai 1,500 guilders (sekitar £130) daripada kerajaan Belanda untuk misi kajian di Semenanjung Arab.

Krujt dan Snouck berangkat ke Jeddah pada 2 Ogos dan tiba pada 28 Ogos 1884. Dia tinggal di Kedutaan Belanda di sepanjang tahun itu. Dia juga membawa kamera ke Jeddah, khusus untuk merakam gambar Jemaah Haji dan orang tempatan di sekitar kedutaan itu. (ikuti penjelasannya di Siri 3).
.

STRATEGI MEMASUKI TANAH SUCI
.

Image may contain: 1 person, text

Memandangkan tiada cara lain untuk memasuki Mekah melainkan dengan memeluk Islam, maka Snouck mula mengatur perancangan untuk bersyahadah. Pada 1 Oktober 1884, dia telah menemui dan bertanya kepada ramai Jemaah Haji yang balik dari Mekah dalam satu jamuan di Jeddah. Dia turut berjaya mengenali ramai orang yang terlibat dalam pengurusan Haji serta mereka yang menetap di Mekah dan Jeddah.

Image may contain: 1 person, text

Seterusnya Snouck membina kenalan dengan orang-orang Nusantara seperti Haji Hassan Mustapha dari Garut dan Raden Abu Bakar Djajadiningrat dari Pandeglang (yang membantu Snouck Hurgronje untuk memeluk Islam). Snouck mula tinggal di rumah Raden Abu Bakar pada 1 January 1885. Sebelum itu, Raden Abu Bakar telah menjadi penyampai maklumat kepada Duta Belanda tentang aktiviti Umat Islam di Mekah.

Akhirnya Snouck telah dibawa berjumpa dengan Qadi Jeddah, Ismail Effendi untuk menyatakan hasratnya memeluk Islam pada 16 January Tahun itu. Beliau telah disahkan ‘memeluk’ Islam dengan menggunakan nama ‘ABDUL GHAFFAR’ di hadapan Gabenor Mekah, Uthman Nuri Pasha, seorang wakil kerajaan Uthmaniyyah di Mekah. Nuri Pasha juga telah menugaskan dua orang askar untuk mengiringi Snouck ke Mekah apabila dia menyampaikan hasrat untuk melakukan haji.
.
SNOUCK BERJAYA MEMASUKI KOTA MEKAH
.

22 Februari 1885 merupakan tarikh keramat bagi Snouck apabila dia tiba di Mekah dan berjaya memasuki Kaabah buat pertama kalinya. Sebagaimana orang Islam lainnya, dia melakukan Tawaf Qudum, mencium Hajar Aswad dan meminum Air zam-zam setibanya di Mekah. Dia disambut oleh seorang tokoh ulama bermazhab Syafie di Mekah bernama Sayyid Ahmad Zayni Dahlan.
.
Tujuan Snouck memasuki Mekah adalah untuk mengkaji:

– Pola pemikiran dan aktiviti umat islam
– Bagaimana agama Islam mencorakkan kehidupan Umatnya
– Peranan Mekah sebagai tempat perkumpulan terbesar umat Islam
– Senario Politik dan Sosial masyarakat Mekah dan hubungannya dengan Khalifah Uthmaniyyah.
– Mencari maklumat berkenaan orang Melayu Acheh dan Indonesia yang sedang berperang dengan Belanda ketika itu.

Sementara itu, Snouck terus melibatkan diri dalam setiap aktiviti, perayaan dan sambutan termasuk majlis perkahwinan yang berlangsung di Mekah. Dia bergaul dengan ramai orang terutamanya orang-orang dari Indonesia dan Jawa.

Image may contain: 1 person, text

Snouck mendapatkan sebuah rumah dan membeli seorang hamba wanita berkulit hitam yang didakwa sebagai isterinya. Dia turut berkenalan dengan seorang Doktor yang bernama Abdul Ghaffar bin Abdul Rahman Al-Baghdadi. Doktor ini telah membantu Snouck untuk mendirikan sebuah studio fotografi.

.
DIUSIR KELUAR DARI MEKAH DAN PULANG KE BELANDA
.
Snouck Hurgronje hanya tinggal di Mekah sehingga bulan Ogos 1885. Beliau tidak sempat melakukan ibadah Haji untuk menyaksikan sendiri ibadah itu kerana sebelum bemulanya Musim Haji tahun itu, dia dilibatkan dalam kes kecurian barangan antik. Fitnah itu dikatakan dimulakan oleh De Lostalot dari Kedutaan Perancis di Jeddah. Kerajaan Uthmaniyyah lalu menghalaunya keluar dari Mekah.

Kerana terpaksa meninggalkan Mekah dengan tergesa-gesa, dia telah meminta bantuan Pieter Nicolaas van der Chijs, seorang naib kedutaan Belanda dan ajen perkapalan di Jeddah untuk mengambil barang-barang hasil kajiannya seperti penulisan, gambar-gambar dan alatan kamera yang ditinggalkan. Van der Chijs melakukannya dengan berhati-hati dan semua maklumat kajian telah dihantar ke Leiden, Belanda.

Snouck pulang semula ke Belanda dan mula menulis tentang pengalamannya di Mekah. Dia dilantik menjadi Pensyarah di institut pengajian Islam di Leiden University pada Tahun 1887.

Snouck berjaya menghasilkan sebuah buku berkenaan pengalamannya di Mekah pada tahun 1888 dan 1889 dalam dua kumpulan penulisan bertajuk “Mekka”.

Penulisannya mengejutkan ramai orang kerana dalam tempoh yang sangat singkat, Snouck Hurgronje berjaya memasuki Mekah, tinggal di kalangan masyarakat Islam sehingga mampu menuliskan penerangan yang sangat terperinci tentang dunia Islam dan Mekah yang disertakan dengan gambar-gambar foto yang sangat membantu dalam menceritakan kondisi di Mekah.

.
KESIMPULAN
.
SNOUCK HURGRONJE adalah seorang ahli akademik dan teologi yang sangat bermotivasi tinggi yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamatnya.

Penulisan tesisnya yang bertajuk “Het Mekkaansche Feest” pada tahun 1880 hanyalah penulisan berdasarkan pembacaannya melalui pelbagai penulisan tentang ibadah Haji dan sejarahnya dari Arab. Kerana itu dia ingin sekali hadir sendiri ke Mekah dan menggauli masyarakat Islam di sana untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat.

Dia sendiri telah menawarkan dirinya untuk menjadi perisik Belanda di Jeddah dan Mekah. Itu memperlihatkan kesungguhan dan keberaniannya melakukan tugas yang berbahaya itu. Malah, dia turut menawarkan diri untuk menjadi perisik di Indonesia pula selepas penulisannya mengenai Mekah selesai.

Walaupun dia tidak sempat menunaikan haji, namun matlamatnya di Jeddah dan Mekah dapat juga diselesaikan. Dia telah memperlihatkan budaya dan suasana masyarakat Islam di Mekah yang banyak membantu dalam perencanaan mengalahkan Umat Islam di Indonesia yang sedang berperang dengan Belanda ketika itu. Segala kelemahan Umat Islam yang telah dinampakkan bukan sahaja membantu Belanda, malah banyak lagi negara-negara musuh Islam yang lainnya.

Kejayaan Snouck memeluk Islam dengan mudah telah diterangkan oleh Snouck sendiri di dalam bukunya seperti berikut:

“Tiada agama yang lebih memudahkan untuk menganutnya kepada sesuatu masyarakat dan individu melainkan Islam. Seseorang boleh menjadi (Islam) dan tinggal sebagai ahli masyarakat (Islam) tanpa sebarang bukti ketulenan kepercayaannya, pengetahuannya tentang hukum dan ketekunannya dalam amalan.

Perlafazan dua kalimah untuk mengakui keimanan “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah” sudah cukup untuk seseorang menjadi ahli dalam komuniti Muhammad (Islam); dan tiada seorang pon dari kalangan rakan barunya mempunyai hak untuk mempersoalkan tentang kebenaran pengakuannya itu.”

– Teks asal berbahasa Inggeris dalam “The Achehnese” – Edisi Inggeris (1906), terjemahan O.W. Sullivan , m/s 277 -278.

Dengan mudahnya Snouck Hurgronje berjaya menipu umat Islam sehingga mampu menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam, hidup dalam masyarakat Islam, bersahabat dan berkawan sehingga dipercayai serta dilindungi oleh orang Islam sendiri.

Di Indonesia pula, beliau diangkat menjadi Imam dan Mufti, malah berjaya membina keluarga dengan orang Islam Acheh sehingga mempunyai dua orang Isteri dan 5 orang anak. ‘Jodoh sementara’nya itu juga dari kalangan anak ulamak dan pembesar negeri.

Jabatan Siyasah Sejarah akan membincangkan lagi tentang pendapat-pendapatnya mengenai Mekah dan Umat Islam di zaman itu. Juga bagaimana terbinanya satu sistem yang terancang untuk membantutkan perkembangan Islam di seluruh dunia, bagaimana pola pemikiran Snouck ini mampu mempengaruhi senario politik dan agama umat Islam sendiri.

SIRI 3: C. Snouck Hurgronje sebagai Pengkaji Moden yang Memanfaatkan Fotografi

Semuga bermanfaat,

Sumber:

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: