News!!

Kehebatan Emosi Positif Mampu Hasilkan “Hormon Cinta”

Melalui tips kehamilan kali ini, kami kongsikan bagaimana emosi positif ibu boleh membantu pembesaran bayi di dalam kandungan. Baca dan kongsikan kepada suami serta keluarga anda agar mereka turut sama mengambil inisiatif untuk menerbitkan “hormon cinta”.

TIPS KEHAMILAN: KESAN BAIK EMOSI YANG TENANG – PART 4

Dalam siri 1-3 telah dijelaskan apa kaitan ‘PEMIKIRAN’ dengan EMOSI, dan apa kesan buruk dari tekanan emosi terhadap pertumbuhan bayi. Maknanya emosi boleh direka dan dididik melalui ‘pemikiran kita’.

Kali ini ingin saya kongsikan sedikit fakta saintifik, bagaimana kesan positif pula boleh terhasil dari emosi yang tenang.

Tidak perlulah memaksa diri untuk hafal dan memahami secara mendalam semua istilah saintifik yang dinyatakan dalam artikel ini. Cukuplah sekadar ibu-ibu tahu dan yakin peri pentingnya mengawal emosi semasa hamil.

Semoga dengan pengetahuan yang menyakinkan, ibu-ibu akan lebih berusaha untuk mengawal emosi dan mengurangkan stress demi kesejahteraan ibu dan bayi.

KESAN EMOSI POSITIF PADA KESEJAHTERAAN IBU 

Kajian menunjukkan bahawa emosi ibu yang positif amat penting untuk kesihatan bayi yang dikandung. Ia membolehkan bayi yang dikandung berkembang dengan rasa bahagia atau tenang untuk keseimbangan, kebahagiaan, dan ketenangan sepanjang hidup.

Apabila ibu merasa gembira, badan akan menghasilkan bahan kimia semulajadi yang dinamakan endorfin dan encephalins.

Untuk ibu hamil, dopamin, serotonin, oxytocin, endorfin dan encephalins sering digelar sebagai ‘hormon penenang’ atau ‘hormon kasih sayang’ kerana kesannya terhadap peningkatan kegembiraan, kebahagiaan dan daya tahan tubuh kita.

Banyak perkara yang boleh meransang pengeluaran ‘neurotransmitter’ ini secara semula jadi. Namun begitu, ia juga boleh dicetuskan dengan sengaja secara dalaman melalui ‘kawalan fikiran’ dan emosi kita.

* * * * * * * * * * * * * * * * * *
ENDORFIN adalah zat kimia yang terdiri dari neuropeptida opioid endogen. Ia dikeluarkan secara semulajadi oleh sistem saraf pusat dan kelenjar pituitari pada saat kita merasa bahagia dan mendapat istirehat yang cukup..

Ia berkesan memberikan rasa kebal, mengurangi rasa sakit, dan memicu perasaan senang, tenang atau bahagia, sama seperti morfin, bahkan dikatakan 200 kali lebih kuat lagi.

* * * * * * * * * * * * * * * * * *
ENCEPHALIN adalah salah satu dari dua sebatian peptida yang terhasil secara semula jadi di dalam otak. Ia ada kaitan dengan endorfin dan mempunyai kesan fisiologi yang serupa.

Encephalin adalah pentapeptida yang terlibat dalam menyelia ‘nociception’, iaitu tindak balas sistem saraf deria terhadap rangsangan yang menyakitkan, berbahaya atau berpotensi berbahaya di tubuh kita.

Peptida semula jadi ini dikeluarkan oleh neuron dalam sistem saraf pusat dan oleh sel-sel di medulla adrenal. Ia mengikat dengan permukaan reseptor opioid tubuh, iaitu reseptor yang secara semulajadi bertindakbalas dengan dadah opioid (pelali). Oleh itu ia mempunyai kesan pelali dan penghilang rasa sakit terhadap kecederaan dan trauma.

* * * * * * * * * * * * * * * * * *
DOPAMIN adalah neurotransmiter ‘catecholamine’ dalam sistem saraf pusat, retina, dan ganglia simpatetik (sympathetic ganglia) di dalam otak yang bertindak untuk membantu mengawal pergerakan, emosi dan tingkah laku yang berasaskan kepada tingkahlaku yang bermotivasikan ganjaran (reward-motivated behavior).

Kerana itu ia banyak dikaitkan dengan hormon keinginan, selera makan, cinta, ghairah seksual, ketagihan dan sebagainya.

Dopamin bertanggungjawab menghantar isyarat di antara sel saraf (neuron) otak dan adalah prekursor (pelopor) adrenalin serta molekul yang berkait rapat dengannya, iaitu noradrenalin.

Dalam otak, ia juga dikeluarkan oleh bahagian yang dipanggil ‘substantia nigra’, iaitu sel otak yang mati semasa seseorang mendapat penyakit Parkinsons. (yang disebabkan pemberhentian keluaran dopamin di sebabkan kematian sel-sel pengeluar itu).

* * * * * * * * * * * * * * * * * *
SEROTONIN adalah neurotransmitter yang berperanan hampir sama dan selari dengan dopamin, iaitu menyelia keseimbangan perasaan (mood), tidur, sakit, selera makan, dan tingkah laku. Oleh itu, kekurangannya boleh menyebabkan kemurungan.

Ia membawa isyarat di sepanjang dan di antara-saraf. Ia terdapat terutamanya di otak, usus dan platelet darah.

Serotonin sangat aktif dalam fungsi pengecutan otot halus (smooth muscles), mengawal pelbagai proses kitaran dalam sistem badan dan menyumbang kepada rasa sejahtera, gembira dan bahagia.

* * * * * * * * * * * * * * * * * *
OXYTOCIN, yang juga digelar sebagai ‘hormon cinta’, dihasilkan secara semulajadi dalam hipotalamus dan disimpan serta dikeluarkan oleh kelenjar pituitari di otak. Ia bertanggungjawab terhadap kelakuan manusia yang berkaitan dengan perhubungan dan ikatan kasih sayang.

Apabila dilepaskan ia menghasilkan perasaan cinta dan kepuasan, termasuk semasa orgasm. Ia juga menyebabkan ibu-ibu membentuk ikatan kasih dengan bayi mereka selepas lahir.

Oxytocin mempunyai kesan terhadap organ-organ tubuh seperti kemaluan, rahim, dan payudara. Ia berkomunikasi dengan sistem reproduksi termasuk ketika jimak, bersalin, menyusu, dan beberapa tingkah laku tertentu.

Hormon cinta ini dikaitkan dengan fungsi rangsangan seksual, kepercayaan dan ikatan terhadap pasangan. Ia juga terdapat pada lelaki dan mempunyai kesan ke atas pengeluaran testosteron dan pergerakan sperma.

PUNCA RANGSANGAN HORMON CINTA, PENENANG DAN PELALI.

Selain dari berolahraga dan memakan makanan tertentu, amalan berimaginasi (termasuk berasmara), tersenyum, ketawa, bergurau senda, bahkan bergosip juga boleh merangsang tubuh untuk melepaskan hormon-hormon ‘cinta dan penenang’ ini sehingga kita mencapai tahap euphoria (kegembiraan memuncak).

Saintis juga percaya bahawa organ dalaman kita akan menyesuaikan diri dengan input dari deria melalui terapi sentuhan. Secara teori, amalan refleksologi, guasa, dan urutan juga terkait dengan pengeluaran endorphin dan encephalins sebagai ubat penahan sakit semula jadi.

KEBAIKAN EMOSI POSITIF IBU PADA BAYI 

Selain dari kesan baik pada ibu, emosi ibu yang tenang turut membantu kesihatan bayi dalam kandungan. Ini kerana ’emosi’ wanita hamil mempunyai hubungan biologi secara langsung dengan bayi dalam kandungannya. Segala-galanya akan disalurkan kepada bayi melalui fungsi ‘neurohormone’.

Seperti dijelaskan di atas, apabila ibu sentiasa aman dan tenang sepanjang kehamilan, hormon semulajadi yang serupa kesannya dengan ubat penenang akan terhasil. Sistem saraf bayi juga akan berfungsi dengan lancar dan pertumbuhan tubuh bayi dapat berkembang dengan damai.

Emosi positif yang menerbitkan kegembiraan dan kebahagiaan juga akan merendah dan menstabilkan kadar degupan jantung dan tekanan darah. Ia sangat membantu untuk meningkatkan sistem imuniti ibu. Ini menambah upaya terhadap penyembuhan penyakit secara semula jadi dan mengelakkan jangkitan.

Kesihatan dan kelancaran sistem fisiologi ibu akan turut dirasai oleh bayi juga. Tanpa gangguan emosi, darah bersama antibodi serta semua kandungan oksigen dan nutrien yang diperlukan bayi dapat dialirkan secukupnya ke plasenta. Itu dapat memastikan ibu dan bayi terselamat daripada jangkitan dan gangguan fisiologi.

Seperti artikel kesan stress yang lepas, harus diingat bahawa jangkitan yang serius dan berpanjangan bukan sahaja boleh menyebabkan jangkitan, keguguran dan kematian pada bayi (stillbirth), bahkan boleh menjadikan bayi cacat.

Insya-Allah dalam siri berikutnya akan saya cuba kongsikan secara menyeluruh kaedah-kaedah yang patuh syariah untuk mengatasinya tekanan dan memupuk ketenangan, termasuk amalan pemakanan dan kerohanian.

Untuk lebih jelas baca juga artikel berikut,
https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1388745711229775
https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1387830651321281
https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1386127221491624

Semuga bermanfaat untuk pedoman kita melahirkan bayi yang sihat dan afiat, rohani dan jasmaninya untuk sama-sama membentuk ummah pembela keluarga, agama, bangsa dan negara.

Dr Haji Masjuki Mohd
Akademi Insan Prihatin

Sumber: https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1393529530751393

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: