News!!

Keadaan MAS Tak Banyak Beza Walaupun Punyai CEO Baru?

SIAPA pun juga yang dipilih untuk mengetuai Malaysia Airlines tidak akan membawa perubahan yang besar kepada nasib syarikat penerbangan negara itu, kata penganalisis penerbangan bebas, walaupun syarikat itu mengumumkan CEO baharu malam tadi.

Sesetengah kakitangan Malaysian Airlines Berhad (MAB) memberitahu The Malaysian Insight mereka juga rasa begitu dan mengaitkannya dengan campur tangan luar dalam bagaimana cara syarikat itu dikendalikan.

“Siapa pun juga yang akhirnya dipilih oleh pemegang saham dan lembaga pengarah untuk menggantikan Bellew akan hanya membawa sedikit perbezaan,” kata Shukor Yusof dari Endau Analytics.

“Pada pandangan kami syarikat penerbangan itu terlalu sukar untuk dipulihkan dan diselamatkan sehinggalah dan kecuali jika ada keputusan tegas dibuat,” kata Syukor dalam blognya.

“Itu hanya permulaan. Ironinya MAB tidak berubah menjadi lebih baik pun hari ini walaupun ‘ditransformasikan’ oleh syarikat pelaburan negara, yang juga pemilik syarikat itu,” katanya merujuk kepada Khazanah Nasional Berhad.

“Adakah syarikat pelaburan negara memberikan ubat yang salah? Adakah ia masalah sebenarnya?”

Malaysia Airlines menamakan Kapten Izham Ismail sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah eksekutif yang baharu selepas peletakan jawatan Peter Bellew yang mengejutkan awal minggu ini.

Bellew ialah CEO warga asing yang kedua bagi syarikat penerbangan negara yang bermasalah itu, dan mula bertugas pada Ogos tahun lalu selepas Christoph Mueller, rakyat Jerman meninggalkan Malaysia Airlines untuk ke Emirates.

Dalam satu mesej ringkas kepada Nikkei Asian Review, Bellew menafikan yang Khazanah ada campur tangan dalam tugasnya.

Khazanah juga menafikan laporan dalam akhbar kawalan Umno, New Straits Times yang Bellew meletakkan jawatan akibat wujud campur tangan syarikat pelaburan itu.

“Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines dan pengurusan menyerahkan pelan utama kepada Khazanah sebagai pemegang saham tunggal dan penyedia dana untuk penstrukturan semula dan secara kolektifnya kami bekerjasama rapat untuk memastikan perkembangan penstrukturan semula itu dilaksanakan.”

Tetapi seorang bekas staf berkata dia tidak terkejut bila Bellew meletakkan jawatan.

Dalam satu temu bual berasingan dengan The Malaysian Insight, bekas kakitangan MAB berkata mereka nampak kesan campur tangan luar dalam pengendalian syarikat itu.

“Terlalu banyak campur tangan politik di Malaysia. Sebab itu susah untuk sesiapa yang ambil alih untuk buat kerja mereka. Selagi ada campur tangan politik, memang susah untuk mengendalikan mana-mana syarikat pun,” kata seorang staf yang enggan dikenali.

Kakitangan itu juga berkata tidak adil bila syarikat berkenaan membuang ramai pekerjanya hanya untuk mengambil kakitangan baharu pada tahun berikutnya.

MAS memberhentikan 6,000 kakitangan pada Jun 2015 dalam pelan pemulihan syarikat itu. Mueller, yang pada masa itu CEO berkata syarikat itu “secara teknikalnya sudah bankrap” tetapi boleh membuat keuntungan menjelang 2018 jika jumlah kakitangan dan beberapa laluan dihentikan, serta menjual lebihan pesawat.

Seorang lagi kakitangan berkata Mueller dan Bellew kelihatan seperti hanya mempunyai sedikit pengaruh dalam penstrukturan semula itu.

“Masa saya masih ada di sana sekitar Disember 2015, Peter pernah cuba hendak berhenti daripada syarikat, dan terus terang saya kata saya tidak terkejut sekarang dia keluar.”

Pelan pemulihan MAS dilaksanakan oleh Khazanah dan bermula pada Ogos 2014. Khazanah memberi suntikan RM6 bilion kepada syarikat penerbangan itu.

Ia selepas Malaysia Airlines kehilangan dua pesawat MH370 dan MH17 dalam dua tragedi pada Mac dan Julai 2014.

Pelan itu yang pada mulanya dipantau oleh Mueller, turut menyaksikan MAS melakukan rundingan semula semua kontrak bekalan selain memberhentikan pekerja.

Pada Jun 2016, Mueller dikritik kerana berkata beliau terpaksa memberhentikan pekerja kerana mendapati ramai kakitangan tidak ada kerja dan ada yang tidur ketika bekerja.

“Selagi MAB terus menerima dana kerajaan, dan kerajaan enggan ia dikendalikan oleh profesional yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai dan faham perniagaan itu, maka syarikat itu akan ketandusan idea. Ia tidak akan lagi relevan,” tulis Shukor.

MAB semalam berkata pelantikan Izham selari dengan perancangan pengganti di bawah pelan pemulihan syarikat itu.

Sumber: The Malaysian Insight –

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: