News!!

Kartini, Srikandi Jawa Yang Dimanipulasi Belanda?

Kita sering mendengar atau membaca kisah hidup srikandi Islam tanah Arab yang dijadikan idola kaum wanita. Kali ini, kami kongsikan riwayat hidup seorang tokoh wanita Nusantara yang bernama Raden Adjeng Kartini. Siapakah tokoh ini sehingga Presiden Soekarno menetapkan pada setiap 21 April sebagai hari memperingati beliau yang  kemudiannya dinamakan sebagai Hari Kartini. Ikuti perkongsian ini untuk menghayati cintanya terhadap Islam walaupun di bayangi  oleh pengaruh Belanda.

KARTINI: WANITA JAWA PENCARI KEBENARAN

Dikenali dengan nama ringkasnya ‘Kartini’, nama sebenarnya ialah Raden Ayu atau Raden Adjeng Kartini. Beliau lahir di Jepara, Jawa Tengah pada tahun 1879 dan membesar sewaktu Indonesia masih berperang dengan Belanda di Acheh, saat Belanda hampir mencapai kemenangannya.

Kartini telah diangkat sebagai Pahlawan Nasional Indonesia oleh Presiden Pertama Indonesia, Presiden Soekarno. Walaupun Kartini meninggal pada usia yang muda iaitu ketika berumur 25 Tahun pada 1904, namun idea dan penulisannya dikatakan membangkitkan semangat kebangsaan dan perjuangan hak-hak wanita.

Lebih 100 tahun sudah berlalu, nama Kartini masih lagi diangkat sebagai pejuang hak wanita dalam pendidikan, modernis dan nasionalis yang turut dikatakan hasil didikan penjajah Belanda. Namun di sebalik itu, terdapat sejarah yang digelapkan mengenai persoalannya tentang Islam.
KEPENTINGAN POLITIK PENJAJAH

Kartini merupakan orang yang disebut-sebut penjajah Belanda ketika itu sebagai wanita moden yang wajar dicontohi. Perwatakannya yang tidak bertudung, anak kepada Penguasa Wilayah di Jepara, isteri kepada seorang penguasa Bupati yang berkhidmat dengan pentadbiran Kolonial Belanda dijadikan bahan propaganda Belanda.

Kartini merupakan seorang wanita yang mengecam sistem pendidikan Indonesia dan hak-hak wanita di Pulau Jawa ketika itu. Dia berjuang untuk mendapatkan pelajaran dan keadilan. Beliau telah memasuki sekolah rendah Belanda dan mahir dalam pertuturan serta penulisan Belanda.

Kartini mahu menyambung pendidikannya, tetapi tiada ruang untuk wanita dalam sistem pendidikan ketika itu selain dari sekolah rendah. Sebagai anak penguasa, beliau banyak bertemu dengan pegawai-pegawai Belanda untuk menyuarakan pendapatnya, berbincang hal-hal pelajaran.

Kartini yang mahir menulis telah mengutus surat kepada kawan-kawan Belandanya untuk membincangkan isu-isu masyarakat dan hal-hal wanita. Beliau juga diberikan buku-buku dan bahan-bahan bacaan dari Belanda oleh kawan-kawannya.

Penulisan Kartini menjadi bahan penerbitan Belanda yang dipolitikkan. Dengan menaikkan Kartini sebagai hasil didikan sekolah Belanda, penulisan Kartini dianggap sebagai kepincangan pemerintahan Islam di Indonesia lalu perlu dimajukan oleh Belanda. Kebudayaan dan pemikiran lama perlu dibentuk semula oleh kerajaan penjajah yang kononnya lebih maju.

Kartini membincangkan hal-hal adat masyarakat yang tidak wajar seperti perkahwinan paksa tanpa rela wanita, pendidikan wanita yang terhad dan pendidikan Islam yang tidak maju. Beliau dikatakan berminat kepada pendidikan barat dan banyak berkawan dengan orang-orang Belanda.

Selepas kematiannya, nama Kartini terus digunakan oleh penjajah Belanda sebagai lambang wirawati Indonesia. Sekolah Kartini ditubuhkan di Semarang pada 1912. Surat-suratnya diterbitkan di majalah-majalah Belanda. Buku-buku mengenainya dihasilkan di Indonesia dan akhirnya diangkat menjadi tokoh nasional pada 1964.

Pada 21 April setiap tahun, seluruh warga Indonesia akan menyambut ‘Hari Kartini’ untuk memperingati Kartini sebagai pejuang pembaharuan kemodenan sekular yang ditaja oleh Belanda.

KARTINI YANG BINGUNG DAN GIGIH ‘MENCARI KEBENARAN’

Di sebalik kritisnya pemikiran Kartini terhadap hak wanita, adat rakyat, dan agama Islam, pemikiran sebenar beliau tidak dinampakkan seluruhnya. Penjajah hanya menampakkan sebahagian yang menguntungkan mereka, lalu dipromosikan untuk kepentingan penjajah ketika itu.

Kartini bukan sahaja bergaul dan berutus surat dengan orang-orang Belanda. Beliau turut bertemu dengan guru-guru agama untuk meminta penjelasan tentang permasalahan Islam. Kartini sememangnya bingung dengan keadaan masyarakat ketika itu. Beliau berusaha gigih mencari jawapan yang diperlukan.

Kartini pada mulanya menemui pegawai-pegawai Belanda kerana memiliki peluang sebagai ahli keluarga penguasa penjajah di Jepara. Kartini telah bertemu dengan Snouck Hurgronje, penasihat agama Islam penjajah ketika itu untuk berbincang hal-hal agama. Dia turut berkenalan dengan Estella Zeehandelaar, seorang aktivis gerakan Sosial-Demokrasi Belanda.

Pertemuan-pertemuan dengan orang-orang Belanda sememangnya tidak memuaskan hati Kartini. Beliau sebenarnya tidak mendapat jawapan yang dicari berkenaan hal wanita, masyarakat dan agama. Snouck Hurgronje yang dikenali sebagai Kiyai (Palsu) Haji Abdul Ghaffar atau ‘Syaikhul Islam Jawa’ itu pun tidak dapat menyelesaikan kebingungan Kartini.
KISAH KARTINI DAN KIYAI SOLEH DARAT

Suatu kisah menarik berkenaan Kartini disampaikan oleh Fadhila Soleh, salah seorang cucu kepada Kiyai Soleh Darat – seorang pendakwah dan guru di Jepara, Jawa Tengah. Kartini telah menghadiri suatu kelas pengajian Al-Quran yang diketuai oleh Kiyai Soleh di rumah bapa saudara Kartini, Pangeran Ario Hadiningrat.

Kiyai Soleh Darat sedang mengajarkan tafsir Surah Al-Fatihah ketika itu dan mengulas tentang tafsir dalam bahasa Jawa. Kartini dilihat sangat tertarik dengan pengajian Al-Quran itu, kerana selama ini beliau hanya membaca teksnya dalam bahasa arab, tanpa memahami makna ayat-ayat itu.

Sebaik sahaja selesai kelas, Kartini berjumpa dengan Kiyai Soleh Darat ditemani oleh bapa saudaranya. Dialog berlaku di antara Kartini dan Kiyai Soleh:

Kartini: “Kiyai, perkenankan saya bertanya bagaimana hukumnya apabila seorang berilmu menyembunyikan ilmunya?”

Kiyai Soleh: “Mengapa Raden Ajeng (Kartini) bertanya demikian?”

Kartini: “Kyai, selama hidupku, baru kali ini aku berkesempatan memahami makna Surah Al-Fatihah, surah pertama dan induk Al-Quran. Isinya begitu indah, menggetarkan sanubariku,”.

Kiyai Soleh: diam terpegun.

Kartini: “Bukan buatan rasa syukur hati ini kepada Allah. Namun, aku hairan mengapa selama ini para Ulama’ menghalang keras penterjemahan dan penafsiran Al-Quran ke dalam Bahasa Jawa. Bukankah Al-Quran adalah bimbingan hidup bahagia dan sejahtera bagi manusia?”.

Pertemuan tersebut merupakan pertemuan bersejarah buat Kiyai Soleh Darat. Beliau lalu menyahut seruan Kartini untuk menghasilkan kitab tafsir dan terjemah Al-Quran dalam Bahasa Jawa walaupun hal itu telah melanggar peraturan Belanda dan ulamak ketika itu yang tidak membenarkan Al-Quran diterjemah ke bahasa Jawa.

Kitab tafsir dan terjemahan Qur’an ini diberi nama Kitab Faidhur-Rohman, yang dianggap sebagai tafsir pertama di Nusantara dalam bahasa Jawa dengan aksara Arab. Kitab Tafsir ini dihadiahkan oleh Kiyai Soleh sempena hari perkahwinan Kartini sebagai penghargaan kepada orang yang menghargainya.

Kefahaman terhadap Al-Quran telah mengubah persepsi Kartini terhadap Barat. Dalam salah satu surat Kartini berkata:

“Sudah lewat masanya, semula kami mengira masyarakat Eropah itu benar-benar yang terbaik, tiada tara. Maafkan kami. Apakah ibu menganggap masyarakat Eropah itu sempurna?

Dapatkah ibu menyangkal bahwa di balik yang indah dalam masyarakat ibu terdapat banyak hal yang sama sekali tidak patut disebut peradaban. Tidak sekali-kali kami hendak menjadikan murid-murid kami sebagai orang setengah Eropah, atau orang Jawa kebarat-baratan.”
(Surat Kartini kepada Nyonya Abendanon, 27 Oktober 1902).

Dalam satu suratnya yang lain, Kartini berkata:

“Saya bertekad dan berupaya memperbaiki citra Islam, yang selama ini kerap menjadi sasaran fitnah. Semoga kami mendapat rahmat, dapat bekerja membuat agama lain memandang Islam sebagai agama disukai.”
(Surat Kartini kepada Nyonya Van Kol, 21 Jun 1902).

Kartini kemudian menyatakan cita-cita tertingginya yang sangat mengejutkan:

“Ingin benar saya menggunakan gelar tertinggi, yaitu Hamba Allah”
(Surat Kartini kepada Nyonya Abendanon, 1 Ogos 1903).
KEMATIAN KARTINI 

Kartini meninggal dunia pada 17 September 1904 ketika usianya baru 25 tahun, 10 bulan selepas perkahwinannya dengan suaminya Djojoadiningrat. Dia baru sahaja melahirkan anak pertamanya empat hari sebelum itu.

Kartini tidak sempat menjadi ibu kepada anaknya. Sedangkan cita-citanya sebagai ibu digambarkan dalam suratnya:

Image may contain: 1 person, text

“Alangkah bahagianya laki-laki, bila istrinya bukan hanya menjadi pengurus rumah tangganya dan ibu anak-anaknya saja, melainkan juga menjadi sahabatnya, yang menaruh minat akan pekerjaannya, menghayatinya bersama suaminya …

Mohon dengan sangat supaya diusahakan pengajaran dan pendidikan bagi anak-anak perempuan, bukanlah karena kami hendak menjadikan perempuan menjadi saingan laki-laki dalam perjuangan hidup ini.

Kami hendak menjadikan perempuan menjadi lebih cekap dalam melakukan tugas besar yang diletakan oleh Ibu Alam sendiri ke dalam tangannya agar menjadi ibu pendidik umat manusia yang utama!” (Surat kepada Prof. G.K. Anton dan Nyonya, 4 Oktober, 1902)
PENUTUP

Kartini mempunyai keinginan yang kuat terhadap ilmu dan pendidikan. Usahanya dalam mencari jalan keluar dari kebingungan masyarakat akhirnya ditemui dengan kefahaman terhadap Al-Quran.

Kartini dijadikan simbol perjuangan dalam modenisasi, kemajuan, kebebasan dan keadilan hak wanita oleh Belanda yang mahu menegakkan sistem sekularnya. Beliau dijadikan alasan untuk wanita mengejar modenisasi walau terkeluar dari batasan agama.

Akhirnya umum sedar bahawa Kartini hanya mahukan kefahaman yang benar dalam Islam dan menjalankan peranannya yang hak sebagai wanita Muslim. Beliau mahu dirinya terbela dengan sistem keadilan yang sebenar dalam Islam.

Kefahaman al-Quran ternyata mampu memberi kesedaran dan membuka hati seorang manusia yang dahagakan ilmu agama seperti Kartini. Jurutera pemesongan agama dari pihak penjajah ketika itu pula telah berjaya mempengaruhi ulamak agar mengharamkan penterjemahan alquran.

Hari ini, nikmat ilmu dan rahsia alquran sudah jauh ditinggalkan. Walaupun Al-Quran telah dimudahkan dengan tafsir dan terjemahannya pada, masih ramai yang tidak menghargai dan mengambil pelajaran daripadanya. Saki baki penjajahan aqidah masih menebal sehingga umat dipersulit untuk memahami alquran. Padahal Allah sendiri telah memerintahkan agar alquran itu dipermudahkan kefahamannya.

Benarlah firman Allah:

فَاِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُوْنَ

“Maka sesungguhnya, Kami memudahkannya dengan lisan/bahasamu supaya mereka mendapat pelajaran/peringatan”

(QS. Ad-Dukhan 44: Ayat 58)

Ambillah kisah ini sebagai pelajaran kepada seluruh Umat Islam Nusantara.

Semoga Bermanfaat.

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1683572381737233

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: