Saya pasti projek yang dianggap mampu milik itu dilengkapi segala kemudahan terbaik dengan lokasinya yang tidak jauh dari pusat bandar. Tentunya ia mendapat perhatian ramai, khususnya golongan berkemampuan dan mereka yang inginkan kediaman sendiri di Kuala Lumpur.

Memetik Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, langkah itu susulan penge­cualian yang diberikan untuk menggalakkan pemilikan kediaman dalam kala­ngan kakitangan kerajaan.

Sesungguhnya kakitangan awam amat bertuah kerana disediakan Projek Perumahan Awam 1Malaysia dengan kelonggaran diberikan kepada mereka sekiranya komitmen pembayaran pinjaman semasa melebihi 60 peratus daripada gaji mereka.

Kedua-dua senario itu adalah contoh tawaran dan peluang yang menarik kepada pembeli berpotensi tetapi ia juga menunjukkan komitmen malah pengorbanan besar yang diperlukan untuk memiliki sebuah kediaman.

Bank Negara Malaysia (BNM) pernah menyatakan bahawa bayaran bulanan untuk sebuah rumah tidak seharusnya melebihi 30 pe­ratus daripada pendapatan dengan peratusan yang lebih tinggi dianggap akan membebankan pengguna.

Seiring dengan itu, Garis Panduan Pembiayaan Bertanggungjawab BNM telah diperkenalkan untuk melin­dungi peminjam agar mereka dapat memenuhi obligasi pinjaman mereka, malah institusi-institusi kewangan hanya akan memberikan kemudahan pembiayaan kepada mereka yang layak.

Menerusi garis panduan ini, permohonan ditolak jika pemohon tidak mampu menanggung lebih banyak hutang dan mempunyai sejarah bermasalah melunaskan pembayaran semula kredit mereka.

Walaupun kita sering mendengar pihak-pihak berkepentingan memohon agar syarat itu dilonggarkan agar dapat merangsang pembelian unit-unit kediaman, terutamanya projek-projek baharu, tetapi yang paling penting adalah kita sebagai pengguna mesti membuat pertimbangan terbaik dengan mengenal pasti kemampuan kewangan masing-masing.

Menjadi pengguna bijak pada hari ini bukan sekadar membuat perbandingan harga tetapi benar-benar me­nerima akan tanggungjawab memiliki sesebuah kediaman yang bukan sahaja melibatkan hubungan dengan institusi kewangan, tetapi juga perbelanjaan berkaitan termasuk cukai pintu atau ta­nah, pembayaran penyelenggaraan bulanan serta dana kecemasan untuk kediaman bertingkat mahupun kadar tol dan petrol untuk perjalanan harian.

Antara persoalan yang harus diberi perhatian termasuk adakah pendapatan kita dapat menampung kehidupan dengan kos hidup yang semakin meningkat? Apakah keutamaan kita? Berapakah baki pendapatan boleh guna? Adakah kita mempunyai simpanan terutama untuk kecemasan?

Walaupun memiliki rumah satu keperluan tetapi pengguna harus peka bahawa terdapat perbelanjaan ke­perluan bulanan yang lebih penting, malah masih terdapat alternatif lain daripada terus terikat dengan hutang, termasuk menyewa kediaman.

Janganlah kita menjadi hamba hutang semata-mata hendak mempunyai rumah yang hakikatnya di luar kemampuan, mahupun membeli kerana masyarakat sekeliling asyik bertanya “Sudah ada rumah sendiri?”

Sebagai sebuah masyarakat, jangan kita jadikan pemilikan kediaman mewah sebagai pengukur status dan kemampuan individu. Cukuplah kita mempunyai tempat untuk berteduh.