News!!

Jangan Biasakan Diri Anda Dengan Bunyi Bising Atau Anda Bakal Cacat Selamanya

Samada kita sedar atau tidak, bunyi bising boleh merosakkan saraf. Kita sering terdedah kepada masalah ini kerana kondisi di tempat kerja atau habit kita yang suka mendengar muzik pada kadar bunyi yang kuat. Ketahuilah bahawa masalah pendengaran akibat bunyi bising adalah kekal. Keupayaan mendengar tidak boleh dikembalikan. Ikuti perkongsian ini agar anda selamat dari mengalami kecacatan pendengaran yang kekal!

MASALAH PENDENGARAN AKIBAT BUNYI BISING

Kehilangan pendengaran boleh berlaku tanpa disedari. Contohnya seperti senario berikut:

“Seorang doktor bertanya pesakitnya samada tempat kerjanya bising. Pesakit tersebut telah bekerja di tempat tersebut bertahun-tahun lamanya. Beliau memberitahu doktor bahawa pada awalnya tempat kerjanya bising tetapi selepas bertahun-tahun, tempat tersebut tidak begitu bising.”

“Jangan biasakan diri dengan bunyi bising.”

Bunyi bising yang merosakkan telinga anda tidak semestinya kuat. Anda mungkin berasa telinga anda telah biasa dengan bunyi bising, tetapi apa yang sebenarnya terjadi adalah anda telah mula mengalami masalah pendengaran.

Berapa cepat seseorang hilang pendengaran bergantung pada kenyaringan bunyi dan tempoh masa terdedah kepada bunyi.

Mendengar muzik yang kuat dengan kerap boleh merosakkan pendengaran, terutamanya sekiranya fon kepala (headphone) digunakan. Beberapa pemuzik yang terkenal telah pekak dan mengalami tinnitus. Anda mungkin perasan beberapa pemuzik kegemaran anda memakai alat pelindung pendengaran semasa mereka bermain muzik.

Pengacara lagu di sebuah konsert dan pasar raya juga terdedah kepada muzik yang kuat. Apabila menghadiri konsert atau berada dekat dengan alat pembesar suara, anda terdedah kepada muzik yang kuat yang boleh merosakkan telinga.

 

Bagaimana mengetahui anda berada di tempat yang bising?

Tahap untuk bunyi yang selamat adalah 85 dB (desibel) selama 8 jam sahaja. Sekiranya anda perlu menjerit supaya oleh orang yang berada sejauh 3 kaki dari anda dapat mendengarnya, tahap bunyi bising mungkin 85 dB (desibel) atau lebih dan alat pelindung pendengaran perlu digunakan.

 Dua tanda telinga anda telah rosak

Jika selepas mendengar bunyi yang sangat kuat, pendengaran anda menjadi seolah-olah tidak jelas atau sayup-sayup, bermakna anda telah mengalami perubahan tahap pendengaran sementara atauTemporary Threshold Shift (TTS) yang memberi amaran bahawa telinga anda telah terdedah kepada bunyi yang melebihi had.  Jika telinga anda terus terdedah kepada bunyi kuat tanpa perlindungan, keadaan boleh menjadi bertambah buruk dan berkekalan sehingga menyebabkan kerosakan telinga yang tidak boleh dirawat.

Pendedahan kepada bunyi kuat untuk jangka masa yang lama boleh menyebabkan anda mengalami tinnitus iaitu bunyi berdesing dalam kepala. Perkara ini tidak boleh dianggap remeh. Ini adalah amaran bahawa sel-sel rambut dalam telinga anda telah rosak. Tinnitus boleh dikesan di tempat yang sunyi seperti apabila hendak tidur pada waktu malam. Jika anda tidak melindungi telinga anda daripada bunyi bising, tinnitus boleh berkekalan dan sentiasa mengganggu keselesaan hidup anda.


Bagaimana melindungi pendengaran anda?

Panduan menjaga pendengaran.

  • Lindungi telinga anda dengan memakai alat perlindung pendengaran (ear muff atauear plug) apabila anda menggendalikan mesin jentera yang mengeluarkan bunyi yang kuat.
  • Mengurangkan bunyi iPod/MP3, terutamanya apabila anda memakai fon telinga atau berada di dalam kereta.
  • Jika anda gemar memakai fon telinga, sekali-sekala, rehatkan telinga anda
  • Jika anda menghadiri konsert, pakai alat perlindungan pendengaran.
  • Apabila menggunakan telefon bimbit, gunakan mod pembesar suara.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: