News!!

Jangan Alpa, Jiran Kita Masih Idamkan Sabah

Tuntutan Sabah merujuk kepada tuntutan ke atas bahagian timur laut Sabah di Malaysia oleh Filipina. Sabah sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963. Filipina menyatakan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada negara Filipina kerana ia adalah jajahan Kesultanan Sulu, yang kemudiannya dijajah oleh British pada kurun ke-19. Walaupun isu ini “senyap” namun tidak bermakna jiran kita sudah melupakan hasrat untuk mendapatkan semula Sabah.

KOTA KINABALU: Malaysia mengambil langkah bijak apabila mengabaikan tuntutan Filipina ke atas Sabah, kata seorang pakar.

Isu sekian lama itu muncul semula selepas bekas presiden senat Filipina, Aquilino Pimentel Jr, mahu mencadangkan Sabah dimasukkan sebagai wilayah Filipina dalam usaha negaranya beralih kepada sistem persekutuan.

Pimentel adalah ahli jawatankuasa perundingan yang dilantik Presiden Rodrigo Duterte untuk mengkaji semula Perlembagaan 1987.

Beliau berkata harus ada cara yang boleh diterima di bawah undang-undang antarabangsa untuk menegaskan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Pimentel dalam cadangan membentuk sebuah kerajaan persekutuan baharu itu mencadangkan Sabah sebagai negeri ke-13 selepas Luzon Utara, Luzon Tengah, Luzon Selatan, Bicol, Visayas Timur, Visayas Tengah, Visayas Barat, Minparom, Mindanao Utara, Mindanao Selatan, dan Bangsamoro.

Zachary Abuza, seorang profesor yang mengkaji isu keselamatan di Asia Tenggara, berkata Filipina boleh cuba membuat tuntutan undang-undang rasmi melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Tetapi itu memerlukan persetujuan Malaysia untuk mencubanya, yang mana ia tidak akan berlaku,” kata profesor Kolej Perang Kebangsaan di Washington, Amerika Syarikat kepada FMT.

“Sebagai tambahan kepada dakwaan Malaysia yang agak kuat, walaupun tidak ketat, Filipina pada hakikatnya secara de-facto sudah menerima tuntutan Malaysia apabila mengiktiraf kedaulatan Malaysia.

“Kerajaan Malaysia bijak kerana mengabaikan tuntutan dari Filipina.”

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kenyataan pemimpin Filipina itu akan menjejaskan hubungan negara itu dengan Malaysia.

Beliau menyifatkan hubungan 2 hala Malaysia dengan Filipina sebagai “cemerlang”. Beliau berkata kenyataan mereka tentang Sabah mencerminkan kejahilan sejarah dan undang-undang antarabangsa di pihak mereka.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Warisan, Darell Leiking semalam berkata pemimpin negara mesti mencari satu penyelesaian untuk menamatkan tuntutan berulang kali ke atas Sabah.

“Mereka perlu mempunyai penyelesaian konkrit melalui saluran diplomatik atau melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menghantar mesej yang jelas kepada Manila bahawa ia harus menghentikan tindakan provokasi ini dan menghentikan tuntutan yang tidak berasas ke atas negeri kita, Sabah,” kata ahli Parlimen itu.

Sementara itu, kerajaan negeri menolak sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

“Saya telah tetapkan pendirian kami tentang perkara ini. Kini, izinkan saya menyatakan dengan jelas sekali lagi kami tidak mengiktiraf atau memperakukan sebarang tuntutan Filipina atau mana-mana negara lain ke atas Sabah,” katanya semalam.

Sumber: FMT

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: