News!!

Ikuti 7 Tips Faham Al Quran Agar Kita Tak Menjadi Seperti Burung Kakak Tua!

Memahami Al Quran adalah satu kemestian kepada Umat Islam kerana ianya merupakan sumber utama ilmu yang wajib dilaksanakan. Ikuti tips yang telah dikongsikan oleh penulis ini bagi memudahkan kita memahami apakah mesej besar yang Allah mahu sampaikan kepada kita. Semoga bermanfaat.

Image may contain: 1 person, sitting and text

7 TIPS FAHAMI AYAT AL-QURAN DENGAN MUDAH SEBAGAI RUJUKAN KITA SEBAGAI MANUSIA YANG HIDUP, BUKAN MACAM ZOMBI.


Al-Quran merupakan kitab milik setiap umat Islam yang berakal. Kalau kita orang yang berakal, wajib kita ada al-quran sebagai panduan hidup. Kalau tak ada tu, masalah besar dunia dan akhirat. Kena sedar diri cepat-cepat.

Pendidikan Al-Quran secara harfiah dan tartil sewajarnya dimulakan seawal usia anak 7 tahun. Seiring dengan proses program pendidikan solat. Ajarlah anak solat dalam keadaan dia memahami apa yang dibaca dan bukan sekadar ikut-ikutan.

Berikut adalah tips mudah untuk kita sama-sama lakukan bagi menambah baik penguasaan kefahaman Al-Quran.

1. Bersihkan hati dan perbetulkan niat untuk menemui panduan kehidupan. Bukan sekadar membaca tetapi BERTEKAD mahu melaksanakan seluruh isi kandungan al-Quran.

2. Mulakan HARI INI. Jangan bertangguh dan beralasan lagi. Masa makin suntuk, usia pun semakin singkat. Ingat, MATI tak kira tua atau muda. Sehari kita berlengah, rugilah hidup kita 24 jam kerana membaca al-quran ibarat Allah sedang bercakap dengan kita.

Segala peringatan dan nasihat sentiasa diulang-ulang di dalam Al-Quran. Itulah komunikasi kita dengan Allah secara ‘direct’ yang mampu menyentuh jiwa kita untuk sentiasa membersih dan menyucikan diri dari segala dosa.

3. Gunakan Al-Quran TERJEMAHAN jika tidak menguasai bahasa Arab. Paling sesuai adalah al-Quran PERKATA yang menjelas maksud ayat secara harfiah.

Selain memberikan makna yang lebih tepat pada setiap perkataan ia juga menambah penguasaan bahasa Arab kita secara tidak langsung. Ada banyak al-Quran perkata di pasaran hari ini. Pilih yang kecil, ringan dan boleh di bawa ke mana-mana.

4. FAHAMI SETIAP AYAT Al-Quran bergandingan sekali dengan ilmu tafsir, hadis dan fiqah yang berkaitan ayat tersebut. Ada kisah sejarah dan sirah yang kita kena tahu.

Jangan bimbang sekiranya ketika membaca ada yang kita tak faham, yang penting baca dulu sampai khatam. Dah selesai, ulang semula bacaan. Jangan cepat putus asa dan menyerah kalah.

Cari kawan, ajak sebagai teman membaca. Saling berlumba-lumba mencari hikmah di sebalik ayat Allah.

5. Utamakan penerangan Rasulullah dan para sahabat dalam memahami setiap ayat Al-Quran. Kenali sahabat yang dipercayai Nabi sebagai gedung ilmu di dalam urusan al-quran.

Antaranya ialah Ibnu Mas’ud, salah seorang penjaga rahsia nabi. Beliau juga antara sahabat yang memiliki kefahaman al-quran yang sangat tinggi dari sudut muhkamat dan mutasyabihat ayat. Rajinkan diri mengenali lebih dekat para sahabat baginda.

6. Semak semula ASBABUN NUZUL cerita di sebalik penurunan wahyu ini dan fahami sebab atau hikmah di sebaliknya. Ada keperluannya kita mengetahui kisah bagaimana sesuatu ayat itu diturunkan. Ia sangat membantu kita memahami konteks ayat tersebut untuk disesuaikan dengan zaman kita.

Mudah bila setiap langkah kita di dunia juga dibimbing dengan ayat-ayat yang berjalan seiring dengan asbab kejadian kita. Baru hidup terasa seperti di bawah lindungan Allah. Dipelihara dengan al-quran.

7. Kuasai dan biasakan diri dengan ilmu Al-Quran dan gaya bahasanya, ini lebih membantu untuk mendalamkan pemahaman.

Kenali NAMA-NAMA dan PERUMPAMAAN yang Allah selalu gunakan di dalam Al-Quran. Terlalu banyak rahsia yang tersembunyi di dalam kitab ini.

Mohonlah petunjuk agar kita diberikan ilmu yang jelas supaya kita mampu menjadi orang yang faqih di dalam urusan agama melalui kitab Allah dan sunnah Rasulullah yang dipimpin wahyu.

Sekiranya bermanfaat, kongsikan semoga lebih ramai yang terbuka hati untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah melalui kitabNya.

Nak tanya, apa masalah yang selalu kita diuji setiap kali nak baca Al-Quran? Mohon share.

Shauqi Hasan
Mutawif Rare

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1732102433550894

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: