News!!

Hanya Allah Berhak Larang Tunai Haji, Bukan Arab Saudi-GSMP

Rakyat Malaysia amat beruntung kerana mudah untuk menunaikan Ibadah Haji. Ada sebahagian negara yang di sekat dari memasuki Mekah oleh “Penjaga Tanah Suci” iaitu Arab Saudi. Mungkin Arab Saudi mempunyai sebab-sebab yang tersendiri. Bacalah berita ini untuk anda membuat penilaian sendiri.

PETALING JAYA: Persatuan-persatuan pemuda Indonesia mengecam kerajaan Arab Saudi kerana mempolitikkan peraturan haji bagi menekan negara-negara Islam, lapor portal berita Al Jazeera dan Warta Kota.

Garda Suci Merah Putih (GSMP) mendakwa Riyadh membiarkan pertikaian politik dengan beberapa negara untuk mempengaruhi peraturan haji.

Setiausaha Agung GSMP Mujtahid Hasheem memberikan contoh jemaah Syria dan Yaman yang mahu mendapatkan visa haji mesti melalui satu jawatankuasa yang dikawal kumpulan pembangkang Syria yang disokong Saudi.

Menurut Mujtahid, sekatan yang dikenakan ke atas rakyat Qatar, Iran, Iraq, Libya dan Bahrain juga membuktikan Arab Saudi menyalahgunakan kuasa sebagai penjaga kota suci Mekah dan Madinah.

“Hanya Allah mempunyai hak untuk melarang, bukan Arab Saudi,” kata Setiausaha Agung GSMP Mujtahid Hasheem.

Wakil GSMP berkata demikian di persidangan “Peranan Umat Islam dalam Pengelolaan Pelaksanaan Haji dan Menjaga Tempat-Tempat Sejarah Islam” anjuran Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) di Universiti Indonesia, Depok semalam.

Kerajaan Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria dan Yemen berikutan perang saudara di kedua-dua negara itu, yang menyaksikan sokongan Saudi disalurkan kepada kumpulan-kumpulan tertentu, manakala Qatar dikenakan sekatan atas dakwaan menyokong terorisme.

HMI, sebuah kumpulan pelajar terbesar Indonesia, mendakwa Riyadh menggunakan haji untuk memaksakan dasar Saudi ke atas negara-negara Islam, termasuk melobi pembatalan persidangan antarabangsa itu.

“Kami adalah pelajar, dan pelajar bincang banyak perkara. Apa masalahnya?” kata Pengerusi HMI Ziyad Abdul Malik.

Persidangan itu sepatutnya diadakan di Universiti Islam Negeri (UIN) di Jakarta, tetapi dibatalkan atas permintaan kedutaan Arab Saudi.

Sidang itu kemudian dilangsungkan di Universiti Indonesia, menampilkan pembentangan daripada wakil HMI dan GSMP, rektor Universiti Islam Ibnu Khaldun, Pertubuhan Pelajar Islam India (MSO) dan seorang bekas ahli Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, lapor Warta Kota.

Setiausaha Agung MSO Shujaat Ali menuduh Arab Saudi memusnahkan tempat-tempat berkaitan agama yang terkenal, seperti tempat lahir Nabi Muhammad.

Shujaat memetik statistik daripada Gulf Institute, sebuah badan yang berpangkalan di Washington D.C, Amerika Syarikat, yang menganggarkan 95% bangunan terkenal di Mekah dimusnahkan dalam 2 dekad lalu.

“Sekarang apa yang berdiri di situ? Syarikat AS seperti McDonald’s, Starbucks dan sebagainya,” katanya.

Para penganjur menambah mereka akan menganjurkan satu lagi persidangan antarabangsa untuk membincangkan penubuhan sebuah badan antarabangsa untuk menguruskan Haji.

Sumber: FMT

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: