Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ia acap kali mengundang rasa amarah pada dirinya.

Namun, pada musim panas yang dikatakan musim pembiakan nyamuk itu, Sternberg teruja untuk menerima kawanan nyamuk yang terbang bebas di kawasan kejiranannya.

Hal ini kerana, kawasan pinggiran bandar Miami itu sedang mengendalikan percubaan lapangan bagi nyamuk jantan makmal untuk membantu mengawal penyebaran penyakit berjangkit khususnya penyakit bawaan nyamuk.

Usaha menelan belanja AS$4.1 juta (RM16 juta) yang dibiayai oleh dana persekutuan itu merupakan senjata baharu bagi memerangi secara besar-besaran nyamuk urban yang menyebar virus Zika di County.

“Dahulu, setiap kali menyidai pakaian basahan di luar rumah selepas membasuh baju, kawanan nyamuk kerap menyerang saya.

“Namun, sejak seminggu yang lalu, saya dan suami melihat tidak banyak nyamuk yang berterbangan.

“Kami berharap selepas ini populasi nyamuk semakin berkurangan, sekali gus penyakit-penyakit berbahaya bawaan nyamuk ini turut lenyap,” ujarnya yang telah lebih tiga dekad menetap di sana.

Wabak Zika merupakan virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes aegypti.

Ia telah menular ke beberapa buah negara di Amerika Selatan, Amerika Tengah dan Carribbean seperti di Brazil, Bolivia, Venezuela, Colombia, El Salvador, Guatemala Panama dan Puerto Rico.

Paling membimbangkan, virus Zika yang pertama dikesan di Uganda pada tahun 1947 memberi risiko kepada bayi di dalam kandungan untuk menghidap sindrom mikrosefali iaitu kecacatan pada otak yang membataskan kecerdasan dan pergerakan otot seumur hidup mereka.

Ekoran penularan virus Zika itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terpaksa mengambil keputusan mengisytiharkan virus tersebut sebagai darurat kesihatan global.

Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association, kira-kira enam pera­tus bayi yang dilahirkan di Amerika Syarikat oleh ibu-ibu yang dijangkiti virus Zika bawaan nyamuk ketika mengandung mengalami kecacatan kelahiran.

Dalam laporan itu, sejumlah 442 wanita yang berkemungkinan dijangkiti Zika melahirkan anak pada 22 September lalu dan 26 daripada kese­luruhan kehamilan atau enam peratus daripadanya mengalami kecacatan yang berkaitan dengan Zika.

Kemandulan

Sementara itu, laporan penyelidik daripada Fakulti Perubatan Universiti Washington, Profesor Michael Diamond menemui, jangkitan virus Zika boleh mengakibatkan keman­dulan kekal dan menyebabkan buah zakar lelaki mengecil.

Bagi mengurangkan populasi nyamuk Aedes aegypti, kementerian kesihatan Miami melepaskan jutaan nyamuk jantan yang dijangkiti bakteria membuatkan serangga tersebut steril di Miami Selatan baru-baru ini.

Usaha tersebut dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Kentucky, AS, MosquitoMate setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) sekitar November tahun lalu untuk menggunakan bakterium bagi membunuh nyamuk liar.

Pengurus Operasi Lapangan MosquitoMate, Patrick Kelly berkata, nyamuk berkenaan dijangkiti bakteria Wolbachia iaitu bakteria semula jadi yang terdapat dalam hampir 60 peratus serangga lalu menjadikan serangga tersebut mandul.

“Apabila nyamuk yang dijangkiti Wolbachia itu bersenyawa dengan nyamuk betina liar, ia akan menghasilkan telur yang tiada benih.

Populasi

“Pada masa sama, ia tidak dapat membiak, sekali gus mengurangkan populasi serangga tersebut dari semasa ke semasa.

“Ia dilakukan secara biologi dan selamat untuk persekitaran tanpa kesan sampingan terhadap serangga lain, manusia atau haiwan peliharaan,” ujarnya.

Nyamuk Wolbachia yang dianggap senjata biologi terkini itu ditempatkan di dalam tiub kadbod khas yang dihantar terus dari makmal di Kentucky, AS sebelum dilepaskan ke destinasi yang telah ditetapkan.

Percubaan lapangan itu meliputi kawasan seluas 1.3 meter persegi di kejiranan Twin Lakes yang terletak antara Ludlam Road, 62nd Avenue, 64th Street dan Miller Drive.

MosquitoMate sedang merancang untuk melepaskan kira-kira setengah juta nyamuk jantan setiap minggu sehingga penghujung Julai ini.

Syarikat itu hanya menggunakan nyamuk jantan kerana serangga berkenaan tidak menghisap darah manusia. Hanya nyamuk betina dahagakan darah.

Pasukan MosquitoMate menjalankan operasi itu setiap minggu dan akan menangkap nyamuk betina untuk meneliti perkembangan tersebut.

“Kami tahu bagaimana ia beroperasi secara biologi tetapi ia semakin sukar apabila dijalankan dalam operasi lapangan kerana terdapat banyak pemboleh ubah serta kemungkinan yang boleh berlaku,” jelasnya.

Berbahaya

Sejak isu Zika hangat diperkatakan sekitar tahun 2016, pihak berkuasa Florida telah melaksanakan fumigasi udara dan darat secara besar-besaran.

Namun, ia dikecam sebahagian penduduk setempat kerana racun serangga yang digunakan itu berbahaya terhadap kesihatan manusia dan tidak begitu efektif.

Kaedah semburan pengawalan perosak konvensional akan mengakibatkan kemusnahan habitat hidupan liar termasuk rama-rama disebabkan ia mengandungi kandungan toksik yang tinggi.

Disebabkan itu, Datuk Bandar Miami Selatan, Philip Stoddard menyokong penuh penggunaan nyamuk Wolbachia sebagai alternatif baharu menentang wabak Zika bawaan nyamuk Aedes aegypti.

Katanya, ia berkemungkinan mampu menghapus secara keseluruhan populasi nyamuk Aedes aegypti di seluruh dunia dan mengekangnya sebelum menjadi landskap kekal di kawasan kejiranan hijau itu.

“Jangan pukul nyamuk ini. Ia penting bagi kita. Strategi nyamuk Wolbachia ini mampu menjadi alternatif baharu dalam menyelesaikan masalah Zika secara lebih efektif.

“Sekiranya projek tersebut menunjukkan kesan yang positif di Miami Selatan, ia akan dikembangkan secara lebih meluas ke seluruh AS atau seluruh dunia pada peringkat makro,” jelasnya.

Bakteria Wolbachia yang disuntik ke dalam nyamuk Aedes aegypti jantan menyebabkan kemandulan, sekali gus mengurangkan populasi serangga penyebar wabak Zika.

Sumber: Kosmo Online