News!!

Gerakan Snouck Hurgronje Mendapat Sokongan dan Bantuan Beberapa Orientalis Barat

Episod kalini, penulis bakal mendedahkan siapakah antara sumber inspirasi Snouck dan juga rujukan beliau. Rupa-rupanya, Orientalis Senior ini telah dulu membuat pengkajian secara terperinci untuk mencari dimana kelemahan umat Islam agar mudah mereka menyebarkan dakyah untuk memecahkan kesepakatan umat Islam. Moga kita mendapat manfaat dan kesedaran dari artikel yang kami kongsikan ini.

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI KE-5: PENGENALAN BEBERAPA ORIENTALIS YANG BERKERJASAMA DENGAN SNOUCK HURGRONJE

Hari ini sejarah menjadi satu topik yang sangat penting untuk kita gali dan fahami, kerana musuh Islam telah berjaya meracun akar sejarah bangsa kita sehingga mati pokoknya.

Bagi anda yang baru bersama siri penggalian sejarah ini, WAJIB BACA hasil penggalian kami sebelum ini yang akan menjelaskan misi mengapa perkongsian sejarah ini ditulis melalui link berikut;

KENAPA HASIL KAJIAN SEJARAH INI PERLU DITULIS SEMULA?

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 1: SIAPAKAH DALANGNYA?

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 2: STRATEGI SNOUCK HURGERONJE MEMASUKI MEKKAH.

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 3: STRATEGI SNOUCK YANG MEMANFAATKAN FOTOGRAFI

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 4 : PEMERHATIAN SNOUCK TENTANG ORANG ISLAM DAN MASYARAKAT MEKAH.

********** SIRI 5 ********

SIRI KE-5: PENGENALAN BEBERAPA ORIENTALIS YANG BEKERJASAMA DENGAN SNOUCK HURGRONJE

Beberapa nama dan tokoh-tokoh dari kalangan orientalis barat dan pegawai Belanda telah dilalui di sepanjang pembacaan mengenai Snouck Hurgronje. Nama-nama ini dilihat menjadi pendorong, dan pembantu kepada Snouck untuk mencapai matlamat dirinya.

Ketika orang Islam berpecah-belah, kumpulan-kumpulan orientalis dan penjajah barat ini pula berkerjasama dalam kajian dan perencanaan melamahkan umat Islam untuk mereka mengalahkan kerajaan negara-negara Islam.

Sebanarnya ramai Orientalis yang muncul sekitar kurun ke 18 dan ke 19 yang sama-sama menyumbang dalam pelbagai bentuk karya serta penulisan mengenai orientalism dan perbandingan agama. Kerja-kerja penterjemahan buku-buku dari bahasa Arab atau Nusantara kepada bahasa penjajah seperti Inggeris dan Belanda juga giat dijalankan.

Penulisan-penulisan ini sangat penting dalam memahami cara hidup dan pemikiran masyarakat Islam serta menjadi panduan untuk para orientalis mencipta dan menghidupkan pemikiran baru buat mempengaruhi, seterusnya mengelirukan umat Islam.

Peranan orientalis yang lebih awal daripada Snouck Hurgronje banyak memberi idea dan perangsang kepadanya. Snouck hanya melengkapkan bab terakhir pengkajian tentang kelemahan Islam yang dikajinya di Mekah. Hasil kajiannya diteruskan dengan bukti perlaksanaan yang sangat berkesan, khususnya di Acheh.

Image may contain: 1 person, beard and text1. MICHAEL JAN DE GOEJE (1836-1909)

Michael Jan de Goeje ialah seorang orientalis belanda yang mengajar di Universiti Leiden sehingga 1906. Dia mendapat kedoktorannya pada tahun 1860 melalui sebuah tesis bertajuk ‘Description of Africa and Spain’, diterbitkan semula 1866 .

De Goeje adalah seorang penerima tempat dalam ahli sekutu JuynBoll. Sekutu JuynBoll merupakan kumpulan khas yang terpilih di kalangan pengkaji dan ahli akademik di Universiti Leiden yang diberi kebenaran untuk memasuki ruangan khas perpustakaan Leiden yang menyimpan bahan kajian sejarah Islam dan Arab yang sangat sukar ditemui. Ia merupakan bahan kajian yang bersifat rahsia dan terhad.

De Goeje menjadi pengajar yang rapat dengan Snouck. Snouck sendiri telah mengeluarkan sebuah buku khas untuk memperingatinya pada tahun 1911 selepas kematiannya pada 1909.

De Goeje dikatakan membantu Snouck dalam penghasilan tesisnya yang bertajuk ‘Het Mekkaansche Feest’ pada tahun 1880 untuk Snouck mendapatkan kedoktorannya dalam bidang teologi. Antara karyanya yang terkenal ialah ‘Memoirs of Oriental History and Geography’ (1866), terjemahan buku sejarah dari At-Tabari yang diberi tajuk ‘Annals of Tabari’ (1879 – 1901) dan ‘Encyclopedia of Islam’ (1908).

Image may contain: one or more people and text2. THEODORE NOLDEKE (1836-1930)

Theodore Noldeke (1836 -1930) juga merupakan seorang guru kepada Snouck. Dia adalah seangkatan dengan De Goeje. Dia adalah seorang orientalis Jerman. Dia telah menulis Sejaah Qur’an pada Tahun 1859 dan pada Tahun 1868.

Noldeke telah dilantik sebagai professor di Kiel dan kemudian menjadi dekan di Jabatan Bahasa Oriental di Strassburg sehingga 1906. Antara lain, karyanya terkait dengan sejarah ketamadunan islam, kajian bahasa semitik, dan penulisan tentang Persia. Dia juga menjadi Orientalis pertama yang mengkaji dan menyusun Al-Quran mengikut kronologi penurunannya (asbabun nuzul) diberi tajuk “Noldeke Chronology”.

Snouck Hurgronje pernah belajar selama beberapa bulan dengan Noldeke di Jerman pada tahun 1880 selepas dia mendapat kedoktorannya. Dia terus menerus berhubung dengan Theodore di sepanjang keberadaannya di Indonesia untuk melaporkan pergerakan dan aktivitinya di sana.

Dalam satu surat Snouck kepada Noldeke pada 12 November 1889, dia menyatakan, “Sudah lebih 3 bulan saya mengembara. Saya sudah melawat 26 tempat-tempat penting di Jawa dan telah melihat budaya masyarakat Sunda dan Jawa Barat yang sangat menarik, terutamanya dari sudut keagamaan, dan juga berkenaan ‘adat’ yang sangat disayangi dan dihormati di sini…”.

Image may contain: 1 person, text3. IGNAC GOLDZIHER (1850 – 1921)

Ignac Goldziher adalah kawan rapat kepada Snouck Hurgronje. Dia seorang Yahudi yang berasal dari Hungary dan pernah belajar di Budapest, Leipzig dan Berlin. Dia banyak mengembara ke Syria, Palestine dan Mesir. Ketika di Mesir, dia mengikuti kuliyyah-kuliyyah di Masjid Al-Azhar, Kaherah.

Goldziher menampakkan bahawa dia pernah turut solat bersama jemaah di Kaherah sehingga membawa pengalaman yang sangat berharga pada dirinya.

Goldziher berkata,“Di tengah-tengah ribuan orang yang beribadah, saya meletakkan dahi di lantai Masjid itu. Tidak pernah dalam hidup ini saya merasakan ketaatan, ketaatan yang amat, melainkan pada hari Jumaat yang mulia itu”. Dia berazam untuk menanamkan roh dan semangat yang sama dalam agama Yahudi.

Snouck juga banyak berhubung dengan Goldziher ketika di Jeddah dan Mekah untuk menceritakan pengalamannya di sana. Dalam satu suratnya kepada Goldziher ketika hari dia pura-pura memeluk Islam, dia berkata, “Saya tidak mahu menyimpan dari kamu bahawa ada kemungkinan malah besar kemungkinan yang saya akan memasuki Mekah … Apa yang pasti, seseorang tidak akan dapat melakukannya melainkan dengan berpura-pura memeluk Islam”.

Theodore Noldeke, Snouck Hurgronje dan Ignac Goldziher di anggap sebagai perintis kepada pengajian Islam Moden di Eropah berdasarkan sumbangan, kaedah pengkajian, pendedahan dan penyampaian idea-idea baru.

Image may contain: 1 person, text4. EDWARD WILLIAM LANE (1801 – 1876)

Edward William Lane merupakan orientalis British yang banyak menjalankan kajian mengenai masyarakat Islam di Kaherah. Dia memasuki Mesir pada tahun 1825 melalui Iskandariah dan tinggal di sana hampir dua tahun setengah.

Lane telah menghasilkan karya yang sangat berharga dan masih diguna pakai sehingga hari ini. Antara karyanya ialah “Manners and Customs of Modern Eqyptians (1836)”, translation of “One Thousand and One Nights (1840)” dan “Arabic-English Lexicon (1876)”.

Lane dikatakan banyak sekali memberi inspirasi kepada Snouck Hurgronje untuk berpura-pura memeluk Islam sebagai satu cara memasuki Mekah.

Lane sendiri memeluk Islam dengan nama Mansur di Mesir dan berkahwin dengan seorang wanita Mesir bernama Nafeesa. Dia juga telah membawa adik perempuannya, Sophia Lan Poole ke Mesir dan memintanya masuk ke ruang-ruang khusus untuk wanita di Mesir seperti hareem dan rumah mandian bagi membantu melengkapkan kajiannya.

KESIMPULAN

Snouck Hurgronje tidak bergerak seorang diri. Dia memerlukan idea, inspirasi dan sokongan dalam menghasilkan karya-karyanya sehingga membina motivasi dan kesungguhan yang tinggi dalam mencapai matlamatnya.

Kemahuan Snouck sendiri kemudiannya memberikan keberanian dan kesungguhan untuk menjalankan semua yang telah dirancang, walaupun mendedahkan dirinya kepada bahaya dan risiko keselamatan yang tinggi.

Dalam bidang akademik, adalah tidak dinafikan bahawa penulisan-penulisan mereka sangat mendalam, teliti dan berguna sebagai sumber rujukan bukan sahaja kepada golongan penjajah pada masa itu, tetapi juga untuk pengkaji-pengkaji agama dan sejarah pada masa kini.

Karya “Arabic-English Lexicon” oleh Lane merupakan perkumpulan lengkap perkataan-perkataan arab dan kaedah penggunaannya dalam teks dan kata-kata bahasa arab. Karyanya masih lagi digunakan dengan meluas dalam pengkajian teks Al-quran dan Bahasa Arab.

Begitu juga dengan kajian-kajian mengenai agama, bangsa dan kerajaan oleh Lane, Goldhizer, Noldeke dan Snouck sendiri memberi sisi baru dan jujur dalam memberikan gambaran sebenar masyarakat dan dunia Islam ketika itu.

Untuk bangkit semula, masyarakat Islam umumnya, terutama kepada pengkaji-pengkaji dan ilmuan termasuk guru-guru, ustaz-ustaz dan intelek lainnya wajar mengkaji dan meneliti idea-idea dan pemerhatian orientalis ini terhadap Islam.

Adalah amat tidak wajar apabila penulisan-penulisan mereka diabaikan oleh pengkaji-pengkaji Islam sendiri. Sememangnya mereka telah menggariskan bermacam kelemahan umat Islam sebagai ruang-ruang lompong untuk mereka menyelinap masuk dan menjajah secara kasar mahupun halus. Umat Islam sendiri perlu bangkit dengan mengakui kelemahan-kelemahan ini lalu bertindak balas untuk melakukan Islah dan pembaikan.

Pada masa yang sama, Umat Islam perlu tahu membezakan antara hak dan batil supaya dapat membezakan idea dan doktrin daripada Orientalis ini berbanding kefahaman dan pemikiran Islam itu sendiri.

Dengan membersihkan kefahaman-kefahaman oientalis serta doktrin asing dalam minda pemikiran umat Islam, barulah umat Islam boleh dibangunkan dan digerakkan semula (QIAM) mengikut acuan dan landasan Islam yang sebenar, tanpa dipengaruhi oleh pemikiran barat.

Allah berpesan, “Dan jangan kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan kamu sembunyikan yang hak sedangkan kamu mengetahui,” (Al-Baqarah, 2:42).

Nantikan artikel seterusnya yang akan mengupas propaganda Snouck dan rakan sekutunya dalam misi menjatuhkan Islam di Nusantara. Satu kupasan yang WAJIB kita sampaikan kepada anak cucu kita.

.

Semoga bermanfaat,

Sumber:

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: