News!!

Fotografi Dijadikan Sebagai Senjata Oleh Snouck Hurgronje

Berkisar mengenai Snouck Hurgronje Orientalis Belanda, Kami kongsikan siri seterusnya yang menyentuh  bagaimana beliau mengatur strategi untuk memasuki Kota Suci Mekah dengan cara yang tersendiri. Mengambil pelajaran dari Orientalis terdahulu serta menggunakan kelebihan yang dimilikinya, akhirnya beliau berjaya.

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 3: STRATEGI SNOUCK YANG MEMANFAATKAN FOTOGRAFI

Bagi yang baru mengikuti siri penggalian sejarah ini, boleh merujuk artikel pengenalan yang menjelaskan misi mengapa perkongsian sejarah ini ditulis melalui link berikut;

KENAPA HASIL KAJIAN SEJARAH INI PERLU DITULIS SEMULA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1558905024203970

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 1: SIAPAKAH DALANGNYA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1559867924107680

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 2: STRATEGI SNOUCK HURGERONJE MEMASUKI MEKKAH.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1560747314019741

************** SIRI 3 ************

Pengkaji sejarah dunia dan Islam sangat menghargai karya-karya yang dihasilkan oleh C. Snouck Hurgronje kerana dipenuhi dengan gambar-gambar keadaan semasa sama ada ketika dia berada di Mekah mahupun Indonesia. Fotografi menjadi satu alat baginya bukan sahaja untuk memperlihatkan budaya dan masyarakat sesuatu tempat ketika itu, malah untuk mendekati dan mengagumkan masyarakat luar yang belum berapa kenal dengan kamera pada waktu itu.
Image may contain: 1 person, text

INSPIRASI ORIENTAS TERDAHULU

Snouck Hurgronje telah didedahkan dengan penulisan-penulisan orientalis awal dari serata Eropah. Antaranya ialah Edward William Lane (1801 – 1876), seorang orientalis Inggeris. Lane telah menjalankan kajian di Kaherah, Mesir selama beberapa Tahun dengan menghasilkan beberapa penulisan mengenai budaya dan penduduk Islam di Mesir sekitar tahun 1820 sehingga 1840.

Lane telah membawa kamera ke Mesir dan banyak merekodkan gambar-gambar sepanjang perjalanannya di Mesir. Berdasarkan hasil penulisan yang sangat menarik dan menambahkan gambar-gambar untuk menjelaskan penceritaan, Snouck Hurgronje mengambil langkah yang sama untuk membawa kamera dalam perjalanannya ke Jeddah, Mekah dan kemudian ke Nusantara.

Namun begitu, Lane bukan sahaja memberikan idea kepada Snouck untuk gunakan Fotografi sebagai alat kajian, tetapi Lane juga merupakan orientalis yang turut memeluk Islam untuk hidup dan tinggal di kalangan Masyarakat Islam di Mesir. Lane telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Nafeesah.

Walaupun Lane telah meninggalkan Mesir dan menetap di Britain, Nafeesah tetap mengikuti dan tinggal bersama Lane sehingga kematiannya. Melalui Lane, Snouck Hurgronje didedahkan dengan idea untuk memeluk Islam terutamanya untuk masuk ke Mekah yang sememangnya tidak dibenarkan sama sekali untuk orang bukan Islam.

Snouck Hurgronje juga telah mengambil langkah yang sama untuk mengahwini beberapa wanita – seorang di Mekah yang tidak diketahui namanya dan kemudian dua orang isteri lagi di Indonesia sehingga mendapatkan 5 orang anak. Walaupun begitu, perbezaan ketara antara Snouck dan Lane ialah Snouck telah meninggalkan semua isteri-isterinya di Mekah mahupun di Indonesia sekembalinya Snouck ke Belanda.

Ini telah menampakkan ketidak-ikhlasannya dalam memeluk Islam, tinggal dalam masyarakat Islam, berkahwin, menjadi Imam dan juga mufti melainkan semata-mata untuk mencapai matlamatnya untuk mengkaji, melemahkan sehingga mengalahkan umat Islam.

Image may contain: 2 people, text

FOTOGRAFI SEBAGAI SENJATA SNOUCK HURGRONJE

Setibanya di Jeddah, dia mula mengambil gambar di pejabat kedutaan Belanda. Dia meletakkan kameranya di perkarangan pejabat dan mengambil gambar potret kebanyakan Jemaah Haji yang berurusan di situ yang datang dari pelbagai negara. Fotografi menjadi satu tarikan untuk mendekati orang-orang Islam di Jeddah ketika itu terutamanya jemaah-jemaah haji dan juga para pengurus Haji.

Image may contain: 6 people, text

Ditambah dengan perwatakannya yang peramah, dia telah menjalinkan hubungan yang baik dengan ramai orang termasuk orang-orang berkepentingan seperti Raden Abu Bakar. Memandangkan Snouck Hurgronje telah banyak membaca malah menulis tentang ibadah Haji dan Mekah selain pernah belajar Bahasa Arab, Snouck Hurgronje pastinya tidak mempunyai masalah untuk berinteraksi dengan masyarakat Arab. Snouck turut mengambil kesempatan itu untuk belajar Bahasa Melayu dari jemaah haji Acheh dan Nusantara lainnya.

Apabila Snouck Hurgronje memasuki Mekah, dia turut membawa masuk kameranya pada April 1885. Ketika itu dia sudah berkawan dengan seorang Doktor bernama yang sama Abdul Ghaffar Al-Baghdadi. Doktor ini telah membantu Snouck untuk mendirikan sebuah Studio di tempatnya yag terletak di Jiyad. Snouck turut mengajar Doktor ini untuk menggunakan kamera dan mengambil gambar. Snouck agak khuatir untuk mengambil gambar di kawasan luar sekitar Mekah lalu meminta bantuan Doktor tersebut.

Image may contain: 6 people, text

Snouck mengambil peluang ini untuk memasuki khemah-khemah dan petempatan pelawat-pelawat Islam di sekitar Mekah terutamanya jemaah-jemaah dari Nusantara. Dia turut menyertai majlis-malis perkahwinan dan perarakan perayaan yang berlaku di Mekah untuk mengumpul maklumat tentang kehidupan masyarakat di Mekah. Karya fotografinya telah dimuatkan dalam sebuah portfolio fotografi bertajuk “Bilder Atlas-zu Mekka (1888)” yang mengandungi 75 koleksi gambar yang memuatkan gambar penduduk di Mekah dan Jeddah, Gabenor Uthmaniyyah di Hijjaz – Othman Pasha, keluarga penting di Mekah termasuk anak-anak penjaga Kaabah iaitu Bani Syayba dan jemaah Haji dari seluruh dunia.

Image may contain: 2 people, people standing and text

Dalam kajian Snouck Hurgronje, dia sangat memerhatikan pengaruh politik dan kekuasaan kerajaan-kerajaan Islam lain ke atas Mekah. Dia melihat Mekah sebagai satu pusat perebutan dan pergelutan kuasa pelbagai negara dan kerajaan sejak berabad lamanya atas nama agama. Dia juga telah menganggap bahawa Muhammad telah memasukkan Ibadah Haji ke dalam agama Islam sebagai satu peluang untuk menyatakan Islam datang dari Ibrahim dan mengatasi semua agama Ibrahim yang lainnya iaitu Yahudi dan Kristian yang menjadikannya sebagai Nabi terakhir dan penutup segala Nabi.

Snouck Hurgronje menyatakan bahawa Islam hanyalah rekaan Muhammad dan ianya hanyalah satu doktrin yang juga dinamakan Muhammadenism. Idea Snouck ini memberi kesan yang sangat besar kepada dunia kerana telah menjatuhkan kedudukan Islam seluruhnya sebagai agama yang benar dari Tuhan dan sebaris dengan agama-agama ciptaan manusia yang lain.

Image may contain: 1 person, text

Karya Snouck Hurgronje yang dipenuhi gambar-gambar klasik menjadikan dirinya sebagai jurugambar pertama Eropah dan kedua di sana selepas seorang pegawai dari Mesir dan jurutera bernama Sadiq Bey (1822-1902). Dia juga pengajar kepada jurugambar ke tiga di Mekah iaitu Abdul Ghaffar b Abdul Rahman al-Baghdadi, juga sebagai jurugambar pertama dari kalangan penduduk Mekah tempatan. Fotografi menjadi satu cara bagi Snouck untuk menggambarkan dan menerangkan Mekah sebagaimana pernah dilakukan oleh Lane dalam menggambarkan orang-orang Mesir 50 tahun sebelum itu.

KESIMPULAN

Fotografi menjadi suatu aspek penting dalam pengkajian untuk menggambarkan dengan lebih jelas subjek yang diterangkan. Berdasarkan peringatan Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 7 (17:7), manusia perlu melihat dan mendengar sebelum menilai dengan hati untuk memahami sesuatu. Snouck telah memasukkan elemen penglihatan ini dalam bentuk gambar foto yang dimuatkan dalam penulisan-penulisannya. Sebagai seorang Islam yang perlu berdakwah dan menyampaikan dengan jelas, kita juga perlu lebih ke hadapan dalam bidang media dan penulisan serta berfikiran lebih kreatif dalam penyampaian Ilmu.

Dalam suatu sudut yang lain, Snouck menampakkan amalan umat Islam menjadi penghalang kepada kemajuan Umat Islam. Snouck tidak melihat keterbukaan dalam perbincangan mengenai hal-hal ritual agama seperti solat, puasa, zakat dan Haji. Umat Islam kebanyakannya tidak bertanya tentang apa atau kenapa dia melakukan sesuatu amalan dan mengikut membuta tuli tanpa kefahaman yang jelas. Amalan-amalan ini dianggap menyusahkan umat Islam dan tidak membantu dalam kemajuan.

Kerana itu, bidang fotografi dinampakkan sebagai satu kemajuan dan kemodenan barat yang tidak dimiliki oleh Umat Islam ketika itu. Idea-idea kemajuan barat dan kemunduran masyarakat Islam dibawa oleh Snouck ke Nusantara sebagai mengangkat martabat penjajah di kalangan masyarakat tempatan. Idea yang sama digunakan oleh Stamford Raffles ketika pendudukannya di Singapura dan Johor. Dua perkara yang paling ditakuti oleh Snouck ialah “kemajuan” dalam masyarakat Islam dan “kesatuan” negara-negara Islam.

Idea-idea Snouck Hurgronje bukan sahaja banyak mempengaruhi gerak kerja dan pelan tindakan negara-negara penjajah yang lain, malah turut mencorakkan sistem perundangan dan budaya masyarakat Islam di serata dunia. Kita akan mengupas lebih lanjut sedikit demi sedikit berkenaan idea dan doktrin yang dibawa oleh Snouck dalam siri-siri akan datang.

Semoga bermanfaat,

Sumber:
Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: