News!!

Fakta Ilmiah Disebalik Nama “Bao Teng” Berbanding Proton

Rentetan dari  pernyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Li Chunrong ketika berucap pada Persidangan Usahawan Malaysia-China ke-7 sebelum ini, di mana beliau turut mencadangkan penukaran nama Proton dalam bahasa Cina.

Katanya, orang China sudah biasa menterjemah Proton menjadi “Bao Teng” tetapi rakyat Malaysia menggelarnya “Pu Teng”. Beliau berkata, “Bao” bermakna khazanah atau harta benda, manakala “Pu” membawa maksud biasa.

Kesan dari itu telah menimbulkan pelbagai kritikan dan rasa tidak puas hati seolah-olah aset kebanggan Rakyat Malaysia sudah di”China” kan. Tertarik dengan isu ini, kami kongsikan pandangan penulis mengenai FAKTA disebaliknya agar kita mampu menilai dari sudut ilmiah.

KALAU kita ada “cultural intelligence” (keupayaan untuk memahami budaya asing) yang bagus, sebenarnya tiada apa pun yang perlu dikecoh pasal pertukaran nama “Proton” DALAM SEBUTAN BAHASA CINA daripada “Pu Teng” (普腾) kepada “Bao Teng” (宝腾).

Kejahilan membawa kepada kekeliruan, kekeliruan membawa kepada salah faham, salah faham membawa kepada ketakutan. Seperti orang Amerika yang kalau tengok orang menulis Arab je terus jadi paranoid, ingat orang tu “terrorist”.

Untuk kes Proton kali ini, hamba politik sekali lagi nak buat modal. Kononnya maruah negara tercalar dengan pertukaran nama Proton. Tapi hakikatnya nama Proton tak tukar, yang tukar cuma sebutannya dalam Bahasa Mandarin bagi tujuan pemasaran di China.

Pertama sekali, kita perlu faham konsep fonologi. Fonologi bermaksud setiap bangsa ada gaya sebutan bahasa tersendiri: orang Korea tak boleh sebut “f”, orang Arab tak boleh sebut “p”, orang Jepun kalau cakap mesti sekerat seketul (mesti berakhir dengan “-a”, “-e”, “-i”, “-o”, “-u”, tiada bunyi pengakhiran seperti “-ng” atau “-kh”, kecuali “n” dan “s/sh”), contohnya “download” jadi “daunrōdo” (ダウンロード), “recycle” jadi “risaikuru” (リサイクル). Astaga.

Fonologi Bahasa Mandarin tidak boleh menyebut perkataan “Proton” dengan sempurna, sama ada ia akan jadi “Pu-luo-teng” atau “Po-ruo-teng”. Tapi kedua-dua pun tak sesuai untuk mengalihkan istilah Proton, kerana Bahasa Cina (termasuk Bahasa Mandarin) merupakan bahasa “ideogram”, maksudnya, setiap bunyi dalam Bahasa Cina membawa maksud spesifik. “Pu-luo-teng” atau “Po-ruo-teng” tidak sesuai untuk memasarkan sesuatu jenama kerana bunyinya terlalu pelik dan asing bagi audiens penutur Bahasa Cina. Jadi mereka perlu mengalihbahasakan perkataan Proton kepada perkataan yang lebih berbunyi Bahasa Cina.

Di China dan Taiwan, Microsoft dialihkan mengikut maksudnya jadi “Wei-Ruan” (微软) dalam Bahasa Cina (“wei” bermaksud micro, “ruan” bermaksud soft), Google jadi Gu-Ge (谷歌). “Gu” bermaksud bijirin, “ge” bermaksud lagu, “lagu bijirin”. Tak make sense tapi janji orang Cina faham.

Kedua, tradisi Cina China menitikberat penggunaan nama yang memberi maksud yang bagus. Perkataan “Pu Teng” telah diguna sekian lama di kalangan media Cina tempatan. “Pu” bermaksud “biasa”, “Teng” bermaksud “terbang”. Bagi orang Cina Malaysia, perkataan “Pu Teng” tak menjadi isu kerana orang Cina Malaysia kalau nak jual beli Proton sebut je Proton.

Tapi bagi orang Cina China, mereka bertutur dan berurus niaga dalam Bahasa Mandarin, dan “Pu Teng” tidak membawa maksud yang positif. Terbang biasa-biasa baik tak perlu terbang. Jadi perkataan “Pu” digantikan dengan “Bao” yang membawa maksud “khazanah”, dan ia juga mengingatkan orang ramai tentang jenama BMW (disebut sebagai “Bao Ma” / 宝马 dalam Bahasa Mandarin). Pertukaran nama hanya strategi pemasaran, tidak sesekali merosakkan jenama negara Malaysia.

Satu lagi jenama di bawah Geely, Volvo disebut sebagai “Wo-Er-Wo” (沃尔沃) di China, tapi satu dunia tetap panggil ia sebagai Volvo.

Satu lagi contoh yang berkaitan, dulu Terengganu disebut “Ding-Jia-Nu” (丁加奴) oleh media Cina tempatan. Tapi lama-kelamaan orang perasan istilah tersebut tidak membawa maksud yang baik (“Ding” bermaksud orang suruhan, “Nu” bermaksud hamba), jadi mereka menukarnya kepada “Deng-Jia-Lou” (登嘉楼) yang bermaksud “menaiki tangga cemerlang”.

So, korang ni boleh get a life tak. Benda macam ni pun nak kecoh. Kalau tak tau, belajar, bukan menyebar fitnah.

Sumber: The Patriots – Ayman Rashdan Wong

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: