News!!

Dr Muhammed Abdul Khalid, Pakar Ekonomi Yang Amanah

Menyatakan sesuatu yang BENAR itu adalah satu tanggungjawab dan juga amanah. Memang pada dasarnya pernyataan itu adakalanya pahit untuk didengar ataupun tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Sewajarnya kita selaku rakyat jelata mampu menilai sendiri apa yang diperkatakan adalah kenyataan atau sekadar omong kosong memenuhi waktu siaran. Semoga lebih ramai lagi individu yang berilmu berkongsi maklumat dan melaksanakan tanggung jawab untuk membantu rakyat marhaen.

Rakyat marhaen wajar berbangga dengan keberanian dan sikap terus terang ditunjukkan pakar ekonomi dan penulis, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata seseorang sarjana mesti bercakap menggunakan ilmu yang ada padanya dengan tujuan yang baik.

Apabila bertindak begitu katanya kesarjanaan seseorang akan terserlah dan dihargai oleh manusia yang memiliki naluri sebenar.

“Ilmu ekonomi sewajarnya digunakan untuk kemaslahatan rakyat dan bukan sekadar untuk kepentingan peribadi dan kroni.

“Jiwa kita akan senang apabila melihat seseorang sarjana itu berbicara atas fakta tanpa memilih bulu,” katanya hari ini.

Seorang sarjana sejati, kata Mohd Asri, akan menyatakan kebenaran walaupun ia mungkin tidak disenangi pihak tertentu.

“Demikianlah sarjana yang telus. Ilmu mendahului kepentingan peribadi,” katanya.

Kenyataan beliau yang turut dikenali sebagai Dr Maza dibuat ketika beberapa potongan klip video memaparkan Muhammed menyampaikan pandangan pada hari Datuk Seri Najib Razak membentangkan belanjawan 2018.

Muhammed menjadi seorang daripada tiga panel jemputan stesen TV kerajaan, RTM, yang membincangkan hal-hal berkaitan ekonomi.

Zaman serba mencabar

Kurang dikenali ramai sebelum ini kenyataan Muhammed yang dilihat berani dan berterus terang itu menarik minat ramai dan mula menjadi tular beberapa hari lalu.

Berasal dari Pulau Pinang Muhammed ialah pengasas dan ketua pakar ekonomi firma DM Analytics Malaysia. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di Institut Penyelidikan Khazanah, Suruhanjaya Sekuriti dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Muhammed juga menulis buku The Colour of Inequality atau versi bahasa Melayu berjudul Antara Dua Darjat.

Dalam program yang biasanya menghimpunkan panel yang sealiran dengan kerajaan Muhammed mengkritik beberapa dasar atau pelaksanaan polisi semasa negara.

Muhammed juga pernah dijemput menjadi panel dalam program terbitan TV3, Soal Jawab, mengenai belanjawan 2018.

Mohd Asri berkata tidak mudah untuk mendapat seorang tokoh seperti Muhammed pada “zaman yang serba mencabar ini”.

“Sebagai rakyat marhaen saya rasa bangga dengan tokoh ekonomi seperti beliau,” katanya.

 

Dengan tema Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50 belanjawan itu memperuntukkan RM280.25 bilion berbanding RM260.8 bilion pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu RM234.25 bilion ialah untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Sumber: Malaysiakini

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: