News!!

Diet Okinawa Jadikan Badan Anda Sihat & Umur Panjang

Diet Sihat melalui Diet Okinawa

Pernahkah anda mendengar mengenai Diet Okinawa? Diet Okinawa merupakan salah satu diet yang paling sihat di dunia selain daripada Diet Mediterranean. Untuk makluman anda, Diet Okinawa ini merupakan diet yang diamalkan oleh penduduk di sebuah kepulauan indah yang dikenali sebagai Kepulauan Okinawa. Kepulauan ini terletak di bahagian selatan Jepun dan mempunyai kira-kira 161 buah pulau. Perkara yang paling unik mengenai Kepulauan Okinawa ini adalah kerana penduduknya yang sihat dan aktif meskipun sudah lanjut usia. Penduduk Kepualaun Okinawa juga merupakan di antara penduduk yang mempunyai jangka hayat umur yang terpanjang di dunia iaitu mencecah 100 tahun.  Statistik  mencatatkan bahawa kadar penyakit berbahaya seperti penyakit kanser dan penyakit jantung di kawasan ini merupakan di antara yang terendah di dunia. Kajian juga telah menyimpulkan bahawa salah satu faktor yang menyumbang kepada perkara ini adalah kerana faktor dietnya.

Tabiat Makan Penduduk Okinawa

Di antara kajian-kajian lepas yang dijalankan telah mendapati bahawa kebanyakan penduduk warga emas Okinawa mengambil kira-kira 6 hidangan sayur-sayuran, satu hidangan buah-buahan ,7 hidangan bijirin penuh seperti kamut, oat dan barli dan 2 sajian produk soya yang kaya dengan flavonoid setiap hari. Untuk hidangan mingguan, mereka akan mengambil ikan yang kaya dengan Omega-3 seperti ikan tuna, salmon dan makarel.  Mereka juga mengambil produk tenusu dan daging dengan kuantiti yang sedikit. Makanan-makanan ini dipercayai telah menyumbang kepada proses penuaan yang lambat dan mengurangkan kadar penyakit berbahaya. Penduduk ini menggunakan kaedah masakan  menggunakan kaedah menggoreng suhu rendah dengan minyak yang sedikit (stir-fry) dan bukannya menggoreng dalam minyak penuh (deep fry). Mereka menggunakan minyak bunga kanola. Minyak bunga kanola merupakan salah satu minyak yang mengandungi kandungan Omega-3 yang tinggi dan baik untuk jantung.

Makanan Tradisional Penduduk Okinawa

Banyak makanan-makanan yang diamalkan oleh penduduk ini yang telah terbukti mengandungi pelbagai khasiat semulajadi yang baik untuk kesihatan. Di antara makanan tradisional utama penduduk Okinawa ialah:

  • Tauhu dan Miso

Tauhu yang dikeluarkan oleh penduduk Okinawa yang dikenali sebagai Tauhu Okinawa  mempunyai tiga tekstur yang berbeza iaitu tauhu ekstra-pejal, tauhu pejal dan tauhu lembut. Tauhu pejal mempunyai jumlah kelembapan yang rendah dan mengandungi jumlah protein dan flavonoids yang tinggi yang mampu mencegah penyakit jantung dan penyakit kanser seperti kanser payudara dan kanser prostat. Miso pula merupakan sejenis pes yang berasaskan soya dan kebaikannya juga sama seperti tauhu.

  • Imo (Keledek)

Penduduk Okinawa sangat menyukai keledek. Terdapat dua jenis keledek di sana yang dikenali sebagai satsuma-imo (keledek isinya berwarna kuning dan kulitnya berwarna ungu) dan juga beni-imo (keledek isinya berwarna ungu dan kulitnya berwarna kuning).  Keledek ini mempunyai jumlah vitamin C, serat dan karotin yang tinggi. Kandungan karotin ini telah terbukti dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Ianya juga mengandungi vitamin E dan kandungan anti-oksida yang tinggi yang dapat mencegah pelbagai penyakit.

  • Kombu (seaweed atau rumpai laut)

Rumpai laut merupakan makanan yang rendah kalori tetapi membekalkan pelbagai nutrient penting yang diperlukan oleh tubuh badan manusia seperti protein, vitamin, zat besi, kalsium dan magnesium. Kajian mendapati kandungan dalam rumpai laut yang dikenali sebagai Lignans, mampu memberi perlindungan daripada kanser dan mengurangkan risiko kerosakan DNA manusia yang disebabkan oleh pelbagai agen penyebab kanser (karsinogen).  Penduduk Okinawa juga percaya bahawa rumpai laut ini mampu menyelesaikan masalah uban dan  kebotakan rambut.

  • Ucchin (Kunyit)

Kunyit digunakan sebagai bahan rempah untuk pelbagai masakan seperti sup. Terdapat pembagai kajian saintifik yang membuktikan keupayaan kunyit dalam merawat pelbagai penyakit termasuklah kanser perut, kanser mulut, kanser kolon termasuklah mengurangkan jumlah kolestrol dalam darah. Kunyit juga didapati dapat meningkatkan ketahanan badan pesakit HIV dan Hepatitis. Selain itu, kunyit juga memainkan peranan untuk mengurangkan sakit terutamanya yang berkaitan dengan sakit sendi seperti arthritis. Kunyit juga mampu mengurangkan radang atau bengkak.

  • Teh Jasmin

Teh Jasmin merupakan teh yang sangat digemari oleh penduduk Okinawa terutamanya dalam kalangan warga emas. Mereka lebih menyukai teh ini berbanding teh hijau. Penduduk Okinawa percaya teh ini dapat meningkatkan tahap ketenangan diri dan dalam pada masa yang sama membantu melambatkan proses penuaan. Kepercayaan ini telah terbukti melalui pelbagai kajian saintifik yang membuktikan bahawa minuman ini mempunyai kandungan anti-oksida yang tinggi yang mampu mencegah pelbagai jenis kanser seperti kanser kulit, paru-paru, payudara, prostat, pundi kencing, perut dan kolon. Terdapat kajian yang membuktikan bahawa teh ini mampu mengurangkan pereputan gigi.

  • Goya/Bitter Melon (Peria Katak)

Goya atau peria katak dipercayai dibawa masuk ke Kepulauan Okinawa sejak zaman kuno Cina melalui proses perdagangan di antara kerajaan Ryuku dan juga Dinasti Ming dan Manchu. Penduduk Okinawa kebiasaannya memasak peria katak Bersama tauhu dan telur yang digoreng secara stir-fry menggunakan minyak bunga kanola. Penduduk Okinawa percaya bahawa peria katak ini boleh menyembuhkan dan mencegah penyakit diabetes, kanser dan pelbagai jangkitan perut. Secara klinikal, jus peria katak memang terbukti merawat penyakit diabetes dan kajian juga melihat bahawa jus ini mampu mengurangkan dos insulin bagi pesakit diabetes. Ia juga terbukti mampu mencegah kanser.

Kesimpulan

Penduduk Okinawa bukan sahaja mengamalkan diet yang sihat tetapi mereka juga rajin melakukan aktiviti fizikal dan sentiasa positif dalam kehidupan mereka. Budaya dan gaya hidup masyarakat ini mampu dijadikan sebagai rujukan bagi kita, rakyat Malaysia.

 

Rujukan

Willcox, B. J., Willcox, D. C., & Suzuki, M. A. K. O. T. O. (2004). The Okinawa diet plan. New York, NY: Clarkson N Potter Publishers.

Wilcox, B. J., Wilcox, D. C., & Suzuki, M. (2001). The Okinawa Program: How the World’s Longest-lived People Achieve Everlasting Health—and How You can Too. New York, Clarkson Potter.

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: