News!!

Didik Anak Untuk Gemar Menyoal Tapi Bukan Mempersoal.

Kunci ilmu adalah dengan bertanya. Namun adakalanya anak-anak ditegur kerana terlalu banyak bertanya? Kami kongsikan artikel ini untuk ibu bapa jelas konsep bertanya yang sebenarnya.

TIPS BAITI JANNATI: KONFLIK BERTANYA & MENYAMPUK DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Pintu kepada gedung ilmu ialah mendengar dan bertanya. Namun ramai yang keliru untuk bersikap terhadap anak-anak yang suka bertanya atau menyampuk.

Akhirnya ramai ibubapa yang memaksa anak-anak menerima apa sahaja yang didengar tanpa diberi peluang untuk bertanya bagi mendapatkan penjelasan lanjut dari apa yang didengarnya. Itulah yang boleh membuatkan anak jadi jumud.

Dalam surah al-Kahfi dinyatakan bahawa habit suka bertanya oleh nabi Musa terhadap gurunya Nabi Hidir a.s. itu adalah suatu yang tidak baik dan merugikan. Mungkin ini antara pegangan orang tua-tua kita.

SEBENARNYA, bukanlah kita dilarang bertanya sama sekali ketika menuntut ilmu. AlQuran sendiri ada menyuruh kita bertanya kepada lelaki yang diberi ilmu jika kita tidak tahu. Banyak sekali disebutkan perkataan, “mereka bertanya”.

Allah nyatakan bahawa tanya-menanya itu juga adalah salah satu dari ciri syurga. Kerana itu ‘majlis ilmu’ digelar sebagai Taman Syurga.

QS 74. Al Muddatstsir 40. “.. di dalam syurga, mereka saling tanya menanya”,

Dalam hadis-hadis juga banyak ungkapan berbunyi, “Apabila sahabat bertanya”. Maknanya, Rasulullah s.a.w. sendiri banyak ditanya para sahabat tentang itu dan ini.

BEZA MENYOAL DENGAN MEMPERSOAL DAN MENYAMPUK

Sebenarnya kita jangan jumud dalam melaksanakan segala prinsip yang diterangkan dalam alQuran. Semua itu ada asbab dan penjelasan yang jelas, yang harus kita teliti mengikut situasi.

LARANGAN BERTANYA yang cuba Allah sampaikan dalam kisah Musa dan Hidir itu ialah ‘ketika’ ilmu sedang disampaikan.

Setelah ilmu disampaikan, maka galakkanlah anak-anak bertanya dan jelaskanlah sekadar kemampuan akal mereka menerima. Tetapi bukan semasa ia sedang disampaikan. Itulah yang dipanggil MENYAMPUK.

Merujuk pelajaran dari kisah Nabi Musa, ia bukan sahaja menyampuk, malah ia lebih kepada bersifat MEMPERSOAL kebijaksanaan ‘guru’nya. Itulah yang dilarang Allah. Namun itulah tabiat kebanyakan penimba ilmu khususnya di media sosial.

Dalam ayat lain, Allah sendiri jelaskan tentang akhlak MENYAMPUK itu.

QS 5. Al Maa’idah 101. “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu menanyakan SEMASA Al Quran itu diturunkan, niscaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.”
Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenang menghalang anak-anak dari bertanya tentang apa sahaja. Pertanyaan mereka itu akan mampu membuka minda untuk mereka menimba ilmu seluas-luasnya. Sebaliknya, menyekat pertanyaan itu akan menjadikan fikiran mereka jadi sempit dan jumud.

Yang harus kita ajar kepada mereka ialah adab bertanya dan bagaimana untuk membezakan konsep BERTANYA berbanding dengan perangai MENYAMPUK dan suka MEMPERSOAL.

Semuga bermanfaat,

Dr Hj Masjuki Mohd

Sumber: https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1383625525075127

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: