News!!

Diagnosis Seorang Doktor Mengenai Kondisi Negara

Kita sering mendengar diagnosis seorang doktor mengenai penyakit yang kita hadapi. Namun kali ini, kami kongsikan hasil diagnosis seorang doktor mengenai situasi negara. Sama-sama kita baca dan hayati apa yang beliau suarakan untuk kita ambil sebagai pelajaran.

SAYA sedang minum teh di sebuah kafe berdekor eklektik dan berstail hipster di Pulau Pinang. Tempat itu – sebuah rumah kedai lama yang dibaik pulih – kelihatan penuh.

Para pelancong dari Singapura ke China bergaul dengan yuppie-yuppie Malaysia sambil makan kek keju. Berhampiran ialah gerombolan backpacker berjalan-jalan di lorong-lorong Georgetown, memenuhi bar dan mengambil swafoto bersama seni jalanan.

Sejak 2008, Pulau Pinang telah mengubah dirinya daripada sebuah pusat makanan tempatan kepada sebuah tarikan pelancongan global.

Negeri itu telah — untuk lebih baik atau lebih buruk— menyaksikan pembangunan pesat.

Prashanth, seorang doktor berusia 33 tahun di Hospital Besar Pulau Pinang ada pendapat tersendiri mengenai keadaan itu.

“Ia adalah pembangunan yang terlebih. Ya, ekonominya sedang digerakkan tetapi perkembangan bergerak terlalu cepat dan tanpa rundingan sewajarnya.

“Apabila anda bersenam, anda membina otot. Ia adalah baik untuk anda, menguatkan tubuh anda. Tetapi jika anda melakukannya terlebih banyak dan terlalu cepat, tubuh anda akan menderita kerananya. Ia sentiasa ada harga untuk dibayar,” ujarnya.

Prashanth (kiri) ditemu bual Karim di sebuah kafe gaya hipster yang dihias secara eklektik di Pulau Pinang. - Foto: Karim Raslan

Prashanth (kiri) ditemu bual Karim di sebuah kafe gaya hipster yang dihias secara eklektik di Pulau Pinang. – Foto: Karim Raslan

Jelas benar, beberapa minggu selepas pertemuan kami, Pulau Pinang dilanda banjir paling buruk sepanjang tempoh yang boleh diingat, mengakibatkan tujuh kematian dan ribuan terpaksa meninggalkan kediaman.

Prashanth membesar di Bayan Baru, anak kepada seorang kerani dan seorang peguam. Datuknya adalah seorang penggembala lembu yang berhijrah ke Malaysia dari India Selatan.

Prashanth ialah seorang doktor biasa dalam erti kata beliau mempunyai diagnosis dan preskripsi bagi semua jenis masalah yang anda timbulkan, termasuk kedua-dua isu negeri dan nasional.

“Isu-isu sebenar tidak diselesaikan. Pertama, terdapat kekurangan perumahan mampu milik di Pulau Pinang. Kedua, kos hidup jadi terlalu tinggi. Akhir sekali, Pulau Pinang kekurangan pilihan pengangkutan awam.

“Di sinilah masalahnya. Ia bukan masalah orangnya, ia adalah soal sistem. Apabila kita tendang keluar ahli politik ini atau itu, kita hanya merawat simptom. Kita tidak menyelesaikan akar masalah, penyakit yang sebenar.”

Dan apakah penyakit itu?

“Ia adalah politik perkauman. Kunci sebenar untuk mengatasi perbezaan kita ialah bahasa. Saya boleh bercakap Inggeris, Melayu, Hokkien, Mandarin, Tamil dan malah saya dapat mempelajari bahasa Rusia ketika saya belajar dulu. Kita perlu berusaha untuk berkomunikasi sesama kita.

“Ia adalah sama dengan tubuh kita. Sel-sel mesti berkomunikasi antara satu sama lain untuk berfungsi. Apabila isyarat-isyarat antara sel terhenti, maka kita akan ada masalah.

“Ambil kanser sebagai contoh. Kanser berlaku apabila sel-sel dalam tubuh kita menjalani pertumbuhan luar kawalan daripada mati begitu saja seperti sel-sel biasa. Isu-isu politik yang memecah-belah negara kita sekarang ini, adalah seperti suatu kanser yang merosakkan negara kita.

“Saya adalah pertamanya bangsa Malaysia, dan keduanya, baru kaum India. Patutnya sebegitu.”

Prashanth ialah seorang doktor tipikal, yang bermakna dia mempunyai diagnosis dan preskripsi bagi setiap masalah yang diketengahkan, baik mengenai masalah negeri atau negara. - Foto: Karim Raslan

Prashanth ialah seorang doktor tipikal, yang bermakna dia mempunyai diagnosis dan preskripsi bagi setiap masalah yang diketengahkan, baik mengenai masalah negeri atau negara. – Foto: Karim Raslan

Pada waktu sama, Prashanth kekal benar-benar sedar terhadap warisan Indianya. Beliau sendiri menyelusuri asal-usulnya kepada thevar di Tamil Nadu.

“Orang India juga lebih berpecah. Hingga ke hari ini, adalah diambil kira jika sesorang itu Brahmin atau Shudra, Tamil atau Punjabi, Sri Lanka atau seorang India ‘tulen.’

Tetapi bahagian identiti beliau inipun agak kompleks: ibunya seorang Cina Malaysia, walaupun beliau dibesarkan oleh keluarga India.

Seperti katanya: “Hardware beliau adalah Cina, tetapi software beliau ialah India.”

Prashanth juga dengan bangganya menyebut tentang isterinya, seorang Punjabi Hindu dari Bangsar — bagi sebahagian orang India Malaysia, ia dianggap seperti perkahwinan ‘antara kaum’.

“Ke manakah pembahagian ini membawa kita? Tidak ke mana-mana. Orang India pernah berkhidmat sebagai kerani dan setiausaha dalam perkhidmatan awam. Kini, keadaan itu amat jarang berlaku.

“Negara ini menjadi kaya kerana getah yang dihasilkan dari atas bahu buruh India. Tetapi lebih daripada enam puluh tahun berlalu, secara purata orang India masih sukar hendak hidup,” katanya.

"Saya bekerja 9 jam sehari, melayan 100 pesakit sehari. Saya terus bekerja di hospital kerajaan kerana pada akhirnya, saya mahu berkhidmat untuk rakyat Malaysia, tanpa memilih kaum, fahaman dan darjat." - Foto: Karim Raslan

“Saya bekerja 9 jam sehari, melayan 100 pesakit sehari. Saya terus bekerja di hospital kerajaan kerana pada akhirnya, saya mahu berkhidmat untuk rakyat Malaysia, tanpa memilih kaum, fahaman dan darjat.” – Foto: Karim Raslan

Merenung kepada pandangan Prashanth yang mengecewakan terhadap keadaan ini, saya sedar mungkin ketegasannya terhadap sikap ‘mendahulukan bangsa Malaysia’ adalah perlu memandangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh India Malaysia.

Sepuluh tahun selepas Perhimpunan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu 2007 (HINDRAF) yang mana ribuan orang India Malaysia turun ke jalan raya di Kuala Lumpur untuk memprotes bagi mengemukakan tuntutan-tuntutan komuniti itu, adalah tidak jelas jika keadaan telah menjadi lebih baik bagi mereka.

Ini kerana, terdapat dakwaan yang kuat didebatkan bahawa sekitar antara 2,500 ke 300,000 India Malaysia yang tidak berwarganegara kerana pelbagai faktor. Tetapi apapun angkanya, malah jika seorang rakyat Malaysia yang tersangkut dalam keadaan itu, ia merupakan perkara yang tidak boleh diterima.

Ketika negara berada di ambang Pilihan Raya Umum tahun depan, isu-isu ini akan tampil ke depan.

Oleh kerana mereka berada tersebar di seluruh negara, komuniti India Malaysia ini sekali lagi mempunyai kuasa untuk menjadi penentu kemenangan dalam pertandingan yang sengit.

Tetapi adakah komuniti mereka akan pasti menjadi lebih baik? Komuniti itu telah menyaksikan berbagai “penyelamat” melintas mereka: Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan sebahagian daripada gabungan parti memerintah, para aktivis HINDRAF dan kini perikatan pembangkang Pakatan Harapan.

Setiap pilihan raya telah menyaksikan janji-janji sama yang ditawarkan pada mereka — dengan begitu sedikit perkara yang boleh dibuktikan.

Dr. Prashanth bagaimanapun kekal dengan tegas menyatakan bahawa identiti Malaysia perlu melangkaui lebih daripada tempurung perkauman.

“Saya bekerja sembilan jam, melihat 100 pesakit sehari, saya meneruskan kerja saya dalam sebuah hospital kerajaan kerana pada akhirnya saya mahu berkhidmat kepada rakyat Malaysia, tidak kira kaum atau kepercayaan atau kelas mereka.”

“Jika kita melepaskan politik berasaskan kaum, maka Malaysia akan menjadi tempat yang lebih baik.”

“Sekarang saya ada seorang anak perempuan, saya fikirkan mengenai masa depan mereka saya tidak mahu dia membesar sebagai seorang India.”

“Saya mahukan beliau membesar sebagai seorang Malaysia.”***

Sumber: Astro Awani

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: