News!!

Detik Kehancuran Umat Islam Bermula Sebaik Kewafatan Nabi Muhammad S.A.W

Hadith ini telah disampaikan secara terus kepada Huzaifah Bin Al-Yamani yang membawa mesej yang sangat mendalam. Ianya menjelaskan bagaimana keburukan tetap muncul walaupun kebenaran sudah bertakhta. Sedarkah kita, cabaran untuk umat Islam berlaku sejurus baginda Rasulullah SAW wafat. Sedikit demi sedikit  pertelingkahan itu telah menyebabkan Islam lumpuh sehinggalah ke saat ini. Bacalah artikel ini untuk penerangan lanjut.

HADITH AKHIR ZAMAN: WASIAT RASULULLAH S.A.W UNTUK DIRENUNGKAN

Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yamani RA katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku.

Lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan?

Rasulullah menjawab: Ya.

Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu?

Rasulullah manjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan.

Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu?

Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya.

Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu?

Rasulullah menjawab: Ya, ketika ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke neraka jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam neraka itu.

Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami.

Rasulullah manjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita.

Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu?

Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka.

Aku bertanya lagi: Bagaimanakah sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin?

Image may contain: text

Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.

(Sahih Bukhari, Sunan Ibnu Majah)
*************

Huzaifah bin Al-Yamani merupakan seorang sahabat yang terkenal dengan pengetahuannya mengenai ancaman akhir zaman, sifat orang munafik dan bahaya bisikan Iblis. Beliau suka bertanya kepada nabi tentang keburukan dan ancaman bahaya supaya dapat dielakkan.

Hadith di atas merupakan wasiat terus dari Nabi Muhammad S.A.W kepada Huzaifah yang menampakkan sungguhpun kebenaran telah datang namun kejahatan akan tetap berlaku, malah sangat membahayakan.

Cabaran umat Islam BERMULA sebaik sahaja KEWAFATAN Nabi Muhammad S.A.W dengan pelbagai bentuk sama ada terangan berhadapan atau secara tersembunyi dari dalam.

Belum pun Nabi Muhammad S.A.W sempat dikafankan, kaum Ansar Madinah telah pun berkumpul untuk melantik seorang ketua di kalangan mereka. Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah terpaksa meninggalkan pengurusan jenazah Nabi S.A.W untuk campur tangan di dalam perlantikan tersebut sehingga akhirnya Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah.

Perlantikan Abu Bakar pula tidak mendapat persetujuan sebahagian dari kalangan sahabat kerana mengharapkan Saidina Ali naik sebagai Khalifah. Ramai sahabat Muhajirin dan Ahli Bait sendiri tidak hadir dalam perlantikan tersebut sama ada terlibat dalam pengurusan Jenazah Nabi atau terlibat dengan ekspedisi perang bersama Usamah bin Zaid.

Sebahagian menganggap syuro itu tidak sah dan hanya 3 orang Muhajirin yang hadir. Peristiwa ini menjadi titik permulaan perpecahan di antara dua golongan umat Islam terbesar iaitu Sunni dan Syiah sehingga hari ini.

Di zaman Khalifah Abu Bakar juga, Nabi-Nabi palsu mula muncul dan berani untuk menyuarakan secara terang-terangan seperti Al-Aswad al-Ansi, dan Musailamah al-Kadzdzab. Ketika Nabi S.A.W sedang sakit, mereka mula berani untuk mengadakan kebohongan.

Umat Islam turut berhadapan dengan ancaman Rom dan Parsi. Perluasan kuasa melalui mata pedang akhirnya membawa kepada benci dan dendam. Saidina Umar akhirnya dibunuh oleh seorang Parsi bernama Abu Lu’luah.

Pelbagai permasalahan telah timbul sehinggalah akhirnya Fitnah paling besar berlaku di zaman pemerintahan Saidina Uthman ibnu Affan. Penguasaan keluarga Bani Umayyah dalam pemerintahan menimbulkan pemberontakan dan kacau bilau sehingga akhirnya membawa kepada kematian Uthman.

Perlantikan Saidina Ali pula berlaku dengan tidak aman dicemari dengan peperangan Jamal dan Siffin di kalangan umat Islam sendiri. Ratusan ribu umat Islam telah mati atas salah faham di kalangan sahabat.

Perebutan Khalifah pula berlaku di antara Muawiyah dan Saidina Ali. Muawiyah melantik dirinya sebagai Khalifah tanpa Majlis syuro yang sah. Peperangan saudara berterusan sehingga akhirnya timbul kelompok Khawarij yang nekad membunuh Saidina Ali.

Selepas kejatuhan Khalifah Ar-Rasyidin, betapa banyak peperangan terus berlaku di kalangan orang Islam sendiri mahupun dengan orang-orang bukan Islam. Khalifah Umayyah dijatuhkan oleh orang Islam sendiri digantikan Khalifah Abbasiyah disebabkan dendam yang panjang.

Kejatuhan Khalifah Abbasiyah di tangan tentera Mongol membuka jalan kepada Khalifah Turki Uthmaniyyah. Dalam pada masa yang sama, kerajaan-kerajaan Barat telah bangkit untuk menjajah bumi Islam selepas kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia.

Khalifah Turki Uthmaniyyah akhirnya jatuh pada 1924, dan seluruh dunia dikuasai oleh penjajah barat. Belum lagi sampai 100 tahun kejatuhan Khalifah Islam, kita masih lagi di bawah kepimpinan yang dibentuk dan ditaja oleh penjajah.

*************

Begitulah keburukan-keburukan yang berlaku secara umumnya sehingga Islam kini sebenarnya berada di dalam keadaan yang paling bawah.

Menelusuri sejarah selama lebih kurang 1400 tahun, wasiat Nabi S.A.W itu telah dapat kita rasai pada zaman ini.

Tiada lagi kuasa Islam yang mentadbir sebuah negara yang dapat melaksanakan keadilan Islam seluruhnya secara ‘Kaffah’. Tiada pula kuasa Islam yang mampu membela saudara Islam nya yang lain di Palestine, Libya, Yaman, Rohingya, Sudan dan lain-lain lagi.

Undang-undang Islam hanya dilaksanakan sekadarnya sahaja untuk menjadi gula-gula kepada masyarakat.

Ketika ini, tiada Khalifah Islam dan sistem Barat menguasai dalam setiap bidang sama ada pemerintahan, pendidikan, doktrin pemikiran, hiburan, media serta bermacam aspek kehidupan lainnya. Negara-negara Islam telah dipecahkan melalui sempadan-sempadan yang direka dan membataskan pergerakan serta penyatuan umat Islam seluruh dunia.

Sistem sekular memisahkan hal-hal pentadbiran dan pengadilan dari campur tangan agama. Al-Quran dan Sunnah tidak difahami secara aplikasi untuk memenuhi keperluan kehidupan Umat malah terbatas perlaksanaannya dalam pentadbiran negara dan masyarakat. Agama-agama lain turut berdiri sebaris dengan Islam sehingga Islam tiada suara lagi dalam menegakkan yang hak.

Dalam keadaan dunia dipenuhi dengan pelbagai maklumat benar mahupun palsu bercampur, fitnah mudah sahaja disebarkan. Cukuplah dengan fitnah, manusia berpecah-belah dan saling membenci sehingga sanggup berbunuh.

Maka, wajarlah wasiat Nabi itu untuk umat Islam di zaman serba mencabar untuk memencilkan dan menjauhkan diri dari pelbagai sistem zalim dan kafir yang mengancam aqidah serta ad-din Islam.

Memakan akar kayu yang digambarkan oleh Nabi S.A.W dalam hadithnya merupakan satu gambaran situasi yang sangat sukar untuk Umat Islam berpegang dan memelihara Aqidah dan keimanan mereka.

Adakah memencilkan diri itu bermaksud tinggal di pedalaman hutan atau di dalam gua? Gua bagaimana yang hendak dicari dan diduduki? Di dalam Al-Quran pula terdapat Surah Al-Kahfi (Gua Besar) yang dikatakan dapat melindungi dari fitnah Dajjal. Bagaimana kaitan Surah ini dengan hadith Nabi di atas?

Ini merupakan persoalan yang panjang yang perlu direnungkan dengan penuh strategi. Fahami semula maksud dan formula Al-Quran untuk membangkitkan umat Islam. Inilah mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W dan Al-Quran jugalah yang akan memberi jawapannya.

Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْاٰنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُّدَّكِرٍ
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi zikir (peringatan dan pengajaran), maka adakah sesiapa yang mahu menzikirkannya (mengambil peringatan dan pelajaran)?”
(QS. Al-Qamar 54: Ayat 17)

Semoga bermanfaat.

AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://web.facebook.com/akademiprihatin/posts/1682309488530189

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: