News!!

DBKL Bakal Pasang Jaring Keselamatan Untuk Tangani Habit “Buang Barang”

Tindakan pemasangan jaring keselamatan adalah satu inisiatif  yang baik walaupun Menteri sendiri menyatakan bahawa tindakan itu adalah “tidak masuk akal”. Untuk mendapatkan jalan penyelesaian jangka panjang, mungkin pihak berwajib boleh mendapatkan idea-idea dari masyarakat setempat agar habit buang barang ini dapat “dibuang” terus.

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan akan diambil ke atas individu yang bertanggungjawab mencampak kerusi dari tingkat atas pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, Isnin lepas hingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki.

“Kami (kementerian) akan mengambil tindakan, terutama ke atas individu yang mencampak kerusi (kerana) ia tidak pernah berlaku sebelum ini, biar proses undang-undang menentukannya,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.

Jelas Tengku Adnan, tindakan perlu diambil kerana ini merupakan kali pertama tindakan membaling barang dari tingkat atas PPR mengakibatkan kematian.

“Kejadian membuang barang dari tingkat atas (PPR) sudah berkali-kali berlaku. Daripada maklumat yang diterima, tin sardin dan almari turut dicampak dari tingkat atas,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 malam Isnin itu, mangsa S Sathiswaran, 15, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, arahan sudah dikeluarkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memasang jaring keselamatan di tempat strategik di PPR dan difahamkan kerja memasang jaring sudah bermula. Kos pemasangan jaring akan ditanggung DBKL.

“Tidak masuk akal, namun kami (pihak berkuasa) perlu melaksanakannya,” katanya.

Tengku Adnan juga berkata, berikutan pelbagai masalah yang wujud di PPR, DBKL akan mengadakan sesi penerangan kepada penduduk lebih 80,000 unit PPR yang melibatkan 494 blok di seluruh Kuala Lumpur.

“Penerangan itu akan menjelaskan maklumat terperinci mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dibuat penduduk PPR.”

Sumber: FMT

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: