News!!

Cerita Di Sebalik Isu Nasi Lemak Graduan

Kami kongsikan serba sedikit “cerita” disebalik isu mengapa lahirnya peniaga nasi lemak yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Adakah mereka malas, memilih kerja atau faktor persekitaran yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian. Semoga perkongsian ini dapat menyedarkan kita apa sebenarnya yang berlaku terhadap graduan lulusan universiti negara.

SEPASANG suami isteri tidak pernah rasa terhina terpaksa berniaga nasi lemak di tepi jalan walaupun berpelajaran tinggi demi meneruskan hidup di tengah-tengah ekonomi yang mendesak.

Eddie Sulaiman, 30, dan isteri Shira Che Ismail sudah putus asa mencari kerja dan nekad meniaga nasi lemak di Sungai Buloh sejak September tahun lalu.

Keadaan ekonomi yang sukar menyebabkan tidak ada banyak peluang kerja, sementara sedikit yang ada itu pun gajinya tidak berbaloi dengan kelulusan.

“Apabila Dr Mahathir (Mohamad) suarakan mengenai graduan berniaga nasi lemak dan memandu Uber, saya langsung tidak rasa terhina tetapi terbela sebab ada juga pemimpin yang tahu situasi rakyat sebenar,” kata Eddie kepada The Malaysian Insight.

“Saya juga pernah lompat ke bahagian syarikat elektrik, tetapi waktu 2015 syarikat saya kerja tutup sebab GST. Selepas itu kali terakhir kerja bahagian business development, tetapi gaji saya sekitar RM2,000 sahaja. Tempat kerja jauh, minyak mahal, gaji tak berbaloi,” katanya yang berasal dari Pahang.

Mereka bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai masalah pengangguran di kalangan graduan yang terlatih dalam bidang profesional.

Dr Mahathir berkata, golongan muda menanggung hutang tinggi dan terpaksa meraih rezeki dengan cara itu memandangkan dasar yang dilaksana kerajaan menutup peluang pekerjaan dalam bidang pengajian graduan terbabit.

Perkara itu diakui oleh Eddie dan Shira, pasangan muda yang mempunyai seorang anak dan bakal menimang seorang lagi cahaya mata tidak lama lagi.

Demi keluarga

Shira berkata, beliau kecewa kerana tidak dapat mendapat pekerjaan yang memberi gaji setimpal dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian yang diperolehinya dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam.

“Bagi saya kita belajar tinggi mana pun kita belum tentu dapat gaji setimpal. Bayangkan, saya kerja sebagai pereka grafik dengan gaji RM1,200 waktu mula-mula dahulu.

“Selepas setahun, gaji saya hanya naik seratus ringgit (RM100). Saya juga sudah mohon macam-macam kerja, nasib saya kurang baik kerana tidak dipanggil (temuduga),” katanya yang tamat belajar pada 2008.

Bagi pasangan itu, rezeki melalui perniagaan nasi lemak lebih membawa kebahagian kerana tidak perlu menghadapi kesesakan lalu lintas, waktu kerja yang panjang dan majikan yang tidak menjaga kebajikan.

“Kita tidak perlu fikir untuk harungi jem waktu pagi. Jam 7 pagi kami meniaga sampai pukul 11 tengahari. Hanya empat jam. Selepas itu, kita boleh fokus masa bersama keluarga dan anak-anak,” kata Shira yang kini hamil dua bulan.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkata, seramai 55,000 orang, atau 22% daripada 236,137 graduan universiti tidak mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Laman mencari kerja Monster.com juga melaporkan 36% graduan berhenti kerja dalam masa satu tahun bekerja atas pelbagai sebab, termasuk kos sara hidup tinggi di Kuala Lumpur.

Hal ini mendorong tenaga kerja muda ini melepaskan peluang kerja di firma besar di bandar dan mencari kerja dengan pendapatan kecil di kampung kelahiran mereka.

Seorang lagi peniaga nasi lemak, Ina, yang beroperasi di Sungai Buloh berkata, keputusan berhenti kerja sebagai pembantu jururawat pada lima tahun lepas adalah keputusan bijak.

Ina, 33 berkata, beliau memilih untuk berniaga nasi lemak kerana tidak tahan dengan gaji kecil sebagai jururawat dan sukar mendapat pekerjaan lain.

“Gaji saya kerja empat tahun tempat sama hanyalah RM1800. Bayangkan kalau sekarang dengan tanggungan anak-anak semestinya tidak cukup,” katanya yang kini mempunyai dua orang anak.

Katanya, waktu kerjanya juga lama dan ia menyebabkan beliau sukar hamil dan pernah keguguran.

“Dengan berniaga, walaupun tidak glamour macam kerja di pejabat, dan pendapatan tidaklah sebesar mana tetapi saya dapat melihat anak saya membesar di depan mata,” kata Ina.

Beliau juga berasa simpati kerana ramai anak muda yang dikenalinya terpaksa menganggur.

“Sekarang kos sara hidup tinggi, peluang kerja terhad dan gaji tidak berbaloi. Ramai anak muda sudah mula berniaga kerana waktu lebih anjal,” katanya lagi.

Kos sara hidup tinggi, peluang kerja terhad dan upah tak setimpal menyebabkan ramai graduan muda melakukan kerja tak setaraf kelulusan mereka dan berpindah ke bandar lebih kecil untuk meneruskan kehidupan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018.

Isu mengenai graduan muda yang terpaksa berniaga nasi lemak untuk menampung kos sara hidup sudahpun timbul pada 2016 apabila gerai Nasi Lemak Anak Dara tular di media sosial.

Gerai itu diusahakan Siti Hajjar Ahmad, seorang graduan lulusan kejuruteraan elektronik yang berusia 24 tahun pada waktu itu.

Beliau berniaga nasi lemak untuk meraih pendapatan sementara menunggu peluang kerja. Ketika dihubungi The Malaysian Insight, Hajjar berkata beliau kini tidak lagi membuka gerai di Shah Alam.

“Kini saya tak buka lagi gerai. Hanya ambil tempahan untuk majlis,” katanya yang telahpun mendirikan rumah tangga pada akhir tahun lalu.

Gaji tidak meningkat

Seorang pakar ekonomi Azrul Azwar Tajuddin berkata, kenaikan upah pada tahun lalu tidak selaras dengan kadar inflasi. Walau kenaikan harga barang dijangka akan lebih rendah pada 2018 berbanding tahun lalu

Azrul dari firma perunding Jasmiza Solutions menganggarkan inflasi akan berada pada purata di bawah 3.5% pada tahun depan.

Namun firma Korn Ferry pula menjangka, purata upah dijangka berkembang 3.2% pada 2018, suatu peningkatan berbanding pertumbuhan sebanyak 1.3% pada 2017.

Bagaimanapun, kenaikan ini lebih banyak melibatkan sektor perkhidmatan kewangan, pembinaan, pembangunan hartanah dan industri pengurusan.

Seorang lagi penjual nasi lemak yang berpengalaman, Kamaruzaman Md Nor, 47 berkata beliau bersimpati dengan anak muda yang tidak mendapat pekerjaan sesuai meskipun berpelajaran tinggi.

Kamaruzaman yang sudah berniaga nasi lemak di Subang Jaya selama lebih satu dekad berkata, beliau tetap mahu anaknya mendapat pendidikan tinggi untuk mendapat peluang pekerjaan lebih baik.

Bagi dirinya, pelajaran amat penting untuk mencorak masa depan yang lebih baik.

“Saya banyak merantau. Dulu selepas SPM saya pernah kerja macam-macam. Pernah kerja di sebuah kilang di Shah Alam tetapi banyak pekerja diberhentikan pada 2003 atas alasan ekonomi.

“Dan sehingga kini, saya meniaga nasi lemak sebelah pagi dan jual burger diwaktu malam. Untuk anak saya yang ambil SPM tahun ini, Biarlah belajar dulu sekurang-kurangnya ada ijazah.

“Kalau tidak belajar mungkin nanti lagi susah untuk dapatkan pekerjaan,” kata anak kelahiran Melaka itu kepada The Malaysian Insight. – 29 Januari, 2018.

Sumber: The Malaysian Insight

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: