News!!

Bolehkah Al-Quran Dijadikan Panduan Kalau Sekadar Baca Tapi Tak Faham?

Untuk menuju ke satu destinasi, kita perlukan panduan sama ada papan tanda ataupun dengan teknologi terkini kita boleh berpandukan kepada Google Maps ataupun Waze. Begitu juga dengan kehidupan kita. Allah berikan kita manual untuk berjaya di dunia dan di akhirat. Cuma persoalannya sekarang, sejauh mana kita faham tentang Al-Quran yang kita perakui sebagai panduan hidup? Bacalah perkongsian ini dan nilaikan sendiri sama ada kita serupa atau sebaliknya.

REALITI UMAT ISLAM HARI INI. KITA SEMPAT LAGI KETAWA DI DUNIA TETAPI PASTI AKAN MENANGIS DI DALAM KUBUR NANTI.

Kita mungkin rasa ini ‘perkara biasa’ dalam masyarakat kita. Kerana sudah terbiasa, kita anggap semua ini sesuatu yang normal. Tidak perlu kita bimbang dan terus menjadi ikutan dari anak-anak sampai yang tua-tua hinggalah masuk ke liang lahad.

RUGI hidup kita selama ini jika sampai usia tua masih lagi dok mengaji alif ba ta. Sedang al-quran itu bukan hanya cerita lafaz, tajwid dan taranumnya. Al-quran itu PETUNJUK yang menghidupkan jiwa kita, bukan hanya bacaan semata-mata.

Setiap ayat-ayat Allah itu disertai dengan BUKTI dan PENJELASAN untuk setiap manusia dalam setiap zaman daripada Rasulullah hinggalah kepada kita. Agar kita dapat mengambil peringatan dan membezakan mana yang BAIK dan BURUK. Apa yang patut kita buat untuk memperbaiki dunia kita dari kesilapan umat-umat terdahulu.


Kalau hanya membaca tanpa kefahaman begini, sampai bila-bila Islam tidak akan bangkit. Kita hanya jadikan al-quran sebagai alat untuk dipertandingkan. Berbangga-bangga dengan suara siapa paling sedap, tajwid siapa paling betul sedang umat diratah akhlaknya dengan agenda musuh Islam.Bukan itu yang Allah mahukan dari kita. Allah tuntut kita untuk bangkitkan semula agama ini yang telah jatuh. Yang ditindas dan ditekan dari semua arah. Seluruh umat Islam satu dunia hari ini menjadi mangsa dan terperangkap dalam sistem jahiliyah hingga menjadikan kita semua jauh dari kefahaman kitab yang sebenar.

ALLAH TIDAK AKAN PANDANG KITA SEMUA BERAGAMA SELAGI KITA TIDAK MENEGAKKAN APA YANG TELAH DITURUNKAN DI DALAM KITAB. Malulah selama kita hidup di atas dunia ini dan mengaku beragama tetapi hakikatnya Allah tidak pernah pandang segala amalan di dunia selagi tidak pernah bekerja untuk jadikan SISTEM ALLAH sebagai cara hidup kita.

Allah tak tengok pun kita! Kerana kita selama ini menjadikan al-quran itu sebagai satu hiburan dan halwa telinga. Dipertandingkan untuk dipandang di sisi manusia dengan pelbagai habuan dan ‘upah’ atas tiket membaca al-quran.

Malu lah kita untuk bertemu dengan Allah nanti.

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikitpun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil, dan Al Quran yang diturunkan kepadamu dari Robbmu”. Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu akan menambah kedurhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan dari mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.

HAKIKAT UMAT AKHIR ZAMAN

Ini adalah realiti masyarakat kita hari ini. Buta huruf dan jahil di dalam memahami isi kandungan al-quran. Kerana kita masih bersangka-sangka dengan tulisan dan hurufnya. Berangan-angan tentang pahala dan ganjarannya tetapi langsung tidak pernah kenal apa itu KITAB.

Kita jauh dari tuntutan dan perintahnya, tidak mengenali mana suruhan dan larangannya kerana terlalu fokus pada tajwid dan harakat hingga langsung tidak mengerti apa sebenarnya fungsi al-quran. Moga kita boleh keluar dari stigma masyarakat yang buta huruf. Sebagai mana dijelaskan Allah di dalam firmannya di dalam surah al-Baqarah ayat 78;

وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ لَا يَعْلَمُونَ الْكِتَابَ إِلَّا أَمَانِيَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Dan diantara mereka ada yang BUTA HURUF, TIDAK KENAL KITAB, kecuali BERANGAN-ANGAN dan mereka hanya BERSANGKA-SANGKA.

Semoga umat kita semakin celik dari penyakit buta huruf ini dan keluar untuk belajar isi kitab dan mencari hikmah yang mampu menyucikan diri kita dari fahaman jahiliyah. Kerana al-quran ini untuk membetulkan akhlak kita.

Kalau asyik pulun betulkan tajwid, sampai ke tua akhlak belum tentu dapat dibetulkan lagi. Belajarlah isi kitab. Kenali Allah melalui al-quran. Nak kenal Allah kena kenal al-quran dulu, baca dan faham. Hayati dan amalkan segala perintah dan larangannya barulah mampu mencipta kita sebagai insan yang bertaqwim dan bertaqwa.

KESIMPULAN

Allah sudah pesan dalam surah Yasin ayat 69 bahawa al-Quran ini bukan untuk disyairkan (dilagukan) tetapi ia adalah bacaan yang jelas bagi orang yang hidup.

وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنْبَغِي لَهُ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌ

Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Quran itu tidak lain hanyalah PERINGATAN dan BACAAN YANG JELAS.

Semoga Allah melindungi kita dari menjadi umat yang lalai dan leka. Jangan sampai Allah telah MENGUNCI MATI HATI dan PENDENGARAN kita sehingga PENGLIHATAN KITA TERTUTUP menjadi buta daripada peringatan dan larangan-Nya. Ingatlah pesanan Allah ini sungguh-sungguh dari surah Al-Baqarah, ayat 8;

Di antara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan Hari Akhirat,” pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman.

Jauh lagi perjalanan kita untuk bertemu Allah. Semoga bermanfaat.

Shauqi Hasan
Mutawif Rarecation Umrah

Sumber: https://www.facebook.com/muhamadshauqihasan/videos/20400440529
Kredit Foto: Rarecation Umrah

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: