News!!

Berkuburnya Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi

Siapa sangka, Pangkalan TUDM  Sungai Besi, Kuala Lumpur ditutup dan bakal digantikan dengan pembinaan bangunan komersil. Kesedihan warga ATM pastinya bersebab dan bukan atas faktor sejarah semata-mata. Hanya mereka yang lebih arif mengenai perkara ini. Bak kata Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brid. Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji, “Dengan dukacitanya kami menangisi dengan mengalirkan air mata (penutupan pangkalan berkenaan) tapi pemimpin dah buat keputusan dan kita rakyat biasa akur sajalah. Tak boleh buat apa pun”.

Penutupan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sg Besi, Kuala Lumpur ditanggapi ramai termasuk dari kalangan warga tentera sebagai berita menyedihkan.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brid. Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan itu berkata pangkalan itu menyimpan terlalu banyak nilai sejarahnya.

“Bagi saya, daripada dulu lagi saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku (penutupan pangkalan udara TUDM Sg Besi) kerana bagi saya ia satu perkara yang tak betul dan saya merasa sedih dengan apa yang berlaku itu.

“Ia juga seharusnya ia tidak berlaku kerana pangkalan udara di Sg Besi ini satu pangkalan yang banyak nilai sejarahnya kerana ia satu usaha pertama kita, dan ia juga pernah menjadi lapangan terbang antarabangsa kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 28 Mei 2011 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilapor telah menamakan kawasan Sendayan di Negeri Sembilan sebagai pangkalan baru bagi menggantikan pangkalan TUDM di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Isu tersebut kembali dibangkitkan ekoran penularan beberapa klip video bertajuk ‘Majlis Paluan Berundur ATM dari Kem TUDM Sungai Besi’ di laman sosial baru-baru ini.

Klip-klip video berkenaan mendakwa ia merupakan rakaman majlis paluan berundur di kem berkenaan.


Majlis paluan berundur diamalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk istiadat tertentu seperti perpindahan sesebuah pasukan dari satu kem ke kem yang lain atau penutupan kem induk.

Keterangan pada salah klip video yang memaparkan kenderaan tentera bergerak keluar bertulis: “Betapa sedihnya apabila mendengar lagu ini dan ini adalah majlis paluan berundur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari kem TUDM Sungai Besi yang telah diserahkan kepada China.”

Tiada landasan kapal terbang?

Pada klip video lain bertajuk sama memaparkan upacara menurunkan bendera dengan diiringi alunan lagu Bertemu Dan Berpisah yang dimainkan kumpulan pancaragam.

Rata-rata pengguna laman sosial yang berkongsi klip video berkenaan melahirkan perasaan sayu terhadap penutupan kem yang menempatkan lapangan terbang antarabangsa pertama negara.

Mengulas lanjut, Arshad berkata beliau jelas sangat tidak bersetuju dan mempersoalkan alasan penutupan pangkalan itu.

“Kalau macam di Britian mereka tak akan jual tanah-tanah begitu, tak akan jual kem-kem terbabit atau tidak sewenang-wenangnya memusnahkan pangkalan udara tersebut dan saya sangat tidak bersetuju dengan apa yang berlaku,” katanya.

Arshad turut mempersoalkan sama ada benar pangkalan udara di Sendayan mempunyai kelengkapan yang jauh lebih bagus dari pangkalan di Sg Besi.

“Saya tak tengok pun pangkalan udara Sendayan itu dan kalau dikatakan pangkalan, sebaik-baiknya adalah landasan kapal terbang.

“Tetapi apa yang saya dapat tahu pangkalan udara Sendayan itu tidak mempunyai landasan kapal terbang. Ini pangkalan apa?” soalnya lagi.

Oleh demikian, Arshad berkata pangkalan udara TUDM Sg Besi masih yang terbaik baginya.

Tiada perdebatan awam

Sementara itu, Anggota Parlimen Lumut Laksamana (B) Mohamad Imran Abd Hamid berkata, sebagai pesara tentera beliau sangat terkesan dengan apa yang berlaku.

Namun katanya, sebagai rakyat beliau terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat.

“Dengan dukacitanya kami menangisi dengan mengalirkan air mata (penutupan pangkalan berkenaan) tapi pemimpin dah buat keputusan dan kita rakyat biasa akur sajalah. Tak boleh buat apa pun.

“Saya sama-sama bersimpati dengan warga TUDM sama ada yang masih berkhidmat atau yang sudah bersara,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Imran, meskipun akur dan berharap langkah yang diambil kerajaan memberi manfaat, beliau kecewa kerana tiada perdebatan awam dibuat terlebih dahulu.

“Nak jual ke atau nak bangunkan untuk rakyat tak tahu sebab tidak ada perdebatan awam dan terus buat sahaja, kita tak boleh buat apa dah cuma kita doakan apa yang dibuat itu berjayalah,” tambahnya.

Pangkalan udara Sg Besi berkeluasan 198 hektar dan tapak Tun Razak Exchange (TRX) seluas 70 ekar di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur merupakan dua kawasan yang kini dibangunkan oleh 1MDB menerusi syarikat pemaju, TRX City Sdn Bhd.

Dahulunya sebahagian daripada pembangunan dibeli oleh syarikat daripada China menerusi penjualan jualan saham (SSA) namun perjanjian tersebut terbatal dan 100% kawasan dikuasai oleh Kementerian Kewangan.

Sumber: Malaysia Kini

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: