News!!

Beranggapan “Bebas Penyakit”, Pekerja Seks Kanak-Kanak kini Jadi Buruan

Sebelum ini kami pernah kongsikan bagaimana rakyat Malaysia telah dilanda wabak pornografi kanak-kanak yang semakin kritikal. Terkini, wabak ketagih seks ini telah melonjak ke situasi yang lebih meruncing apabila dilaporkan wujudnya permintaan yang tinggi terhadap pekerja seks kanak-kanak atas alasan kanak-kanak ini “bebas” dari penyakit. Walaupun majoritinya terdiri dari pendatang asing, haikatnya mereka ini adalah golongan yang tidak berdosa tapi diperalat demi mendapatkan keuntungan yang cepat. Kepada yang melanggan, bayangkan sekiranya mangsa itu adalah anak anda sendiri, apakah perasaan anda?

PETALING JAYA: Seorang aktivis hak asasi pekerja asing dan wanita berkata permintaan untuk seks kanak-kanak semakin berkembang di Malaysia dan kewujudan anak-anak pendatang yang terdedah kepada pedagang manusia merumitkan usaha memerangi wabak itu.

Glorene Das dari Tenaganita yang bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan bagi menangani isu itu berkata ada beberapa sebab untuk perkembangan itu.

“Satu sebab ialah pelaku percaya kanak-kanak bebas daripada penyakit jangkitan kelamin, terutamanya HIV dan AIDS. Kanak-kanak dilihat tidak seperti pekerja seks dewasa yang banyak kali mengadakan hubungan seks,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata ada juga pelaku yang percaya mengadakan hubungan seks dengan anak dara atau teruna akan meningkatkan kesihatan seks mereka.

Glorene menambah sindiket pemerdagangan manusia menggunakan kanak-kanak kerana mereka dilihat sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Empat remaja itu, 3 perempuan dan seorang lelaki berusia antara 15 dan 18 tahun, diselamatkan selepas mereka ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan berdekatan Kota Kinabalu 7 Februari lalu.

Polis berkata mangsa, yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan, dipaksa menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

Glorene berkata keadaan di Sabah membimbangkan kerana tarikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan juga menarik pelancong yang mencari seks, serta kewujudan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang terdedah kepada pedagang manusia.

Keadaan di Malaysia Barat juga tidak jauh berbeza, kata Glorene. Beliau berkata perdagangan seks di Malaysia Barat juga menjadi-jadi dan kebanyakannya melibatkan kanak-kanak dan remaja pendatang.

“Mereka dibawa masuk dari Kemboja, Vietnam, Thailand dan kami pernah menyelamatkan perempuan semuda usia 16 tahun,” kata Glorene.

Beliau berkata pelajar dari kolej dan universiti di negara ini juga diseludup ke negara lain dan menambah Malaysia bukan sahaja destinasi pedagang tetapi juga negara sumber.

“Semua ini kerana ada permintaan yang tinggi. Kalau tiada permintaan tidak akan ada bekalan.

“Selagi ada permintaan, pedagang akan melakukan apa sahaja untuk membawa masuk orang. Anda tahu industri seks ini industri bernilai berbilion dolar.”

Glorene berkata usaha kerajaan melalui Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) mesti diteruskan.

“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan kerajaan melalui Mapo dalam menambahbaik mekanisme menyelaraskan ketidakseimbangan untuk mangsa yang terselamat.”

Sumber: FMT

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: